Saturday, June 7, 2008

Trengganu, Penyu, Sotong dan keropok lekor

Trengganu, penyu, sotong dan keropok lekor umpama irama dan lagu. Seiring memerdukan nyanyian. Menambat hati, mempersona dan menusuk kalbu.
Begitu, sejak berdekad lamanya, legenda ini diperkatakan apabila bercerita tentang Trengganu. Dari Rantau Abang, Losong , Pasar Kepayang sehinggalah sekitar perairan pulau-pulau Tenggol , Kapas dan Redang serta beberapa pulau kecil tidak ternama, Trengganu memiliki khazanah ini untuk berkongsi dinikmati dan disyukuri.
Persolannya, sejauhmana ia dihargai dan dapat bertahan?
Pada awal Jun cuti sekolah lalu, saya menyertai satu rombongan berkeluarga melawat Trengganu. Kami memilih sebuah chalet di Rantau Abang.
Bab 1
Rantau Abang tidak dapat dipisahkan dengan Penyu. Terdapat lagenda Ibu Penyu dan Batu Penyu di sini. Sekitar tahun-tahun 70an, perkampungan ini adalah tapak pesta setiap menjelang musim penyu mendarat. Menurut pemilik chalet yang membesar di sini, ketika itu apa saja di kawasan itu menjana rezeki kepada penduduk. Pengunjung yang datang sejauh benua Eropah sedia membayar apa-apa jua caj semata-semata kerana mahu melihat penyu mendarat dan bertelor. Sepanjang Pantai Rantau Abang nilainya amat tinggi. Mertua beliau menyewa untuk jarak tiga kilometer dengan harga RM60,000.00 setahun bagi setiap kilometer. Dalam sebulan modal pajakan pantai dapat dikembalikan hasil dari telor penyu. Ketika itu katanya beliau lagi, penyu-penyu yang mendarat untuk bertelur sangat sibuk seperti lalulintas kapalterbang di KLIA. Kebanyakannya dari spesis Belimbing yang saiznya sebesar kawah atau kereta kancil dan mampu bertelur sehingga 120 biji sekali mendarat.
Tetapi itu cerita tiga dekad lalu.
Kini apa yang tinggal hanyalah kenangan. Rantau Abang hari ni seolah perkampungan selepas perang. Sunyi dan sepi. Jika tiada chalet-chalet pelancungan, keadaan tentu lebih parah. Penyu tidak lagi mendarat. Nilai pajakan pantai serendah RM60.00 pun tidak laku. Anak muda terpaksa berhijrah ketempat lain mencari punca rezeki baru.
Bab 2
Malam itu kami menyewa sebuah bot dengan kos RM1,200.00 untuk mencandat sotong. Bertolak dari jeti Pulau Serai jam 5 petang, tiba dilokasi 1 jam 45 minit kemudiannya, saat dimana matahari mula terbenam di ufuk barat.
Sebaik melabuhkan sauh dan lampu-lampu dinyalakan, rakan-rakan saya yang tidak sabar-sabar terus melepaskan kail candat. Beberapa saat sahaja mula terdengar sorakan. Sotong pertama didaratkan bersaiz kira-kira satu kaki panjangnya. Detik-detik berikutnya adalah pesta menaikan sotong sehingga ke pagi. Anak saya yang berusia 11 tahun dan pertama kali turun kelaut tanpa sebarang pengalaman mencandat pun berupaya menaikan beberapa belas ekor sotong.
Malam berikutnya pula kami mabuk sotong bakar di pantai chalet Rantau Abang. Manakala bakinya dapat dibawa balik ke Selangor kira-kira 20kg setiap orang seramai lapan orang.
Sungguh, sotong masih relevan di Trengganu.
Persoalannya, dapatkah ia dipertahankan? Apakah ia akan menjadi satu legenda tiga dekad akan datang sepertimana lagenda Penyu ?
Bab 3
Sebelum berangkat pulang, dalam agenda shopping, item yang mesti tidak dilupakan ialah keropok lekor Losong. Keropok lekor Losong ini bukan baru bagi saya. Semasa bertugas dahulu, pada setiap kerja lapangan di pantai Timur, keropok lekor Losong ini menjadi ole-ole utama untuk diri dan rakan-rakan. Tidak lengkap rasanya ke Trengganu tanpa pulang bersama keropok Lekor Losong.
Malangnya, ia tidak seperti dulu lagi. Saiznya, kualiti dan juga rasa. Barangkali saya yang mengalami perubahan, bukan keropok tersebut. Namun, rakan-rakan juga merungut. Ia tidak lagi seperti dulu. Benarkah ia keropok lekor Losong?
Persoalannya, satu entiti niaga yang telah tercipta kenapa dibiar terhakis kepercayaan ? Apakah faktor keuntungan menyebabkan pengusaha sanggup menggadai keaslian dan melebur kepercayaan pengguna? Apakah juga keropok Lekor Losong akan menjadi Rantau Abang dan Penyu Belimbing?
Bahawasanya, kerakusan akan melebur syukur. Kehilangan syukur lambat laun akan membawa pergi bersamanya segala nikmat. Kehilangan yang berlaku sesudah didatangkan amatlah sukar untuk dikembalikan. Seperti kata orang , peluang tidak datang untuk kedua kalinya!