Monday, August 25, 2008

tanah simpanan melayu

Salah satu daripada apa yang dianggap isu sensitif ialah Tanah Simpanan Melayu. Ini kerana ia adalah hak keistimewaan orang-orang Melayu di Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan negara. Sewajarnya tidak ada mana-mana pihak mempertikaikan hak tersebut dan umumnya tidak ada rakyat Malaysia yang rasional akan mempertikaikan hak tersebut atau pun peruntukan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan.
Tetapi yang menjadi sungutan dan rasa tidak puashati bukan lah isu diatas. Sebaliknya ramai pihak termasuk orang Melayu sendiri mempertikaikan sikap orang-orang Melayu dalam mengurus tadbir tanah-tanah tersebut. Ramai pemilik-pemilik tanah sismpanan Melayu ini benar-benar 'menyimpan' tanah mereka sehingga menjadi semaksamun bahkan pokok getah tua sekalipun dapat membesar menjadi balak. Selain menjadi sarang babi hutan, "kebun-kebun" simpanan Melayu ini juga menjadi rumah kepada kera dan beruk dimana mereka ini adalah musuh utama kepada usaha pertanian. Tragisnya, pemilik-pemilik ini sudahlah tidak mengusahakan tanah simpanan sedia ada, malah berebut-rebut pula menampal peluang orang lain dengan berbagai cara untuk mengumpul tanah-tanah baru untuk melonggokkan kebun simpanan.
Sikap ini sangat tidak sehat. Pertama, kerana dengan membiarkan tanah menjadi tersimpan, ia akan menjana masalah lain iaitu pembaziran aset penting yang tidak produktif. Tanah adalah aset utama yang tidak patut di bazirkan. Kedua, kebun-kebun tersimpan orang Melayu akan mengganggu usaha-usaha pertanian jiran-jiran kerana kebun simpanan mereka menjadi sarang musuh-musuh tanaman. Ketiga, sikap ini memperlihatkan jatidiri Melayu yang malas dan haloba. Keempat, fenomena ini mencarikkan kesucian agama Islam kerana orang Melayu biasanya Islam dan Islam amat melarang perbuatan membazir. Dalam konteks ini ia disebut " kufur ni'mat" yakni mensesiakan punca rezeki yang Allah berikan kepada kita. Kelima, tanah-tanah Simpanan Melayu juga kerana terlalu lama tersimpan telah menjadi punca berbalah adik beradik dan saudara mara kerana perebutan hak mewarisi - lagi sekali ia mencemarkan kesucian agama.
Tidak kah ada cara terbaik oleh pihak berkuasa untuk melupuskan fenomena ini? Barangkali perlu kepada pindaan kanun tanah negara supaya tanah simpanan melayu yang terbiar sekian-sekian waktu dirampas saja dan di jual lelong kepada orang lain yang mahu mengusahakannya? Jangan biarkan budaya menyimpan tanah dikalangan orang Melayu terus menjadi identiti atau jati diri Melayu selamanya. Perubahan perlu dilakukan dan orang Melayu tidak boleh lagi mencari rezeki dengan kaedah labu peram atau menyimpan sesuatu dengan maksud mengharap laba berlipat ganda di masadepan dengan mudah iaitu hanya duduk goyang kaki di kedai kopi menanti labunya masak.