Wednesday, April 30, 2008

Mengapa Masjid kurang diminati?

Pada masa ini kelihatan begitu banyak masjid dibina. Saiznya besar-besar. Senibinanya cukup artistik. Kemasannya sunguh indah lagi mempesona. Lampu dan cermin tingkap bergemerlapan. Sistem bunyi pula nyaring melaung terutama ketika azan dikumandangkan. Pendek kata, sekilas pandang, jika dirujuk kepada rupa dan keterampilan masjid-masjid di negara Malaysia, khususnya dikawsan perbandaran, maka ia seolah-olah mempamerkan kehebatan umatnya menghayati ,mengamalkan dan menjulang syiar agama di tempat paling tinggi dalam agenda hidup mereka.

Namun realitinya adalah sebaliknya. Masjid dipenuhi hanya seminggu sekali iaitu pada hari Jumaat ataupun pada setiap hari raya puasa dan hari raya haji. Ataupun sesekali bila diadakan program tertentu berbentuk kemasyarakatan. Selebihnya masjid tinggal murung di tamui oleh beberapa makmum berserta Imam dan Bilal. Bahkan disesetengah tempat, imam dan bilal pun kecewa untuk berjamaah dan musafir yang singgah sebentar terpaksa azan sendiri dan mengimami sendiri solat khususnya pada waktu solat Zohor dan Asar.

Kenapa fenomena ini boleh berlaku dalam sebuah masyarakat umat Islam, dalam sebuah negara yang agama rasminya agama Islam dan ditadbir pula oleh pemimpim Islam?

Padahal syariat sangat menuntut agar masjid dimakmurkan. Semulia-mulia tempat dalam dunia ini ialah masjid. Semua manusia memburu kemuliaan tetapi mengapa mereka mals pergi ke tempat yang dijanjikan kemuliaan oleh Allah dan RasulNya. Dan sungguh janji Allah dan RasulNya pasti ditepati!

Pada pandangan penulis (pandangan seorang jelata , pengembara jalanan - yang dikutip dari pengalaman dan pemerhatian, bukan kajian ilmiah, risikan profesional atau penyelidikan saintifik bahkan hanya pemerhatian biasa) terdapat beberapa faktor utama kenapa fenomena ini berlaku.

1. Berlakunya peningalan sunnah Rasul yang kini dianggap amalan dan perbuatan bidaah atau ektrim atau fundamental.
Umat Islam tidak lagi mementing adab sopan dan sunnah dalam mnegerjakan ibadah mereka terutamanya solat. Tatatertib seperti berpakaian, amalan serta beberapa sunnah Nabi berhubung kait dengan masjid dan beribadat berjamaah di Masjid ditinggalkan menyebabkan hilang keberkatan.

2. Berlakunya petugas Masjid yang bukan ahlinya dilantik memikul amanah.
Perlantikan jemaah pentadbir masjid tidak diasaskan kepada kelayakan syariat sebaliknya mengikut peraturan sivil. Sebagai akibatnya terdapat muazin yang azannya tidak betul. Suaranya sumbang dan pekertinya sebagai muazin tidak dijaga. Sementara imam pulak gemar membaca ayat-ayat yang berjela-jela seperti mahu menonjol kehebatan menghafal Ayat sedang yang terlebih afdal dibaca adalah surah-surah lazim yang pendek dan mudah.
Sebagai petugas rasmi masjid semua AJK hendaklah memelihara pekerti dan percakapan mereka mengikut sunnah Rasul kerana mereka adalah orang-orang Masjid - iaitu tempat yang mulia lagi suci.

3. Pembinaan masjid sendiri yang mula mengabaikan sunnah dan sunat-sunat yang di tuntut. Arkitek moden lebih mengutamakan nilai-nilai teknikal, estatika dan logika adat berbanding mengikut bulat-bulat dari apa yang dianjurkan oleh Nabi. Misalannya mimbar masjid, pada masa ini amat sukar ditemui masjid yang dibina dengan tangga mimbar berhadapan makmum dengan bilangan anak tangganya ganjil seperti tiga, lima dan tujuh. Begitu juga dengan kolah wuduk mula diabaikan dengan diganti pili-pili air. Alasannya geli mengambil wuduk dalam kolah kerana air tidak mengalir seperti paip.

4. Pada hari jumaat, diadakan kelas pengajian sebelum solat. Perkara ini perlu dielakkan kerana pada hari Jumaat dituntut datang ke masjid bukan untuk mendengar ceramah agama, tetapi untuk beramal dengan amalan khusus hari tersebut yang hanya terbuka sebelum solat Jumaat didirikan. Banyak waktu dan hari lain lagi untuk diadakan kuliah agama dan kelas pengajiaan. Adab pengajian murid hendaklah membawa kitab atau buku, jika tidak ia bukan pengajian tetapi ceramah dan ceramah amat tidak sesuai dibuat pada waktu premier hari Jumaat.

Ibnu Umar r.a dalam riwayat menceritakan sesudah wafatnya Nabi SAW, beliau bersama kafilahnya pergi ke Mekah. Sampai disuatu tempat tanah lapang, beliau mengarahkan untanya berjalan dengan pergerakan zigzag, padahal tiada apa-apa halangan pun di jalanan. Sahabat lain lalu bertanya dan dijawab oleh beliau bahawa semasa ia mengikut rombongan Nabi, setiap kali apabila sampai disitu, Nabi mengarahkan untanya berjalan demikian. Maka atas dasar itu ia setiap kali sampai disitu ia akan berbuat seperti perbuatan Nabi.

Alangkah baiknya kalau kita dapat mengamalkan sunnah Nabi khususnya bersabit dengan persekitaran Masjid kerana sebahagian besar sunnah baginda tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Ia tetap sesuai dengan semua zaman sehingga datang kiamat.