Wednesday, December 30, 2009

2009 dan kawan lama

Sedetik lagi 2009 akan berlalu. Pergi meninggalkan kita buat selamanya. Menjadi sejarah dan tidak akan berulang lagi.

Sepanjang tempuh itu, barangkali agenda paling istimewa ialah siri perhimpunan-perhimpunan kawan lama bermula dari kenduri Kakja sehingga kepada kemuncaknya Bendang D Kelubi.

Bila direnung kembali, banyak perkara bermain di minda. Mengingati telatah semasa remaja dan membandingkannya ketika bertemu kembali pada usia tua atau menjelang tua.

Perjalanan hidup sebahagian dari kita memang amat menarik. Zulkifli Din umpamanya. Melalui saat getir seumpama mati hidup kembali. Jantungnya berhenti berdenyut hampir lima minit. Dadanya lebam di beri kejutan letrik. Sampai kini, parut pembedahan menjulur di dadanya. Mengunjungi IJN menjadi rutin dua kali setiap minggu. Namun memori masih bagus. Dapat rekol semua rakan-rakannya dengan cemerlang. Siap peristiwa sekali seperti kes dia dengan Sarud.

Mohd Jamil Hashim - dulunya seorang dari dua guru pakar negeri Kedah dalam pengubalan soalan periksa matematik. Sangat aktif dan cemerlang sejak dibangku sekolah rendah lagi. Suatu pagi dia kena stroke yang melumpuhkan sebajhagian tubuhnya. Pada peringkat mula, lansung tidak boleh bertutur tetapi berkat kegigihannya, dia dapat mengembalikan pertuturannya kalaupun tidak 100% tetapi amat memuaskan.

Sebelum dia sakit, kami selalu bincang nak buat reunion ini. Dah mula himpun konteks. Saya ingat lagi orang pertama kami konteks bagitau masa tu Noran. Tiba-tiba saja dia jatuh sakit dan telefon saya kena rompak, semua maklumat konteks kawan-kawan terhimpun lesap. Di Bendang Kelubi dia datang dengan segala susah payah, dibantu oleh kawan kita Yaakob Hambali yang juga mempunyai sejarah menarik.

Sekitar tahun 80an, di Puduraya ada sebuah gerai barangan kulit terkemuka - Jacob's Leather. Pemiliknya tu lah Yaakob Hambali. Ketika mana kita sedang bergelut dengan nota-nota kuliah atau berjimat dengan gaji tahun-tahun pertama bekerja, Kob sudah guna Mers. siap drebar. Tetapi dunia perniagan adakalanya zalim. 30 tahun kemudian Kob bukan setakat terduduk, tapi tergolek anjing . Pernah bawa lori tanah ketika terserempak dengan saya menjual rambutan tepi jalan di Salak Tinggi, jadi mekanik dan penternak ikan puyu tetapi gagal juga dan akhirnya balik kampung membina hidup baru di Empa. Tahniah kepada Kob atas kurniaan cahaya mata pada usia 50an.

Pakya Mad, ketua darjah kita dulu melalui liku lagi hebat. Seperti kata Loh, lepas lingkup di Alor Setar, dia merantau ke KL. Rebah bangkit di sana sehingga lulus perakaunan dari UiTM secara persendirian. Kembali ke Lubuk Kawah, dia buka bisnis MLM . Mereka peneraju MLM di Jitra. Sekali lagi kita lihat bahawa perniagaan tiada belas kasihan. Kini semua peneraju terjun dan orang lain pula bergayut. Saya masih ingat bila pi solat raya di masjid Lubuk Kawah, nampak kereta Honda Oddesey sedang parking depan rumah kedainya. Masa itu Oddesey baru keluar dan tengah top.

Demikian juga Zulkifli Shafie - muncul dengan rupa paling segak macam baru berusia 30an. Pernah menjadi pembantu Khas Dato' Affifudin dan pergi kerja dengan drebar. Belum lagi kisah Yati Daud yang kini ada di L.A , Amerika. Cheda di London. Hashim Ismail di Sg. Buluh selepas balik dari Rusia.

Bila diteroka, rupa-rupanya kawan-kawana kita ada disemua ceruk kampung, sekolah, hospital, balai polis, Universiti , kedai kopi, radio/tv, kastam, imigeresen - dalam semua ranking. Menyimpan seribu kenganan suka duka selama tempuh 30 tahun tersebut. Sesuatu yang amat mengharukan bila di selak.

2009 juga menyalakan semula ukhwah dengan rakan-rakan dari form yang dulunya tidak habis dengan prasangka. Yang paling saya ingat grup form ini ialah Shukri Ahmad atau bangau. Kami belajar menaip sekali di sebuah sekolah menaip dekat stesen bas lama. Guru kami Kak Nab dan Martini. Dua-dua lawa. Tetapi yang lebih menarik ialah rakan sekelas kami Abidah, budak kampung Naga, sedara kepada Ahmad Munir. Abidah selalu datang dan balik bersama saya menaiki bas The Kubang Pasu Transport. Tu yang Shukri geram... he he he.. Ketika hubungi Shukri ajak datng Bendang Kelubi, dia baru balik Mekah. La ni Haji Shukri. Dia janji nak datang , tapi tidak terbang jua si bangau ni yer...

Sorang lagi Mi Che Lam. Dia ni anak kapten askar di Jenan. Memang tera Rugby dan pandai juga nyanyi. Dia juara talentime SMJ 73 dengan lagu D'llyod - Cinta Hampa. Dengar kabar ada di Sg. Petani lepas bersara polis.

Yang lain-lain tu wajah memang sangat familiar. Seperti Mohiddin, Abd. Razak, Chai, Koden, fatimah zahrin dll - bila jumpa baru tau nama. Fatimah tu beberapa kali saya jumpa di DBP masa present projek Photo -Library dulu, tapi tak dapat cam. Cuma dok lawan cakap pelet Kedah saja. Tak sangka pulak bos Library DBP tu kawan kita.
Sesungguhnya 2009 sangat bermakna buat saya - secara peribadi.

Monday, December 28, 2009

Bendang D Kelubi - Final

Bendang D Kelubi telah berlalu meninggalkan seribu kenangan mencatat sejarah tersendiri.
Bagi pihak Urusetia Penaja, saya memohon berbanyak maaf diatas segala kekurangan dan kelemahan yang sudah tentunya ada dan tidak dapat dielak. Harapan kami, sentiasa yang terbaik. Mudah-mudahan ukhwah sesama kita terjalin semula dan bertambah kukuh.
InsyaAllah, kami akan kekalkan momentum ini dan berharap akan terus terusan mendapat sokongan dari rakan-rakan semua dari masa kemasa.
Kepada rakan-rakan dan guru yang tidak dapat hadir kali ini, masa berbaki masih ada dengan izin Allah.
Pertemuan semula setelah 30 tahun, bergabung antara dua aliran yang saling berprasangka, memang sesuatu yang sungguh bermakna. Segala penat lelah kami berbaloi melihat rakan -rakan berdakapan dan bersalaman penuh mesra.
Kakja dan suami (Ramli), Mak Lang Siti, Norliza, Basharah, Kamal, DZ, Mazlee, - nama mereka kita pahatkan di Bendang Kelubi ini. Sudah tentu juga kecekapan Che Man Hamid mengendalikan majlis seperti Schumacher memecut di litar. Begitu juga rakan-rakan yang turut menyumbang tenaga, makanan dan wang ringgit . Dan akhir sekali rakan-rakan semua yang sanggup merentas selat dan lebuhraya, meninggalkan anak isteri demam di rumah, kenduri jiran dan saudara - semata-mata untuk bertemu di majlis ini. Ia sungguh mengharukan.
Bila mengenangkan semua ini, kepenatan pemanduan balik ke Selangor meredah malam semuanya berterbangan bersama angin.
Kita telah ujudkan AJK Penaja untuk merealisasikan sebuah pertubuhan secara legal. Tujuan nya untuk pergerakan lebih konsisten , sistematik dan berterusan. Jika rakan-rakan ada komen dan pandangan, sila utarakan, jangan baratkan ia. Ia untuk kebaikan bersama.
Penghargaan khas juga buat isteri saya serta anak-anak yang memberi sokongan penuh membantu urusetia menjayakan majlis ini.
Alhamdulillah.
Sila intai WAJAH-WAJAH KITA
Nota : Respon kepada permintaan Abd Razak Jusoh, di senaraikan AJK Penaja yang telah dilantik untuk tindakan lanjut merealisasikan aumni kita.
1. Pengerusi : Ahmad Saman
2. Tim. Pengerusi : Aliyah Ramli
3. Setiausaha 1 : Che Man Hamid
4. Setiausaha 2 : Mazlee Ahmad
5. Bendahari : Siti Rokiah Saleh
6. AJK : belum dan akan dilantik seramai 5 atau 6 orang.
Senarai diatas adalah AJK Penaja. Sesudah penubuhan, akan dilantik AJK Tetap dalam Mesyuarat Agung 1 & Alumni 2. Pemilihan untuk AJK Tetap diharapkan terdiri dari calun-calun tingkatan dan Form supaya lebih seimbang dan menepati matlamat perhimpunan kita ini.

Saturday, December 19, 2009

KEBETULAN ITU TAKDIR

1. Malam masih muda. Kira-kira jam 10. Saya sedang memandu di lorong kiri lebuhraya PLUS dalam perjalanan balik ke Sepang dari Batu Gajah Perak. Trafik tidak lah berat sangat. Kerana itu perjalanan agak lancar.

Sampai di Behrang, tiba-tiba sebuah Vios hitam plet Kedah 3003 memintas. Antara percaya dengan tidak saya terus telefon Kakja. Sahih. Mereka dalam perjalanan ke rumah anak mereka, Faiz di Sg. Merab, Selangor.


2. Kerana tidak mahu kelam kabut pada saat-saat akhir, saya bawa anak-anak untuk beli keperluan sekolah mereka di Pusat Beli Belah Warta atau Bintang di Bandar Baru Bangi. Tempat ini tidaklah sibuk macam Alamanda di Putrajaya.

Dalam sosak-sosak itu, tiba-tiba terserempak dengan seorang lelaki. Saling berpandangan kemudian dia menyapa.

" Orang Kedah ya ?'

" Ya .. jawab saya.

" Kedah tang mana ?' tanya dia .

" Jitra " jawab saya.

" Rasa macam pernah nampak ' katanya lagi,

" Dulu SMJ ka? balas saya kembali.

" Ya . saya remove dulu batch 1976."

" Kalau gitu kenai la Koden, Kamal apa semua tu..

" Awat tak kenai nya .. Mat lazim Hanafi, Talib apa semua tu geng kami la ..

Perbualan jadi tambah rancak. Memori dia memang kelas satu. Buleh cam lagi rias-rias muka saya. Kalau saya pelau la. Memang tak ingat. Tetapi klasiknya yang saya kena tabik ialah kesudiannya menegog. Itu lah dia Mohhidin Othman. La ni dia mengajar di UPM - Sains Permakanan.

Saya ajak dia join Bendang Kelubi tapi dia tidak dapat kerana ada hal tak dapat elak.

Kedua-dua peristiwa ini menguatkan tanggapan saya bahawa kita dikalangan kawan-kawan buleh jadi pernah bertemu dimana-mana sebelum ini tapi saling tak kenai. Tempuh 30 tahun tu bukan sat. Kalau kita ada maklumat , seperti plet nombor kereta pun, pasti kita buleh recognise bila terserempak di jalanan.

Ada orang dia tak mau tegur takut salah orang. Tapi itu sikap merugi. Tidak salah kalau tersalah orang yang ditegur. Keberanian Mohhidin ini patut dipuji dan perlu di teladani.

Beliau buleh di hubungi melalui HP 017 237 3824 atau di :-


Dr. Mohhidin Othman
Department of Food Service and Management
Research Group : Food Service Management
03-8946 8363 Fax :
mohhidin@putra.upm.edu.my
LOCATION : FOOD1 , ROOM NO. : 119


Sunday, December 13, 2009

Takziah Untuk Seluruh Keluarga Ain.

Daripada Nya kita datang dan kepadaNya kita pasti akan kembali.
Ayahanda kepada rakan kita Fatimah Zahrin atau Ain iaitu Cikgu Mohd Taib telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini - menurut sumber dari Mazli dan juga DZ and Kamal. Kepada Ain dan seluruh keluarga diucapkan takziah. Moga-moga Allah menempatkan roh Allahyarham di kalangan para kekasihNya. Alfatihah.

Tuesday, December 8, 2009

Jauh di mata dekat di hati

Masihkah kita ingat ?
Seorang gadis kecil penjual nasi lemak sebelum kesekolah? Didenda kerana lambat kesekolah oleh sebab sibuk dengan nasi lemaknya. Dan dia jadi masyhur kerana itu! Bukan masyhur kerana larian pecutnya seperti Zuraida Kamarudin.
Hari ini dia telefon saya. Saya ingatkan di Selangor, saya sudah jauh merantau meninggalkan Kedah. Rupanya dia lagi tera. Perantauannya merentasi benua dan lautan. Padang pasir dan gunung ganang. Budaya bangsa dan agama. Beribu-ribu kilometer jaraknya. Dan menjadi pemastautin tetap disana sejak 15 tahun yang lalu. Jauh dan lama, tetapi pelat Kedahnya tetap pekat macam kuah rojak, hati nya tetap dekat dengan Jitra. Setia dari masa kemasa mengikuti perkembangan rakan-rakan sekolahnya dulu.
Di kota London, dia berkerja di firma guaman. Berhijrah kesana setelah menamatkan perkhidmatan guru kerana mengikut suami. Walaupun kampungnya di Jitra hanya tinggal dalam kenangan tetapi majlis perkahwinan anaknya kelak dirancang untuk di laksanakan di Jitra. Sekitar bulan Julai 2010.
Sempena reunion kita di Bendang D Kelubi, sudah pasti dia tidak dapat balik, tetapi hatinya tetap bersama kita. Salam ukhwah SMJianya dihulur buat kita semua. Dia sebenarnya hadir bersama kita. Grup form boleh berbangga dengannya kerana dia dari aliran sana.
Saya kehilangan kata-kata mengingat hal-hal begini.
Zuraida Zainol Rashid atau pun Che Da, saya kagum dan menghargai anda. Sokongan anda dari jauh besar maknanya buat kami. Kami mendoakan anda sekeluarga agar sentiasa terpelihara diperantauan. InsyaAllah.
Sesungguhnya, Jitra memang besar maknanya kepada anak-anak yang membesar di sana. Sebab itu lah Omar Kasim, Ismail Taib, Saad Shaari , Fazil Baharum, Yaakub Hambali, Md Zain misalnya, setelah jauh melaut balik mereka ke pangkuan Jitra akhirnya......

Saturday, December 5, 2009

DEPA YG DAH KONPOM AKAN HADIR - INSYAALLAH

# Cikgu Jaafar Ismail - Bukit Pinang.
# Cikgu Wan Bin Binti Kamaruddin - Ipoh Perak.
# Cikgu Amran Lee Gek Liang Bin Abdullah - Ipoh, Perak
# Cikgu Zainudin Saad & isteri - Jitra Kedah
# Cikgu Fatimah Daud & suami - Jitra Kedah

1. Mohd Tamin Shaari - Ipoh , Perak.
2. Ramlan Husin & keluarga - Sri Manjung , Perak
3. Mohamad Ali Telok Malik & keluarga - Kangar, Perlis
4. Che Azmi Bidin - Kuala Lumpur.
5. Md Noor Ahmad- Kepala Batas, Kedah
6. Zulkifli Shafie - Kuala Nerang, Kedah
7. Mohd Aris Bachik - Shah Alam, Selangor
8. Fatimah Md Zin - Tok Jalai, Jitra , Kedah
9. Mohd. Said Tanah Merah - Bdr. Darulaman, Kedah.
10. Omar Kassim - Tok Kesob, Jitra Kedah.
11. Ismail Taib - Tok Kesob, Jitra, Kedah
12. Fazil Baharum - Tok Jalai, Jitra Kedah.
13. Basharah Husin - Changlun, Kedah
14. Zarina Latif - Jitra, Kedah
15. Norliza Hashim - Jitra, Kedah
16. Siti Mariam Hamzah - Changlun, Kedah
17. Rosdi Hamid & keluarga - Lubuk Kawah, Jitra Kedah.
18. Roshidi Othman - Kepala Batas, Kedah.
19. Zulkifli Din - Kuala Kubu Bharu, Selangor.
20. Sarud - Alor Setar , Kedah.
21. Mohd. Jamil Hashim - Tok Jalai, Jitra, Kedah.
22. Anand Dam - Pendang, Kedah
23. Maznah Kasim - Lubuk Kawah Jitra Kedah.
24. Mazlan Sudin - Kulim Kedah
25. Mohamad Abd Rahim & pasangan - Pulau Nyok, Kedah
26. Suhaimi Sharif & pasangan - Pdg. Perahu, Kedah
27. Norma Ariffin - Jitra Kedah
28. Che Piah Abu - Jitra Kedah
29. Ahmad Tajudin Yahya ( Pak Din) - Kuala Nerang
30. Rohani Abdullah - Jitra Kedah
31. Sopiah Isa - Jitra Kedah
32. Abd Rahman Ahmad - Alor Setar Kedah.
33. Alias Majid - Kepala Batas Kedah
34. Fatimah Zahrin Mohd Taib - Kuala Lumpur
35. Mohd Zain - Jitra Kedah.
36. Muhamad Ikram Loh - Bdr. Darulaman, Kedah
37. Nordin Ahmad - Jitra Kedah
38. Ahmad Jaafar - Bdr. Darulaman , Kedah.
39. Yaakob Hambali - Kepala Batas Kedah.
40. Jamaludin Abu Bakar & kelurga - Jitra Kedah
41. Zambri Ramli - Jitra , Kedah
42. Zakaria Ahmad - Lubuk Kawah, Jitra Kedah.
43. Che Man Hamid & isteri (Sabariah Din) - Changlun Kedah
44. Fazilah Ahmad(Fazie) - Alor Setar, Kedah
45. Saadiah Abu Bakar & keluarga -
46. Fazil Ariffin - Jitra Kedah.
47. Azizah Abdullah & pasangan - Batu Pahat Johor
48. Mariam Ariffin - Jitra Kedah
49. Roaini Abd Razak - Jitra Kedah.
50. Osma Harun - Sungai Petani Kedah
51. Abd. Rahim Ahmad - Padang Besar, Perlis
52. Chai @ Mohd. Shahrizal Abdullah - Pandang Besar Perlis.
53. Mat Lazim Hanafi -
54. Nazri Baharum -
55. Md Rejab -
56. Norsaid Yusof - Tok Kesop , Jitra kedah.
57. Aliyah Ramli & Keluarga - Tunjang, Jitra, Kedah
58. Mazli Ahmad - Bagan, Pulau Pinang
59. Kamal - Pulau Pinang
60. Dzambri - Pulau Pinang
61. Satirah - Alor Setar, Kedah
62. Ahmad Saman & Keluarga - Sepang Selangor.
63. Che Hashim Hanafi - Alor Setar Kedah.
64. Siti Rokiah Saleh - Kuala Lumpur.
65. Abdul Razak Jusoh - Langkawi

Friday, December 4, 2009

RESTORAN BENDANG D KELUBI - TERKINI

Rancangan reunion sulung Tingkatan + Form SMJ di Restoran Bendang D Kelubi pada 26.12.2009 Hari Sabtu Jam 11.30 pg.

Sumbangan :

RM 15.00 seorang.
RM 25.00 + pasangan
RM 35.00 + keluarga

Sila kompom dengan sms kat saya atau Kakja atau urusetia ADHOC (Kamal, Dzambri,Mazlee dan Satirah) sebelum 15.12.2009
Sumbangan buleh dimasukkan ke akaun saya atau akaun Kakja :-

Bank Islam Malaysia Bhd,
No. Akaun: 12029010015552
Ahmad Bin Md Saman.
HP : 019 322 4895

atau

Maybank
No. akaun :1520 6868 2184
Aliyah binti Ramli
HP : 017 458 1075


Nota :
1. 10 orang pertama kompom mai akan mendapat tajaan (percuma). Cepat !
2. Sapa sapa yang bermurah hati nak taja sorang sikit ( buat kenduri ) amat di alu-alukan.
3. Sahabat yang nak promote produk, keperluan akan diusahakan, sila kompom.
4. Komen dan cadangan juga di alu-alukan.
5. Bila bank in sila SMS habag kat akaun mana - sebab dah ada dua akaun dan ada option buleh bayag pada hari event nanti.
6. AD HOC Urusetia : Kamal 019 440 2752, Mazlee 012 423 1661, Dzambri 017 541 1285, Kakja, Satirah 013 430 2040, Ahmad Saman, ( lagi voluntia di alu-alukan )

Tuesday, December 1, 2009

Cerita Kampung Lagi

Walaupun rencananya sama, tetapi pengalaman setiap kali balik kampung tetap berbeza. Seperti kata ahli perniagaan , buat perkara yang serupa tetapi dengan cara yang tidak sama.


Kali ini sempena kenduri kakak saya kawinkan anaknya serta kenduri Satirah , juga kawinkan anaknya. Pada musim cuti begini, dimana-mana pun cerita mengenai kenduri kawin. Musim cuti dan kawin ibarat irama dan lagu. Sungguh sinonim.


Saya sewa sebuah homestay di Taman Mahkota, belakang Pasaraya Yawata, Bandar Darulaman. Kadar RM130.00 satu malam. Sebuah rumah semi-d lot tepi. Homestay ini milik seorang pesara guru , Cikgu Desa yang peramah dan mesra. Busines homestay di utara Kedah macam cendawan. Keujudan beberapa pusat pengajiaan tinggi, sekolah asrama penuh, kolej etc menyebabkan permintaan kepada homestay melonjak. Bagus juga. Bagi orang seperti saya, anak kampung yang kehilangan kampungnya, buleh juga tumpang berteduh bila rindu nak balik kampung.



Saya telefon Mohd Rodzi Abu Seman, seorang rakan yang berkhidmat di UUM. Sempena Raya Haji, pada hari Khamis depa dapat balik awal. Dia ajak saya makan bihun sup dekat tempat paling nostalgik - tapak stesen bas lama dekat simpang nak pi Kodiang depan Balai Polis Lama. Tempat itu kelihatannya suram. Bangunan lama pejabat pos masih ada. Warung bihup sup terletak di pinggir saliran yang merentas Pekan Jitra. Di simpang tiga ini lah dulu pusat pertemuan penting antara Kodiang, Changlun dan Alor Setar.


Sedang kami menikmati bihup sup yang enak itu, datang seorang pengemis yang kurang akal. Saya rasa saya kenal pengemis tersebut. Semasa saya sekolah dulu, dia masih muda remaja, tetapi kini kelihatan telah berumur tetapi tetap sehat. Rodzi menghulurkan seringgit dua dan dia berlalu pergi. Teringat saya kepada seorang lagi pengemis yang sinonim dengan Jitra. Nama En ( mungkin singkatan dari Ibrahim). Dia pakai kain pelikat gulung besar paras lutut dan tidak pakai baju. Rambutnya gondrong. Sangat suka menjeling dan merenung orang. Tetapi dia tidak menggangu dalam konteks ganggguan fizikal. Saya tanya Rodzi. Katanya En pun masih ada dan sehat. Selalu terserempak dengan nya melilau dalam Pekan Jitra seperti dulu juga.


Selepas makan dan hantar Rodzi balik dirumahnya Taman Bunga Raya, saya recce D Bendang Kelubi. Restoran tutup. Jarak restoran ini dengan simpang lampu isyarat Pusat Kesihatan Jitra ( depan Sek. Keb. Jitra) ialah 2.1 KM.


Pada petang Sabtu, semasa berhenti tepi jalan dekat Tanjung Pauh selepas balik dari rumah Md Saleh Bakar di Kg. Gelong, terserempak dengan Kakja dan Ramli yang nak pi makan kenduri dan nak singgah di rumah Satirah. Balik dari sana, mereka singgah raya di Homestay saya.


Malamnya pulak minum teh dan Char Koey Teow bersama Md Tamin dan Che Azmi dekat warung depan Yawata. Depa pun dah sampai kampung kerana nak pi kenduri Satirah esok.


Sebelum balik Salak, saya singgah sekali lagi di D Bendang Kelubi. Masih tutup juga. Tak dapat lah nak rakam imej lebih dekat melainkan gambar jarak jauh saja. Overall tempatnya OK. Tak sempat nak singgah rumah Md Jamil dan Md Jaafar. Tak Sempat juga nak singgah Pesta Pulau Pinang tengok DZ berniaga. Mintak maaf manyak-manyak lah Mazlee. Lain kali lah nampaknya.

Sebab dalam perjalanan nanti nak singgah di Zoo Taiping menunaikan permintaaan anak bongsu saya Siti Hawa dan juga pekena Mee Udang Banjir Mak Jah di Kuala Sepetang.

Wednesday, November 25, 2009

Musim Hujung Tahun

Sedar tidak sedar pantas sungguh masa berlalu. Setahun bagaikan sekelip mata memandang. Kini kita sudah sampai ke penghujung tahun. 2009 bakal pergi meninggalkan kita tidak lama lagi.
Seperti selalunya, pada setiap hujung tahun, ada banyak perkara untuk dilakukan dan dikenangi. Bermula bulan November, berlaku perubahan iklim. Angin Monsun Timur laut mula bertiup membawa hujan lebat berpanjangan di pantai timur menyebabkan negeri-negeri disana mengalami bah besar. Peristiwa bah mungkin bencana tetapi kepada penduduk setempat ia perkara biasa dan detik yang ditunggu.
Di wilayah utara pantai barat pula, dengan kedatangan monsun Timur laut, mereka bakal menghadapi musim kering yang hangat dengan angin menderu-deru siang malam. Ia sesungguhnya musim penuh sentimen dan nostalgik. Pola musim seperti ini tidak terdapt di negeri-negeri sebelah selatan.
Hujung tahun memang dinanti oleh semua. Pelajar semua peringkat pengajiaan. Bakal pengantin. Pekerja kerajaan dan swasta. Ahli perniagaan. Bahkan sapa sapa pun yang tak dak kena mengena dengan semua tu. Cukup dengan tumpang semangkuk, maka semua pakat pakat tunggu hujung tahun.
Sebab itu kita dapati ujudnya agenda agenda seperti LIMA, Pesta Pulau Pinang, kenduri kawin, expo tu expo ni, promosi tu promosi ni etc etc.
Saya akan balik Kedah beberapa hari kerana meraikan kenduri kakak saya mengahwinkan anaknya di Jitra dan juga kenduri kawan sekolah SMJ - Makngah Satirah mengahwinkan anaknya di Alor Setar.
Kenduri selain menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang di beri Allah, ia juga istimewa sebagai wadah menemu dan mentautkan ukhwah yang mungkin renggang akibat perpisahan oleh waktu.
So, retiag lah untuk dapat luangkan masa. Korbankan sikit apa apa yang patut, hadir lah kenduri. Dalam kes ini, mai ramai-ramai kita pi rumah Satirah Ahad 29 November jam 4.00 petang di Alor Setar.

Saturday, November 21, 2009

Seorang Kawan dan Bahasa Melayu

Minum dengan seorang kawan. Lama tak jumpa jadi panjang lah cerita. Dari satu bab ke satu bab. Kereta. Mangail. Kerjaya. Macam-macam. Termasuk lah juga bab yang boleh dikira berat kerana ia menjadi isu nasional sejak sekian lama. Iaitu bab Bahasa Melayu.
Macammana kita nak ajak semua rakyat cakap Melayu sedangkan pemimpin dan media tidak lansung membantu usaha memartabatkan bahasa Melayu secara sungguh sunguh dan ikhlas. Demikian komen kawan tersebut. Hang tengok la ... majoriti pemimpin berucap dalam majlis rasmi guna Bahasa Inggeris. Tokoh-tokoh dan profesional Melayu bercakap dalam bahasa Inggeris ketika ditemubual. Depa ni patut sangat menggunakan BM 100% atau pun 99.99% pasai depa pemimpin. Bukan kah kepimpinan melalui teladan? Macamana kita nak ikut! gertunya lagi.
Yang anehnya dan patut dihargai ialah beberapa tokoh dan profesional bukan Melayu yang sedaya upaya menggunakan Bahasa Melayu ketika di temubual walaupun kurang fasih. Apa sudah jadi ni...
Saya tidak ada point nak hujah dengannya kerana ada kebenarannya. Sambil meneguk teh o limau, saya hanya mampu mencelah kepadanya " Kita orang Melayu tidak seperti bangsa Jerman, Korea. China dan Jepun. Dayantahan diri kita jauh lebih rendah berbanding mereka dan kita terpaksa terima hakikat ini.

Sunday, November 15, 2009

Benarkah cinta itu buta.

Hari minggu lepas saya pergi pasar basah. Jumpa jiran lama. Dengar cerita baru.
Anak teruna nya umur 17 tahun nak ambil SPM telah berenti mangaji. Berkahwin dengan seorang gadis , pegawai awam yang baru graduate ( tentunya dalam umur 24 atau 25 tahun). Ayahanda gadis itu tidak restu dan tak mau walikan nikah. Bondanya sigadis bawa pasangan tersebut dan nikahkan mereka di Siam. Yang penin kepala jiran saya tu.
Teringat saya kepada beberapa pasangan kekawan saya yang digelar belangkas kampus. Ada yang kawin semasa dalam pengajian. Tetapi hanya satu atau dua saja pasangan dari mereka yang masih kekal. Yang lainnya terbarai kerana jatuh hati kepada rakan sekerja.
Ini kah yang dikatakan cinta? Buta, celik, sejati, monyet dan macam-macam lagi. Apakah perkahwinan itu ikatannya? Ataukah perceraian itu uraiannya? Kerana salah seorang rakan saya itu, didepannya tidak boleh sebut nama bekas isterinya itu. Pantang! Seorang lagi pulak menyaman isterinya RM140K dan kes sedang bersidang di mahkamah. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak yang memerlukan kasihsayang dan bimbingan keduanya. Mereka membesar tanpa salah satu tempat bermanja atau dengan kedua-duanya tetapi tempang.
Semua orang pernah jatuh cinta. Separuh merana dan separuh bahagia. Bahana cinta ni macam-macam diperkatakan orang. Suci dalam debu. Mimpi sedih. Korban percintaan dsb. Amy Mastura bertanya berapa harganya cinta jika ia boleh di beli. P. Ramlee menggambarkan orang boleh jadi buta kerna cinta. Tiada batasan darah keturunan dan darjat. Antara penarik beca dengan kerabat. Ada yang tidak boleh idup tanpa cinta dan ada yang hidup mewah dengan cinta. Ada pulak yang terus-terusan hidup memburu cinta.
Namun yang paling selamat diantara semua cinta itu ialah cinta kepada yang Esa berserta para kekasihNya. Cinta kepada keluarga, bangsa dan negara. Nescaya kita tidak kecewa.

Tuesday, November 10, 2009

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

Tidak lama dulu saya membekalkan sebuah mesin yang diimpot kepada pengguna. Berat mesin tersebut ialah 100kg. Semasa menerima dan menghantar mesin tersebut saya memerlukan tenaga empat orang untuk mengangkat kedalam lori dan juga memindahkan ke dalam lab pengguna. Tanpa bantuan tenaga empat orang tersebut siap dengan troley sekali, memang amat sukar dan mustahil saya boleh melakukannya.
Semalam saya membekalkan pula barang yang beratnya juga 100kg. Tetapi barang tersebut di pek berasingan dengan setiap satunya 10kg. Bermakna ada 10 pek semuanya. Kali ini saya tidak memerlukan 4 orang pembantu kerana saya seorang pun mampu melakukannya. Dengan sekali angkat 20 kg, semua kerja-kerja mengangkat dan memindah kedalam makmal saya lakukan sendiri tanpa bantuan troley dan sebagainya.
Moral dari pengalaman diatas, ialah kalau kita bersatu memang sukar untuk ditewaskan. Kalaupun boleh, ianya memerlukan kerja lebih berat. Tetapi jika kita berpecah belah dengan hal masing-masing, kita dengan mudah akan ditewaskan walaupun dengan kederat paling minima. 1000 kg sekalipun boleh diuruskan oleh seorang individu jika pek berasingan. Jika pek tersebut lebih ringan atau kecil , misalnya 1 kg setiap satu lebih mudah diuruskan. Mungkin dicampak-campak saja.

Sunday, November 8, 2009

Musim Bah

Seorang kawan yang juga bekas bos saya masa kerja gomen dulu ajak pi Kedah. Dia nak jumpa seorang ulamak di Kuala Pai dekat Bukit Tembaga, Kuala Nerang. Oleh kerana saya ni asalnya orang Kedah, maka dilantik lah menjadi jurutunjuk arah.
Kami bertolak selepas Asar dari Kajang dengan menaiki SUV Rexton beliau pada petang Jumaat. Perjalanan merentas lebuhraya PLUS lancar. Di Ipoh tidak perlu lagi lalui plaza tol seperti dulu. Depa dah buat susur keluar untuk mereka yang ingin ke Ipoh (yang sepatutnya dibuat sejak mula dulu). Mana yang nak ke utara sudah dibina laluan khas dan plaza seterusnya di Juru, Penang ( di Juru pun sepatutnya dibuat macam di Ipoh , biar bayar terus di Hutan Kampung bagi mereka nak ke Utara - lumsum sekali bayar untuk satu perjalanan).
Trafik agak sibuk kerana hujung minggu ramai orang bercuti balik kampung. Sekarang tidak lagi macam dua puluh tahun dulu. Jarak antara Kedah dengan Kuala Lumpur boleh balik hari, kata orang Kedah. Kalau dulu, koman-koman mau 9 jam baru la nak samapai Alor Setar.
Pukul 12.00 tgh malam tiba di Bandar Darulaman. Seperti biasa, tempat menginap ketika balik Kedah ialah Taman Desasiswa, UUM. Sewanya 150.00 semalam. Ia sebuah rumah teres tiga bilik lengkap dengan hawa dingin dll. Saya bercadang nak booking tempat ini untuk rakan-rakan reunion kelak. Malangnya kata petugas, bermula bulan December 2009, perkhidmatan penginapan tersebut akan ditutup terus kerana ianya akan dijadikan hostel untuk pelajar antarabangsa UUM.
Pagi-pagi kami bertolak ke Kuala Pai melalui Wang Tepus. Malangnya Paksu (panggilan kepada tok guru tersebut) tiada dirumah. Menurut anak beliau, ia pergi ke Alor Setar atas urusan hendak ke Mekah dan dijangka balik kerumah pukul 3 petang.
Sementara menuggu pukoi tiga petang, kami aleh program dengan pi Pondok Bukit Lada dekat Kubur Panjang. Sekali lagi, tok guru pondok tersebut juga berada di Mekah. Untuk mengisi masa kosong yang panjang, kami ronda-ronda Alor Setar. Telefon Abd. Rahman Zainol nak ajak makan tengahari di Pumpong, tapi dia tak jawab. Alor Setar tetap seperti dulu. Sikit sangat perubahan yang berlaku. Tidak seperti Sungai Petani dan Jitra. Saya harap biar lah begitu.
Pukoi tiga, sampai untuk kedua kat rumah Paksu. Pun dia belum balik. Kata anak belaiu lagi, urusan belum selsesai dan mungkin pukoi 6 nanti. Sekali lagi kami keluag melilau. Kali ini saya ajak bekas bos saya tu ronda Jitra. Makan bihun sup Sungai Korok. Ketika itu langit yang mendung mula mencurahkan hujan.
Pukoi 6, dalam kehujanan sekali lagi pi rumah Pak su. Alhamdulillah kali ini dia sudah balik. Selain kami rupanya ramai lagi orang lain dok menanti. Oleh kerana hari sudah larut petang dan ramai tetamu, kami hanya sempat 20 minit kat rumah Paksu.
Hujan makin lebat. Dalam kesamaran senja ketika perjalanan balik, saya lihat air mula menenggelami rumpun padi yang baru ditanam. Bah mungkin akan berlaku. Dan sepanajng perjalanan balik, hujan mengiringi perjalanan kami.
Memang benar, tatkala sampai di Salak Tinggi, saya dengar Kuala Nerang dan Kuala Pai dilanda bah.
Maka, musim bah bermula lagi. Bencana yang akan menguji ketabahan sebahagian kita dengan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Monday, November 2, 2009

FORM + TINGKATAN = UPDATE

Bermula, Mazlee baru telefon sebentar tadi. Maka, berbincanglah kami akan beberapa isu pasai reunion F+T.
Adapun pasai :-
1. Restoran De Bendang Kelubi OK ka?
Mengikut Ramli, depa ( kerabat guru-guru) selalu buat di situ. Saya jugak ada risik dengan kekawan lain di Kedah minta pandangan, depa semua rekomen OK. Saya layar bebrapa blog, hampir semua komen OK. Tengok gambar-gambar dia pun OK, ada surau. Ada juga gambar-gambar mereka yang telah buat majlis disitu, lebih kurang macam dekat KSA. Lokasinya juga sangat dekat dengan pekan Jitra dan SMJ, masuk ikut jalan tepi klinik kesihatan yang ada padang pavilion dan kilang ayag menet dulu ( la ni tak dak dah). Insya Allah balik kenduri Satirah ni saya akan recce dan ambik gambag masuk dalam blog.
2. Tarikh dan masa macamana?
Kalau buat malam, 25 hb Dec. 2009 iaitu hari Jumaat malam Sabtu. Tapi kata Mazlee mungkin lebih sesuai kalau buat siang iaitu pada Sabtu 26 Dec mula dari makan tengahari bawa ke petang dan ada minum teh petang sekali. Rasionalnya untuk mudahkan kaum Hawa. Kalau malam depa problem melainkan kalau kita open majlis secara keluarga ( maknanya dengan spouse masing-masing.)
3. Kos nya pulak.
Mengikut Ramli, dicaj secara hidang bukan buffet. Satu kepala RM10.00 untuk setiap hidang. Maknanya, kalau satu hidang 10 orang harganya RM100.00. Kita cadangkan caj RM20.00 satu kepala. RM10.00 untuk makan, RM 5.00 untuk minum petang dan RM 5.00 lagi untuk hadiah cabutan bertuah dan mungkin kos lojistik lain jika perlu.
4. Tempat tinggal?
Tidak termasuk. Kena cari sendiri. Bagaimanapun urusetia tidak rasmi boleh membantu uruskan. Dekat Taman Siswa UUM, Bandar Darulaman ada kemudahan penginapan rumah teres 3 bilik dengan kadar sewa RM150.00 semalam/ sebuah rumah. Elok juga kalau kita sewa sana ramai-ramai kerana terdapat banyak kemudahan tersebut di situ. Depa yang duduk dalam Kubang Pasu mungkin tidak perlu penginapan, tapi dialukan kalau nak meramaikan suasana. Saya sendiri 95% hampir pasti akan menginap di Taman Siswa ini. Insya Allah.
5. Acaranya?
Makan, minum, ramah mesra dan resuaikenai, ucapan, dialog, sudut pameran dan jualan produk niaga kawan-kawan, cabutan bertuah, persembahan multimedia nostalgia SMJ, grup foto dll.
6. Perlaksanaan.
Bincang perancangan secara online. AJK majlis ad hoc bertugas akan di lantik kemudian.
Demikianlah adanya setakat ini. Adapun, kekawan buleh komen dan tambah apa apa maklumat dan pandangan. Positif dan negatif - tidak mengapa. Soal nyamuk, tikus, lintah, pacat, siput bukan isu besag. Kira normal la. Nyamuk kampung tidak bahaya macam nyamuk bandar (aedes). Aku tau la pasai dulu aku motong getah, tiap hari tidak kurang 2 tiga puluh ekog nyamuk mengisap darah aku.
Yang penting, jangan ada kandang babi kut dekat tu.

Tuesday, October 27, 2009

think future save nature

1. Saya balik kampung baru baru ni kenduri abang nak pi Mekah. Tersentuh hati saya bila lintas sungai Muda yang jadi sempadan Kedah Pulau Pinang. Apa sudah jadi dengan kita? Tebing kiri kanan sungai tu dah gondoi. Dulu penuh dengan pokok pokok nipah. Apa ka dia rasional dan justifikasi depa tebas hutan nipah?
Hutan nipah ditebing sungai jadi penebat tebing dari runtuh. Rumah dan habitat kepada hidupan seperti udang galah dan ikan sungai seperti baung. Tawas yang menjernehkan ayag. Menyerap sebahagian toksik. Dan juga sumber utama produk nira nipah yang baik untuk rawatan penyakit gout. Dia ambik masa berpuluh tahun untuk terbentuk. Mai kita tebas dalam sekelip mata saja. Manusia memang rakus.
2. Singgah di kampung datuk nenek sebelah emak di Tasek Gelugor. Petang tu naik mutu atas batas ban. Jumpa mak cik dok mengail dalam taliair. Tanya dia ikan apa dapat.
" Tilapia"
Puyu takdak ka?
Nak buat ubat pun payah. Sepat benua. Keli. Haruan. Apalagi baung dengan sebarau dan udang galah yang satu ketika dulu kalau nak ceduk ayag kena kuak depa dulu. La ni nak buat ubat pun payah!. Semua taliair dan sungai semulajadi berdekatan telah di perluas dan diperdalam dan dibersehkan . Sarang ikan diangkut ke tebing. Kemudian dilepas ikan tilapia. Ikan tilapia ni ikan import yang boleh hidup dalam semua kondisi hatta dalam kolam kumbahan sekalipun.
3. Terbaca dalam satu lapuran. Antartika akan jadi laut sepuluh tahun lagi. Kadar cairannya sangat deras dan bertambah setiap musim panas. Teringat saya kali akhir pi Cameron Highland setahun dua lepas. Sembang dengan seorang jaga. Komen pasai suhu kurang sejuk. Jaga tu kata apa " saya lahir dan membesar dan tua disini. Encik tengok tu" katanya sambil tunjuk kat saya serumpun pokok pisang yang hidup subur. " Dulu dulu puas saya tanam, tak boleh hidup. Sekarang bukan takat hidup tapi subur!"
Pokok pisang tidak boleh hidup dalam iklim sejuk.
Dengan sedar atau tidak kita sedang mengubah identiti dan jatidiri bumi sendiri.

Thursday, October 22, 2009

PERTEMUAN SMJian FORM + TINGKATAN .

Salam Semua.
Aku dah bincang dengan Mad Jaafar dan Ramli Jeram, dua tokoh logistik wilayah utara. Mulanya cadang kat Kelab Darulaman atau Dewan Milanium, Jitra tapi menurut sumber ada tempat lebih sesuai iaitu Putera Brasmana Hotel di Kuala Perlis. Kami cadangkan pada 25 - 26.12.2009. Agenda dia, check in lepas solat Jumaat dan check out pagi sabtu bagi mereka yang nak tidur di hotel . Program akan bermula selepas Asar sampai tengahmalam. Pengisian program akan di bincang lanjut. Tarikh ini dicadang pasai cuti umum dan cuti hujung minggu di Kedah. Ramai kekawan kita ada di Kedah. Lagipun kalau awai-awai cuti, ramai dok kalut dengan kenduri. Ramli akan find out maklumat lanjut di Brasmana ( kos dan kekosongan).
Ini cadangan kami. Cadangan rakan-rakan semua dialukan. Ataupun kalau sapa sapa ada rumah banglow pusaka yang sesuai, kita buleh tumpang buat majlis cara kampung - gotong royong masak, panggang ayam etc etc.
Kita harap ini akan jadi kenyataan sebagai " ice breaking" atau merintis denai kepada kerjasama antara kita yang boleh membantu apa-apa jugak keperluan ALUMRA untuk faedah SMJian seluruhnya. InsyaAllah.
Sila beri cadangan tuan/puan.
Tchusss...

Wednesday, October 21, 2009

Meletak Sesuatu Di tempatnya.

Apa harapan kita jika diberi kayu hoki kepada Koden yang sepatutnya menggunakan raket tenis? Memberi bola takraw kepada Che Azmi yang selalunya suka ligan bola rugby. Menyuruh Mazlee lawan berenang sedangkan dia pelumba trek. Dan bagi semua-semua itu kepada saya yang kaki bangku, kaki meja dan semua-semua kaki. Nanti saya guna kayu hoki buat cangkuk bola rugby untuk berenang kat kolam, ha tu dia baru. Tak ka haru dok mai kalau lagu tu.
Itu lah yang dikatakan meletak sesuatu hendaklah ditempatnya. Jika Koden seorang pemain tenis, maka bagi dia raket tenis. Bagi Che Azmi bola rugby kerana dia pemain rugby. Dan suruh Mazlee pecut di trek, bukan di kolam renang kerana dia bukan pemecut renang. Dan saya duduk saja la tepi padang tengok dan sorak. Misalannya.
Ini lah yang saya cuba nak kaitkan. Apa gunanya lampu isyarat? Secara logiknya ia untuk mengawal perjalanan trafik supaya lancar dan sempurna. Masalah trafik biasanya berlaku dipersimpangan sibuk. Simpang yang sibuk biasanya terdapat di bandar-bandar. Maka amat sesuai lah kalau setiap simpang sibuk di bandar dipasang dengan lampu isyarat.
Tetapi pelik bin ajaib, apakah rasionalnya lampu isyarat di pasang di kampung yang kita sempat tidog tengah jalan kalau nak melintas, nisbah jarangnya kenderaaan lalu di sana! Udah tu, oleh kerana dikampung pemantauan pun kurang, maka ikut suka pengendali hendak melaraskan tempuh lampu merah kuning dan hijau berfungsi. Sampai 60 ke 80 saat rona merah menyala sedang kenderaan ada sebijik saja dok cokoh menunggu.
Sudahnya kita lihat pengguna melanggar lampu isyarat. Bahkan tanpa lampu isyarat sebelum itu trafik lebih lancar dan selamat. Tetapi bila ada lampu isyarat dan ada pulak pihak yang terpaksa melanggar lampu, kadang-kadang dengan benda-benda lain sekali terlanggar dan berlanggaran.
Saya tidak melihat kepentingan lampu isyarat di simpang-simpang kampung yang trafiknya tidak sesak. Selain kena tanggung kos pembinaan dan kos operasi serta maintenance, ia mencipta peluang kepada pengguna melanggar peraturan lalu lintas.
Sudahnya siapa yang diperslahkan?

Monday, October 19, 2009

JEMPUTAN KENDURI MAKNGAH SATIRAH


Saya perturunkan jemputan kenduri dari Mak Ngah Satirah Latif sempena majlis kawin anak beliau yang di sampaikan oleh Kak Ja.
Anakjeram said...

ASSALAMUALAIKUM:Hebahan untuk Ex-SMJ Tingkatan 1 - 5 A,B,C,D 1971 - 1975 Termasuk Guru-guru yang terlibat mendidik kumpulan ini (Minta Ahmad Md. Saman Uruskan Hal ini) Dengan besar hatinya dipersilakan saudara-saudari ke Majlis Perkahwinan Anak Sulung Shatirah Bt. Latiff dan En. Zaki ke rumah mereka :

Di alamat : No. 5, Taman Sawa, Jalan Lencong Barat, 05050 Alor Setar, Keda(dekat stesen Petronas)

Pada : 29 November 2009
Hari : Ahad
Masa : 4.00 petang.
Pakaian : Batik ( digalakkan)
HP : 013-4302040

Semoga sekali lagi kita dapat bertemu di Majlis tersebut. Insyaallah....



Monday, October 12, 2009

Apabila Buluh Meruncing

Kadangkala saya terkeliru. Macam dipersimpangan jalan yang tiada tanda arah.
Sekali pandang memang geram dengan isu buluh runcing puak BENDERA Indonesia tersebut. Samasekali tidak masuk akal sebab musabab depa bertindak lagu tu. Kalau ikut rasa marah, hambat saja depa balik. Tidak kenang budi akan rahmat bumi Malaysia ni. Tempat depa kaut rezeki. Berjuta-juta rupiah diseludup balik kesana. Tapi tentu la ramai tak setuju. Pasai ia libat soal hubungan diplomatik antara negara.
Fikir lagi sekali, tentu ada sebab lain depa tak puas hati. Macam kita pernah bincang dulu. Yang tersirat dengan yang tersurat selalunya bagi impak berbeza. Mungkin depa bertindak atas sebab yang tersirat. Kalau depa bertindak atas dasar yang tersirat, memang tak masuk akal kalau kita lihat dari aspek yang tersurat.
Salah satu isu yang mungkin tersirat ialah kes-kes penipuan, penganiayaan dan layanan kejam oleh segelintir rakyat kita terhadap pekerja mereka seperti buruh binaan dan amah. Kisah-kisah amah didera dengan zalim, tidak dibayar gaji dan dicabul atau dirogol sering kita dengar. Begitu jugak kisah buruh kontrak ditipu dan tidak dibayar gaji. Didakwa berlaku sewenang-wenangnya oleh majikan atau toke lintah darah bahkan boleh digelar pontianak pun.
Kita tahu negara mereka taraf sosialnya memang rendah dan mereka sangat mudur dari potensi ekonomi. Mereka bergolok gadai datang ke bumi makmur ini untuk menumpang rezeki dengan keringat dan tulang empat kerat. Bayangkan hidup dalam pelarian menginggalkan anak-anak dan isteri yang menunggu dirumah dengan harapan rezeki bumi Malysia dapat merubah nasib. Tiba-tiba khabar yang dapat, ditipu dan dizalimi. Dilapurkan atau didakwa bahawa terdapat banyak pihak yang mengambil kesempatan keatas keadaan terdesak mereka ini.
Barangkali pengalaman saya dua tahun lalu ini menterjemahkan apa yang saya fikir.
Saya baru berpindah ke bandar Salak ini. Kawsan perumahan rumah sewa itu masih baru dan tidak ramai penghuni lagi. Sempadannya bersebelahan dengan kebun sawit.
Suatu tengah malam saya dikejutkan dari tidur. Memang benar-benar terkejut. Seorang lelaki asing berdiri didepan saya dengan parang terhunus. Saya melompat bangun dan terus bertempik. Seketika itu juga datang tiga orang lagi dengan parang terhunus juga berdiri kira-kira satu meter dihadapan saya. Salah seorang memegang anak lelaki saya sebagai tebusan. Seorang yang lain pula berkata"
" Encik, jangan bising-bising ya cik. Kami tak mau gaduh. Kita tak usah gaduh gaduh. Kami mahu wang saja. Mana wang. Bagi kami wang!"
Saya tidak jadi hendak berlawan. Salah seorang anak saya di tangan mereka.
" Minta maaf Encik, kami mesti ikat tangan encik"
Setelah mengikat tangan saya mereka menyelongkar seluruh isi rumah. Tiap barang yang ditemui mereka meminta izin mengambilnya. Bahkan rantai dileher anak perempuan saya pun diminta, tidak di rentap.
" Maaf, saya ambil ye " begitu lah sopannya penyamun penyamun ini.
Ketika mereka mengambil handset saya, anak perempuan saya berkata"
" Boleh tak bagi sim kad. Itu talipon bapak saya"
" Mau ka, tak payah lah .." jawab penyamun itu dengan selamba.
Selepas itu, mereka pun berlari pergi. Hanya saya saja yang diikat. Anak-anak dan isteri saya sikit pun tidak dikasari, baik dengan perkataan atau perbuatan. Mereka tidak nampak ganas. Mungkin penyamun amatur.
Tidak lama lepas itu saya dengar bunyi tembakan bertalu-talu. Apabila saya berlari keluar saya nampak beberapa anggota polis pakaian preman berkejaran memasuki semak dipinggir kebun sawit. Tetapi mereka lebih bersedia melepaskan diri.
Ada kalanya saya rasa simpati pulak. Mungkin mereka bertindak demikian kerana membalas dendam dianiaya oleh pihak-pihak tertentu. Sepertikata pepatah, orang lain makan nangka orang lain kena getah. Dan kita rakyat jelata yang menjadi mangsa.

Wednesday, October 7, 2009

memoir seorang kawan

Saya mengenalinya kira-kira 15 tahun dulu. Orangnya sangat periang. Suka melawak. Sporting habis. Kampung di Gunung Keriang, Alur Setar. Minatnya mendalam dalam bab kereta. Dia ada 230E dan Pajero. Pernah bekerja sebagai drebar teksi. Kontraktor. Tetapi yang paling akhir pengusaha restoran. Premis terakhirnya di Food Court UNITEN, Bangi. Saya panggilnya Abang Halim dan Kakak Faridah kepada isterinya. Usianya sudah lewat lima puluhan. Saya selalu lepak di food court dia sambil pekena bihun sup utara.
Malam Isnin lalu saya dapat call dari rakan gaharu saya yang juga rakan baik beliau dari Tunjang , Kedah - depa panggil Pak Su Shaari. Saya ingatkan Pak Su Shaari nak tanya atau cerita pasai pokok gaharu atau dapur gaharu dia, tetapi nada suaranya mendatar saja. Sayu dan pilu. Rupa-rupanya dia mambawa khabar bahawa Abang Halim telah pulang ke rahmatullah. Pergi buat selama-lamanya. Saya terkedu sebentar. Dalam tempuh enam bulan terakhir ini, dia menderita sakit teruk. Batuk berdarah. Suaranya tidak keluar. Dia pernah ajak saya pergi berubat dengan seorang pakar terapi di Seremban, tapi saya kebetulan tidak dapat, kemudian apabila saya boleh, pakar tersebut pula balik kampung dan apabila saya boleh dan pakar itu boleh, Abang Halim sudah balik berubat di Kedah.
Khabarnya beliau meninggal di Sungai Petani, Kedah. Dan di makamkan di Gunung Keriang. Asbab kematiannya dikatakan oleh barah paru-paru kesan dari tabiat merokoknya. Dia seorang super heavy smoker. Namun itu hanyalah sebab kematian, hakikatnya ajal dan maut adalah ketentuan Allah azza wa Jalla. Alfatihah.
Kepada Kak Faridah dan keluarga, salam takziah. Kepada kawan-kawan heavy smoker - asas kesihatan bermula dari input bahan makanan ke dalam badan.

Sunday, October 4, 2009

Dan Kiambang Pun Bertaut

Sireh pulang ke gagang. Belut balik ke lubuk. Bangau mencari belakang kerbau.
Dan kiambang pun bertaut.

Malam gemilang itu telah berlalu. Mencatat satu sejarah baru. Menambahkan koleksi kenangan abadi. Sungguh, rasanya macam mimpi tetapi ia memang reality. Tahniah dan pujian khas memang patut untuk “ men of the nite” sdr. Koden dan Prof. Dato'. Azhari yang belemoih-lemoih mengusahakan kejayaan perhimpunan itu. Tentu juga perlu disebut tentang empat serangkai yang turun all the way dari Bagan, menghilir sejauh 400KM semata-mata kerana visi dan misi nak jumpa dan sokong usaha untuk SMJian – ALUMRA kemudian malam itu juga mereka memudik kembali ke utara kerana esoknya harus bertugas pula. Syabas untuk – Mazlee, Mazlan, Kamal dan Roshita. Dan semestinya lah juga kepada semua AJK penggerak ALUMRA yang saya tak dapat sebut nama pasai tak dan kenai.

Saya bagaimanapun gagal melengkapkan sebuah meja. Dari grup kami di Lembah Kelang hanya Che Azmi dan Mat Aris yang ada masa untuk berkongsi malam penuh makna itu. Tidak mengapa esok masih ada.

Majlis bermula pukul 8.00 malam dan berakhir pukul 12.00 lebih. Tetapi masa lebih kurang 4 jam itu rasanya macam 4 minit dan tidak sempat nak beramah mesra dan bersuaikenal dengan semua hadirin. Bagaimanapun sdr. Azhari sempat berbisik , ini hanya satu permulaan. Rancangan akan datang kita akan berhimpun di homestay seorang ahli di Jitra, buat majlis ala kenduri, perebah lembu ka kerbau ka. Kalau tidak kambing atau ayam. Paling lekeh pun bakag sotong dan udang. Semua pakat-pakat lapah dagin, besiang bawang, kacau gulai etc etc. Ia akan lebih tersusun dan terancang. InsyaAllah.

Koden rengke sama abang-abang dia dua tiga orang dan anak dia sekali. Salah sorang abang dia dengan penuh semangat telah memberi “ucapan dasar” yang menyentuh mengenai pentingnya ALUMRA dizahirkan untuk kita mencipta peluang dan faedah bagi sekelian SMJian yang sejak dulu, kini dan akan datang. Memang benar, kita selalu dengar tetapi selalu jugak kita lupa bahawa sebatang lidi sentiasa mudah dipatah-patahkan, ada nama takda nilai tetapi seberkas lidi akan bertukar menjadi penyapu dan bila di gantung dalam kedai, harganya sekian-sekian kerana ia sudah mempunyai nilai kepada ekonomi dan khidmat untuk masyarakat. Ini lah isu yang disebut oleh Prof.Dato'. Azahari – rebranding SMJian. Kita harap begitulah. Sebab saya tilik-tilik depa yang mai tu semuanya hebat-hebat belaka, seperti Dr. Azizan misalnya yang memikul tanggungjawab misi saintifik meneroka dan menakluk kutub utara bagi pihak negara Malaysia. Sdr. Mahathir(?) kalau tak silap saya, kata Koden the one and only Malay (Malaysian ? ) yang pernah main tennis di Wimbledon. Mat Aris yang menakluk Selat Sunda, Selat Melaka dan Selat Inggeris dengan sukan kayak. Madud si artist tu - bukan saja merdu menyanyi lagu raya tetapi juga kepakaran seninya dalam menghasilkan sculptor kaca bukan calang-calang. Dalam bidang seni disebut Fine Arts. Ada orang orang pilih tanah liat. Ada pilih kayu. Besi atau sampah sarap. Tapi Madud pilih kaca. Sculptor berteknologi. Bukanya lekeh. Ramai lagi saya percaya dan yakin yang ada kepakaran masingmasing yang boleh dikongsi dan dimunafaatkan kepada sekelian ahli, khususnya generasi pelapis kerana kita ni rata-rata dalam waiting list untuk menerima anugerah gelaran “datuk” dari anak dan menantu.

Semuanya demi SMJian sebagai mengenang tempat jatuh kerana kita pernah berhujan panas di SMJ. Cuma pada waktu atau zaman yang berbeza.

Saya harap kita akan bertemu lagi dalam perhimpunan yang lebih besar , terancang dan mendapat penyertaan 100% - kalau tak boleh pun biarlah 99.9999 % jadi lah. Kata Prof.Daato'. Azhari, pastikan 1HB JUN tiap tahun kita dapat lock the diary untuk AGM(?) ALUMRA – betulkan kalau saya silap Koden .

Barangkali dalam program rebranding , dalam pertemuan seterusnya, kita boleh tambah agenda-agenda input maklumat seperti:-

1. multimedia show mengimbas kenangan silam, perkembangan semasa, latarbelakang SMJ, profil tokoh yang terbilang atau terpilih etc etc. guna menumpahminyakkan semangat we feeling SMJian.

2. Adakan sesi suaikenal supaya apabila balik dari majlis, kalau tak dapat kenal 100% pun dapat kenal 99.9999% jadi lah. Jadi kalau teserampak di jalan, boleh la ajak minum te tarik.

3. Adakah perhimpunan agung tahunan ( bukan AGM) dalam bentuk ala kenduri kampong tetapi pengisiannya secara professional dengan diadakan pembentangan kertas kerja, program motivasi, sukanika atau hiburan ringan yang selari dengan syariat, program bina keluarga, kem pendidikan etc etc – supaya kaum keluarga dapat tumpang semangkuk.

4. Selitkan slot tahlil/ratib/baca Yassin khas untuk arwah kedua ibubapa kita dan guru kita yang telah pergi meningggalkan kita atau yang masih ada kerana harga pengorbanan mereka kepada kita tidak ada nilainya seisi dunia ini – kita ni muslimin muslimat apatah lagi ramai yang dah lohog – supaya usaha kita sentiasa diberkati dan pekerjaan kita tergolong dalam amar maaruf.

5. dll

Biarlah usaha kita ini tidak terhad kepada berkongsi mengembali nostalgia dengan beramah mesra saja tetapi menjadi satu organisasi masyarakat yang aktif mengukuhkan kedudukan ekonominya dan berkesan membantu kecacatan social ahlinya dan terbilang meningkatkan peluang pencapaian tahap pendidikan serta kualiti hidup warga SMJian seluruhnya.

He.he he.. Macam mat jenin bunyinya tetapi orang-orang Cina telah mengamalkan turun temurun. Tanyalah mereka.

Malam Kiambang Bertaut 09 mungkin sempena jamuan raya dan aromanya pun memang raya. Memang sungguh bermakna. Tetapi tentu lebih bermakna jika kita dapat mengenali sesame kita dengan lebih intim kalau ada program suaikenal atau mengenalkan diri. Tidak hanya terbatas dalam kelompok 61, 65, 82, 75, 59, etc etc. sebab philosophy kita menggerakkan ALUMRA ni pun bersifat SATU SMJian, tidak kira dari kelompok mana, asal pernah mengaji disana, maka kita mahu satukan mereka untuk berkongsi faedah. Memang sukar nak jadi macam Mazlee yang boleh join semua meja!.

BTW , tahniah sekali lagi kepada Koden dan AJK majlis. Pengorbanan tuan-tuan tidak dapat dinilai dengan RM. FOTO

Wednesday, September 30, 2009

ALUMRA - refresh

Jamuan AlUMRA di Kelab Shah Alam pada 3.10.09 Sabtu 8.00 malam.

Menurut Koden sapa-sapa di Utara yang nak datang, InsyaAllah dia akan urus bas dan cari sponsor untuk sumbangan RM30.00/head itu. Dalam kata lain, kira percuma. Janji sanggup nak turun ke Shah Alam. Tapi kena konfem segera dengan dia sebelum esok (Khamis.)

Mazlee, boleh ka team up dengan memba sebelah utara sana pakat turun mai sama? Kita pakat support Koden agar penat lelah dia berbaloi. Mudah-mudahan. InsyaAllah.

Tuesday, September 29, 2009

Luka Lama Berdarah Kembali

Ahad lalu tamatlah Ops sikap XX. Lapuran yang keluar menyedihkan ramai pihak. Big boss Che Azmi pun turut kecewa dengan rekod 17,335 kes dalam tempuh 14 hari. Dari jumlah itu 261 maut. Super big boss pun mengeluh juga. Kalau dicongak, nyata ia lebih bahaya dari virus H1N1.
Ramai pihak tampil memberi pandangan, komen, pendapat etc etc. Teori dan anologi. Tidak kurang saling salah menyalahkan. Tetapi yang nyata, sudah hampir 10 tahun dan sudah sebanyak 20 kali dilaksanakan, isunya tetap sama. Pi mai pi mai tang tu jugak. Apakah pengalaman tidak diguna sebagai pengajaran untuk pedoman? 20 kali dalam 10 tahun satu tempoh yang lama dan bilangan yang banyak - jika untuk dipelajari , buleh siap first degree, master dan PHD sekali.
Ramai menyalahkan kelajuan sebagai punca membunuh. Memandu laju adalah sikap. Termasuk dalam sikap juga ialah memandu secara mementing diri. Memandu secara berbahaya - keluk sana keluk sini. Potong Q. Memandu perlahan ( kemut-kemut). Penggunaan isyarat tidak sesuai. Pendekata sikap lah punca utama.
Sikap adalah tabiat. Memang sukar melayan tabiat. Gertak tak makan. Ugut pun. Denda ka. Apa lagi nasihat. Sign board dan tanda jalan jadi hiasan saja bagi mereka bertabiat menongkak susila penggunaan jalan raya. Bak kata Big Bos Che Azmi - hukum bunuh pun depa tak takut!
Kalau udah gitu, ada satu pendekatan yang mungkin realistik tetapi agak lucu. Kalau kelajuan faktor utama masalah problem kemalangan jalanraya, pihak berkuasa boleh kuatkuasakan undang-undang supaya semua kenderaan secara teknikalnya dibina dan diubahsuai supaya tahap kelajuan maksimanya tidak melebih 110KMJ. Tekan minyak rapat lantai pun dia buleh cecah 110KMJ saja. Seperti kita bina bumper dijalan-jalan kampung dan taman-taman perumahan. Pengguna Malaysia mungkin kena dipaksa mengikut peraturan. Pihak penguatkuasa pun tidak perlu memasang perangkap laju. Boleh save masa dan kos membeli peraltan dan operasi.
Lebuhraya juga jangan buat luas-luas. Jangan bagi ruang untuk kaki potong Q sebelah kiri menyelit. Buat ngam-ngam dua kereta beremba cukup. Biar semua Q panjang-panjang dan terpaksa jalan pelan-pelan ikut BARISAN. Paksa semua ikut BARISAN. Jangan bagi can depa buat lengkongan atau bulatan.
Pasti masalah kelajuan tidak akan timbul.

Wednesday, September 23, 2009

KISAH DUA WANITA DI DUA KUALA PADA MUSIM RAYA

Saya terbaca dalam sebuah akhbar. Kisah dua wanita di dua kuala. Diceriterakan pada musim hari raya.

Kisah pertama.

Namanya Fazilah Mohamad di Kuala Perlis. Ada lima anak. Berusia 35 tahun. Suaminnya meninggal tahun lalu di belasah oleh sekumpulan 20 lelaki kerana dituduh mengintai anak dara. Seorang surirumah sepenuh masa.

Selepas hilang tempat bergantung tentu lah amat sukar bagi seorang ibu atau balu yang tiada pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Dapat kita bayangkan cabaran hebat tersebut untuk hari-hari mendatang.

Namun, Allah tidak menghidupkan makhlukNya melainkan didatangkan kepada mereka akan rezeki yang sepatutnya. Tragisnya dalam kes Puan Fazilah ini ialah orang yang datang membantu dan cara bantuan dihulurkan.

Bukan seorang tokoh politik. Bukan NGO amal. Atau Pejabat Zakat. Pejabat kebajikan. Dermawan ummah. Tok Haji lima kali ke Mekah. Bukan dari mereka yang sepatutnya berbuat demikian. Semuanya bukan!

Tetapi yang membantu ialah seorang toke Cina di Kuala Perlis. Seorang pemborong ikan.
Dan dia tidak beri ikan. Tidak juga wang. Tidak juga dipanggilnya orang media merakamkan upacara pemberian dalam majlis gilang gemilang. Tidak!.

Apa yang dibuat oleh toke itu ialah di bekalkan ikan kepada wanita itu dengan kemudahan kredit untuk ia dapat memulakan perniagaan ikan. Selepas setahun, puan Fazilah telah berjaya mengembangkan perniagaan ikannya di Kuala Perlis dan siap menggaji pembantu sekali. Dan pada musim raya tahun ini, segala persiapan hariraya berjalan lancar seperti selayaknya.

Kisah dua.

Nama samarannya Mek. Berasal dari Kuala Lipis. Suaminya masih hidup tapi seorang penagih tegar. Ada anak 7 orang.

Menjelang Ramadhan dan musim raya ia tenggelam punca memikirkan kegembiraan anak-anak pada hari tersebut. Suami tidak boleh diharapkan. Dia meminta bantuan seorang kawan yang bekerja di Kuala Lumpur.

Kawannya pelawa datang ke KL. Ada peluang kerja. Maka dia pun turun lah ke KL. All the way from KLipis to KLumpur – demi anak-anak untuk hari raya , katanya.

Di KL, mulanya dia jadi GRO sehari dua. Tetapi selepas itu naik pangkat kepada pelayan nafsu lelaki. Sepanjang bulan Ramadhan. Pendapatannya agak lumayan. RM40.00 satu jam. Dibahgai dua dengan bapa ayam dia dapat RM20.00. Satu hari dia melayan 10 lelaki. 10X20.00 = 200.00 sehari x 30 = 6,000.00. Dengan pendapatan 6K, dia kembali ke KLipis membuat persiapan raya untuk anak-anaknya.

Bila ditanya wartawan, katanya itu adalah pengorbanan untuk anak-anak. Dia tidak sanggup melihat anak-anaknya bersedih dihari dimana orang lain bersuka ria. Dia sanggup di panggang dalam neraka demi anak-anak. Itulah rumusan pengakuannya kepada wartawan tersebut.

Ini adalah kisah-kisah biasa dalam kehidupan di negara yang kaya dan makmur ini. Segelintir kecil dari selain apa yang dibawa oleh Bersama Mu TV3. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah toke Cina di Kuala Perlis dan cara ia membantu Pn. Fazilah. Sepatutnya itulah cara yang terbaik yang perlu dibuat oleh pihak-pihak berwajip. Saya bermohon kepada Allah agar orang macam ini diberi taufik hidayah agar dia beriman dengan Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan.

Seperti kata bijak pandai, jika nak bantu seseorang, jangan beri mereka ikan tetapi beri mereka benang, ajar buat jala atau jaring, tunjukan lubuk ikan baru lah bantuan itu berkekalan. Jika bagi ikan, bila habis dimakan, terpaksa diberi lagi. Sampai bila kalau macam tu?

Dan apa yang menyedihkan pula ialah kisah Mek. Apakah kita nak hukumkan dia seperti seorang yang mencuri makanan kerana terlalu lapar? Atau seperti seorang yang terpaksa makan daging babi kerana kebulur demi survival?

Yang jelas setiap umat Islam wajib berzakat dan duit zakat khabarnya bertimbun timbun. Lebih afdal disalurkan kepada golongan seperti ini kerana merekalah asnaf prioriti berbanding mengembangkan projek-projek elit ekonomi ummah.

Raya Kali Ini

Dalam keadaan tak menentu kerana keputusan tak dapat dibuat, jiran taman makin sejat. Pakat balik kampong belaka. At last jadi sunyi . Maka saya pun akhirnya terpaksa akur. Kemaskan barang. Balik kampung jugak.
Pukoi 2.30 pagi hari Jumaat malam Sabtu , saya mulakan perjalanan. Andaian saya, waktu itu semua orang dok syok tidog. Tentu jalan tidak sibuk. Tak gaduh la nak jem atau sekurangkurangnya bump to bump driving yang tidak menyeronokan itu kerana saya drive four wheel manual. Kalau kena jem, lengoh lutut dibuatnya.
Rupenya andaian saya meleset. Sebaik lepas tol Jalan Duta, kenderaan berderet. Sampai Tanjung Malim terus jem. Kena lah nyot nyet nyot nyet merangkak. Oleh kerana tak tahan, sesampai dekat exit Behrang, saya tukar fikiran. Lebih baik ikut jalan lama kalau keadaan macam ni. Dah la jem, kena bayag tol pulak. Mana aci.
Jalan lama flow trafik OK sebab di kebanyakan tempat dia buat double carriage way dah. Tetapi jalannya pulak berlopak dan beralun. Dulu masa JKR buat tak macam ni. Sejak privatise ni, kualiti jalan memang kurang memuaskan. Agaknya pihak berkuasa perlu naikkan cukai jalan untuk tampong kos selenggara jalan persekutuan.
Selepas melaluinya, saya rasa memang munasabah banyak kemalangan maut berlaku di jalan-jalan ini kerana keadaan jalannya berbahaya - beralun, berlopak dan tanda jalan yang keliru dan celaru.
Oleh kerana faktor itu, akhirnya saya sampai di Bandar Darulaman pukoi 12.30 tengahari - selepas 10 jam dalam kereta !
Saya menyewa di rumah teres Taman Desasiwa UUM, Bandar Darulaman dengan kadar 150.00 semalam. Selain saya, ada dua keluarga lagi yang saya rasa seperti saya. Selebihnya adalah keheningan semata.. Mulanya nak beraya kat rumah adik saya yang biasanya kosong, tetapi pada raya kali ini occupied. Nak raya rumah abang sulung di Changloon, anak dan cucunya pakat balik belaka. Tidak mengapa lah, asal dapat balik Jitra, dimana-mana pun tidak menjadi hal - asalkan Jitra seperti kata Koden.
Malam tu saya keluar ronda Bandar Darulaman. Dulu namanya Pekan Tanah Merah. Di belakang Pekan ini lah kampung Che Azmi dan Mat Tamin. Dulu estet getah kebun raja. Masa tu, pukoi lapan dah gelap gelita. Dekat gon Kampung Muhibah ( dekat Petronas ) ada pokok pulai tiga beradik. Macam-macam cerita tentang pokok pulai tiga beradik tu. Sebab tu, lepas pukoi lapan tak dak sapa berani nak lalu kut situ sorang diri.
La ni keadaan terbalik 360 darjah. Malam tu, jalan jem. Macam kat pekan rabu. Depan Yawata depa lelong baju dan kuih raya. Sampai pukoi dua tiga pagi dok riuh rendah lagi. Tah tah Cheazmi dengan Mat Tamin pun ada apa. Tapi orang dah ramai sangat , mana nak kelih.
Saya solat sunat idulfitri di Masjid Bandar Darulaman. Lepas solat musing la kiri kanan kut kut terserempak sapa sapa yang kenai. Qariah masjid ni yang saya tau Husin Putih, Ahmad Jaafar, Ku Azir dan Ikram Loh. Tapi sorang pun tak nampak dan tak dak yang kenai. Terasing sungguh di pagi hari raya ni.... ukh ukh ukh ...
Lepas solat raya bawa anak anak ziarah makam tok dan tokwan depa yang terletak dekat Lubuk Kawah, kampongnya Siti Rokiah. Disini saya jumpa bebrepa kenalan lama yang sama tujuan dengan saya. Lepas tu pi rumah abang kakak pak menakan mak menakan dan sepupu sepapat. Dan jugak la singgah kat rumah Ramli and Kakja di Jeram. Hasrat saya amat teringin nak menziarah semua rakan-rakan, tak kira la lama ka baru ka yang ada di Kedah khususnya Jitra , tapi keadaan tidak mengizinkan.

Monday, September 14, 2009

dendang perantau - satu catatan silam.

Sejat. Dalam tempuh dua tiga hari lagi.
Bandaraya dan ibu bandaraya bakal sejat dengan warganya. Dialirkan mereka itu balik ke kampung halaman tempat asal usul mereka di merata ceruk dan pelusuk negara. Lebuhraya akan berarus dengan segala jenis kenderaan. Dan kampung kampung menjadi banjir dengan anak perantau kembali kepangkuan keluarga. Walaupun untuk sedetik ketika.
P. Ramlee mengalunnya merdu mendayu. Sudirman ghairah dan ceria "balik kampung". Semuanya satu suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Dan adakalanya pula yang ditunggu tak tiba-tiba. Rupanya bukan sedikit perjalanan mereka berakhir di jalanraya.
Mula-mula saya balik kampung dengan keretapi. Turun kat Bagan lepas tu naik bas ke Alor Setar kemudian naik bas lagi ke Jitra. Kemudian saya balik naik bas express. Masa tu Tunjang Express, Kota Ekpress dan MARA Ekpress. Kemudian pula saya balik naik motosikal scrambler. Last sekali balik dengan kereta. Dengan kapai terbang tak pernah. Gayat.
Dulu dulu guna jalan persekutuan. Kalau naik motosikal paling seronok. Corner banyak. Naik kereta paling boring sebab selalu sangkut kat Bukit Berapit di Perak. Naik bas, tengok nasib. Kalau kena sebelah ehem-ehem, KL-Alog Stag rasa sat sangat. Kalau kena sebaliknya, mak datuk, punya lah lama macam nak pergi Amerika. Naik keretapi boleh merayau dalam gerabak.
Yang paling best, biar dengan apa sekalipun kita balik, sesampai di kampung, ayah bonda dan adik beradik menyambut dengan gembira. Rakan-rakan lama dapat berjumpa mesra. Bonda selalunya akan buat ketupat daun palas. Adik-adik pulak sibuk pasang pelita buluh.
Fasa dua bila berkeluarga. Masih teruja untuk balik setiap raya. Dapat menemukan cucu-cucu dengan tok wan dan tok depa memang rasa sangat bahagia. Sesampai di laman, ada orang dok tunggu dah nak buka pintu kereta untuk mendukung simanja. Begitu juga ketika nak balik semula kekota.
Pendek kata memang berbaloi cuti balik kampung pada hari raya. Sebab tu sapa-sapa yang tak dapat cuti, mahu depa meraung di tempat kerja. Cuma kita tak dapat dengar pasai dok seronok gumbira di kampong bersama keluarga.
Namun semua itu akan ada penghujungnya. Zaman akan berubah. Hukum alam kata begitu. La ni dah terbukti pun. Kalau balik pun dok tumpang rumah sedara. Atau rumah sewa dan hotel. Ayah bonda sudah tiada. Nak jumpa kawan pun depa dah kena bergiliag, tahun ni di Jitra tahun depan di Kuantan. Orang-orang tua kampung yang banyak kita menyimpan kenangan bersama mereka semasa zaman kanak-kanak pun semua udah tiada. Generasi baru pulak ada yang tak kenai sapa kita. Apa lagi pelet cakap anak kita dah tak ada loghat depa.
Hari demi hari kita menjadi semakin terasing. Tahun ini saya masih mencatur samada nak balik atau tidak. Apa lagi tempuh waktu cuti umum seminggu akan membuat jadual perjalanan lebih sesak.
Kepada semua, Salam Aidil Fitri , maaf dzahir bathin kalau terbias bicara.

SATU SMJian

Achtung !!!

Semua SMJian di Klang Valley ( Sepang, Ulu Langat, Kuala Langat, Cheras, Shah Alam , KL, Putrajaya, Cyber Jaya, Kelang, Subang, PJ, Nilai pun boleh pasai dia sebantal dengan Lembah Kelang).

Kalau jauh kita dekatkan. Bila dekat kita rapatkan. Sudah rapat kita ikatkan. Jadi Satu Jitra. Satu SMJian. Tidak kira Tong Seng, Ahmad atau Ramasamy ( tiga watak utama silibus subjek tata rakyat ka BM ka lupa dah, masa sekolah rendah tahun tahun 60an dulu.) Semua welcome!

Koden dengan gigih mahu mengayam hasrat ini. Dia telefon petang tadi. Katanya war-warkan lah dalam blog. Kita harap sangat sesuatu dapat dicapai, katanya. Bukan sedikit anak-anak SMJian yang dulu dok main lanyau bendang la ni dah jadi somebody di Lembah Kelang ni. Barangkali banyak munafaat dari pertemuan yang bakal diadakan. Berkongsi pengetahuan, pengalaman dan bertukar fikiran, setidak-tidaknya ada sesuatu yang boleh ditingggalkan kelak kerana yang pasti kita tidak akan menungkat langit.

Bukankah apabila mati anak Adam, maka putuslah hubungannya dengan dunia melainkan tiga perkara iaitu :-

1. Meninggalkan anak yang soleh.
2. Meninggalkan ilmu yang dimunafaatkan.
3. Meninggalkan amal jariah.

Alangkah murninya hasrat beliau kalau disuluh dengan hati dan jiwa Nurani.

Maklumat selalanjutnya:-

Tarikh : 3 Oktober 09 (masih Syawal – di LK raya sebulan)
Tempat : Kelab Shah Alam
Masa : 8.00 Malam – jam Melayu moden.
Sumbangan : RM30.00 per head.

Koden mintak saya penuhkan satu meja. Dalam kepala saya dok nampak Cheazmi, Hashim, Siti Rokiah, Ain, Mohd Aris Bachik. Saya harap jaringan ini jadi MLM. Setiap sorang yang saya sebut diatas kalau boleh depa kembangkan dua ka tiga ka. Bukan satu, dua meja pun dapat Koden ai. Hopefully..

Itu la serba rengkas dalam perbualan panjang saya dengan Koden. Kalau ada apa-apa soalan, Koden welcome to tanya.

Friday, September 11, 2009

DEB - from the other side of midnite

Dengan jelas Tun telah memperincikan idea, dasar, perlaksanaan dan harapan DEB dalam komuniti majmuk satu Malaysia. Dasar yang boleh dianggap kontroversi kerana ia menjadi antara isu panas setiap kali didebatkan. Dilihat dari perincian yang Tun listkan satu persatu, seolah-olah tiada satu pun cacat celanya. Tetapi pasai apa ia masih menjadi hujah ramai pihak, tidak kiralah dari kalangan politikus, ahli perniagaan, tokoh akademik, pelajar, rakyat jelata bahkan kakitangan kerajaan sendiri termasuklah kita bloggers awangan.

Apa yang diperkatakan oleh Tun itu memang benar , Madud - jika dilihat dari sudut seorang pemimpin dan ahli politik bercakap. Sebab Tun seorang politikus. Seorang politikus apabila bercakap mengenai agenda politik, dia tidak bebas dari sikap dan pemikiran berat sebelah terhadap apa apa jua kepentingan politik mereka. Ini realiti yang samada suka atau tidak kita terpaksa terima.

Kedua, Tun melihat isu ini dari puncak gunung menghala kebumi kerana beliau orang yang duduk di puncak. Demikian juga sapa sapa pun yang duduk bersama sama di tempat beliau itu. Pandangan yang belaiu nampak dan rekodkan tidak sama dengn kita yang duduk dibawah dan terpaksa memandang dengan mendongak keatas.

Kalaulah boleh saya buat andaian, Tun duduk dipuncak Jerai dan melihat persekitran sawah dan dataran negeri Kedah. Memang lah cantik sawah yang menghijau kalau musim menanam dan keemasan jika musim menuai. Seperti hamparan permaidani. Tetapi yang tahu hal sebenarnya ialah kita yang duduk bergelumang dengan lanyau. Bau busuk. Darah meleleh oleh gigitan lintah. Penyakit bena perang. Tikus dll.
Sebagai orang atas puncak, Tun AJAK, SURUH dan GESA kita naik bersama untuk menghayati apa yang dia lihat. Berkongsi apa yang dia rasai. Capai apa yang dia genggam atau cuba capai. Persoalannya perbuatan MEGAJAK , MENYURUH dan MENGGESA memang mudah dan menjadi amalan orang atas puncak.
Tetapi orang bawah puncak tidak perlukan itu. Apa yang mereka perlu ialah BAWA atau DIBAWA. Orang atas puncak kena BAWA atau MEMBAWA orang bawah naik keatas. Kena tolong bawa bukan setakat suruh, ajak dan gesa. Inilah masalah dalam DEB. Tun hanya bawa orang-orang tertentu, tidak semua orang. Kepada semua orang hanya disuruh, diajak dan digesa.
Dikatakan Melayu mendapat banyak munafaat dari dasar ini. Dikatakan pengagihan kekayaan negara lebih seimbang. Dikatakan sistem sosial lebih adil dan saksama. Dikatakan kedudukan politik lebih stabil. Tetapi hal sebaliknya turut berlaku tapi jarang diperkatakan.
Sejauhmanakan pencapaian 30% bumi dalam perniagaan itu tulen mewakili kejayaan majoriti Melayu? Ada sumber mendakwa syarikat yang dikatakan mewakili Melayu dalam 30% pencapaian itu terdiri syarikat GLC, iaitu syarikat yang kerajaan mempunyai kepentingan. Bukan syarikat bumi biasa ini. Sudah tentu ini tidak mencerminkan pencapaian sebenar Melayu.
Dalam situasi sebenar juga, peniaga Melayu sukar mendapat kerjasama atau mencanggkuk dalam rangkaian niaga negara ini kerana dicemburui oleh bukan Melayu kerana dasar ini. Kaum lain sering salahfaham terhadap usahawan Melayu. Selalu kita dengar pengguna berkata susah berurusan dengan syarikat Melayu kerana servisnya lembab dan harganya mahal. Tetapi pengguna tidak tahu harga borong yang diperolehi oleh syarikat Melayu lebih mahal dari harga borong yang diberi kepada non bumi. Ini kerana dalam sistem ekonomi, non bumi yang mengawal semua ini.
Dan yang paling penting sekali, DEB seolah tongkat kepada peniaga Melayu. Tun pernah kata orang Melayu tidak boleh bertongkat selamanya. Bayi bertongkat lambat nak boleh berjalan. Biar dia rebah luka lutut kerana belajar berjalan lebih baik dari bagi tongkat, kerana dapat berjalan hasil sakitnya luka lebih dominan dan resistan kepada semua bentuk halangan. Kerajaan jaga agar jangan kena pijak saja. Bila jatuh diangkat. Bukan bagi tongkat selamanya.
Dalam makna lain, DEB mungkin seperti kambing hitam dalam agenda politik orang Melayu.

Sunday, September 6, 2009

Demam Raya

Tidak sedar cepatnya masa berlalu. Rupa-rupanya demam Ramdahan dah mula kebah. Betoi kata Cheazmi. Bukan saja masjid dan surau dah mula luak, bazaar petang pun demikian juga. Kini Demam Raya pulak mula menular. Gedung belibelah pakaian dan segala perhiasan mula sosak. Bengkel kereta dan kedai eksesori kereta etc etc. Dan tidak lama lagi KL ni akan jadi medan PATI dan medan orang asing yang tidak upaya balik kampong. Di Nilai 3, suasananya dah mula macam pesta Kedah atau Pesta Pulau Pinang sekitar tahun-tahun 70an dulu.
Dilihat dari senario ni macam tidak percaya ujud kelompok seperti yang diceritakan oleh Dr59 dan Koden. Anak-anak terbiar dalam sebuah masyarakat yang tidak nampak lansung kepincangannya seperti di Somalia misalnya, bahkan senantiasa kita dengar suara-suara menyatakan negara kita aman damai dan makmur sejahtera. Tapi inilah realitinya Mie dalam sebuah negara Islam yang diklon dan diblend dari sistem demokrasi dan kapitalis Barat.
Apa yang ditakuti ialah orang memenuhi masjid atau berpuasa atau berhari raya etc etc bukan kerana ibadah tetapi menjadi adat budaya dan trend. Walaupun iman tidak boleh diukur dengan mata kasar tetapi ia mempunyai alamat untuk dinilai. Antaranya tanda tersebut ialah apa yang Dr59 dan Koden sebut tu. Anak-anak jalanan, orang-orang tua terbiar dirumah kebajikan, pesta raya yang melampau lampau semuanya menterjemahkan ianya sesuatu yang terseliuh dari sendi agama dan membengkak menyiksa badan. Kalau tidak masakan ada yang berani mensyukuri nikmat rezeki dari sumber yang jelas haram.
Lalu salah siapakah berlaku semuannya ini? Individu?. Masyarakat? Pemerintah? Ulamak? ( mengulangi soalan Dr59). Yang pasti ianya bukan salah ibu mengandung!
Kalau diibaratkan pada sebuah sungai, tahap kualiti air di muara adalah disebabkan oleh proses pengalirannya yang dilalui dari hulu. Punca sebenarnya dari puncak gunung atau mata air biasanya pure dan sangat bersih lagi jernih. Kegagalan kita memelihara dan mengurus pengalirannya menyebabkan muara berkeladak.
Ramdahan datang dan pergi. Bersilih ganti dengan Syawal setiap 12 bulan sekali. Membawa peringatan demi peringatan. Iktibar demi iktibar. Kisah lama diperingati. Perkara baru dihayati. Namun keladak dimuara terus semakin berisi.

Sunday, August 30, 2009

Kisah Cerita Korea

Suatu ketika, saya selalu meleteri anak-anak dan isteri yang suka sangat tonton TV cerita bersiri Korea kisah tukang masak Sung Chan dab Bong Jo. Tak dapat nak halang. Punya lah geram hati – tapi nak buat macamana, demokrasi depa ramai saya sorang. Kalah la saya.

Minggu lalu saya tidak sihat dan terlantar kat rumah sepanjang hari. Adam, anak lelaki saya yang baru beli DVD cerita Korea tu dengan mengumpul duit perbelanjaannya mencadangkan supaya saya tonton. Tanpa tunggu persetujuan dia play saja DVD tu. Agaknya dia belajar dari cara orang Korea.

Antara hendak dengan tidak, saya pun tonton lah. After all orang sakit , apa la benda lagi yang dia boleh buat. Ikut la apa depa nak hulurkan.

Selepas menonton beberapa ketika, saya pun berkata dalam hati “ patut la depa ni tak jadi korja menunggu dan mengadap cerita ni tiap hari, rupanya bagus”. Minat nak terus menonton membara. Ini la orang kata tak kenal maka tak cinta. Saya pun tonton sampai habis semua 26 siri cerita tersebut.

Jelaslah ia satu karya TV yang kelas dunia. Seperti siri Korea sebelum ini iaitu Chang Jin. Siri TV Jepun Oshin dan siri China The legend of Bruce Lee.

Ia sarat dengan mesej jatidiri, falsafah perjuangan untuk mempertahankan maruah keluarga dan warisan budaya bangsa, mempromosikan khazanah dan produk negara disamping kisah cinta/kasihsayang ikatan kekeluargaan yang murni dan sangat menyentuh perasaan. Dipersembahkan dengan sangat teliti oleh pengarahnya. Dihasilkan dari skrip yang cukup kemas. Kontinitinya juga dianyam halus , dialognya kaya disuntik adab bahasa dan sastera dan teknik fotografinya yang artistik menjadikan ia satu karya seni kelas dunia. Bukankah itu satu elemen patriotisme yang sangat wajar disebut tapi mungkin dilupakan…. sebuah karya seni, tidak kira lah sastera ka, filem ka, lukisan ka hatta ukiran sculptur kaca sekalipun.

Isunya, mengapa kita tidak boleh terbitkan sebuah karya terkemuka seperti itu? Cereka TV dan filem kita penuh elemen elemen negative tentang masyarakat. Persembahan nya juga longgar sebab skrip dan bahasa serta kontiniti yang tidak seimbang. Filem adalah karya seni yang berkait rapat dengan kesusasteraan. Bila ini terlibat,maka bahasa perlu digarap dengan halus walaupun ia bukan pertuturan harian sesebuah masyarakat. Mendidik dan mempromosi berhajat kepada unsur-unsur positif untuk diteladani. Bukannya mengharap penonton mengambil iktibar dari keburukan seperti apa yang kita pilih selama ini. Perkara ini telah pun dibahas oleh orang-orang media sejak lama, tetapi belum ada perubahan menonjol. Ini mungkin disebabkan majority masyarkat masih belum mampu menerima mesej yang dipersembahkan dengan tahap intelektual yang tinggi. Depa lebih suka dengan lawak bodo dan picisan. Media berharap kepada permintaaan pasaran kerana ia satu industri komersial.

Selain itu mungkin ada kisah-kisah belakang tabir dimana filem-filem atau siri TV berkualiti tidak mendapat tempat kerana masalah kronisme dan aliran pemikiran pengarah atau penerbit itu sendiri sepertimana yang di alami oleh arwah Jasmin Ahmad. Filemnya bermula dengan mendapat pengiktirafan diluar negara.

Tuesday, August 25, 2009

Kalau nak menang

Selepas PRU 12 , semua 7 PRk di Barat memihak kepada Pakatan. Hanya satu kepada Barisan itupun di Timur. Kemenangn di Timur tidak dianggap lagenda bagi Barisan tapi sebaliknya berbeza kalau Pakatan yang menang kerana parang-parang disana masih belum cukup tajam untuk mencantas dan Pakatan sedang gigih mengasahnya.

Apabila tewas, berbagai teori diperkatakan atas sebab asbab kekalahan itu. Faktor calun. Faktur pengundi phantom. Faktor SPRM. Faktor keselamatan etc etc. Both parties.

Tetapi ramai lupa dan telepas pandang satu factor paling penting yang kalau Barisan nak menang atau nak tough fight depa kena sanggup buat dan berani berubah. Iaitu tukag lenggok kempen menggunakan semua media perdana.

Tabiat Barisan mengguna dan monopoli keatas media untuk berkempen menghentam pihak lawan memberi gambaran seperti mengikat tangan lawan kemudian belasah cukup-cukup. Keadan ini akan meraih simpati penonton atas pagar untuk memihak kepada lawan yang kena naya. Pakatan seharusnya berterima kasih kepada situasi ini kerana ia tidak perlu susah payah tapi cukup dengan duduk diam, buat bodo dan sesekali mengerang kesakitan.

Menjadi adat juga dalam mana mana puak pun pasti akan ada yang totok atau tegar. Grup ni tak buleh buat apa dah.. Hang buat kot mana pun depa tak makan saman punya. Yang perlu dilihat dan untuk dipengaruhi ialah mereka yang atas pagar tu. Depa ni perlu ditackle dengan bijaksana.

Kaedah Barisan tackle sudah lapuk. Buat janji itu ini, turun tolong sibuk besiang sayug, randuk lanyau etc etc kemudian kokokkan dalam TV dan media cetak sambil belasah lawan. Semua tu sudah tidak boleh pengaruh kebanyakan rakyat hari ini. Dan Pakatan mungkin secara tidak sengaja kerana diikat tangan dan dibelasah sehingga tak ada ruang nak bercakap , menjadikan puak atas pagar condong kat depa. Kalau depa maintain dengan kaedah resisten kepada provokasi – apa apa juga bentuk provokasi , depa memiliki kelebihan dalam iklim politik Malaysia hari ini.

Secara umumnya sapa pun manusia normal tidak sanggup melihat penganiayaan dan ketidakadilan. Apa lagi kalau perbuatan bertentangan dengan percakapan.

Barisan perlu open gelanggan media untuk kedua pihak berkempen secara saksama. Kalau ini berlaku nampak Barisan gentleman dan ia akan mampu memberi kesan kepada prestasi Pakatan.

Pertarungan sebenar akan bermula disitu.

BTW - Saya sebenarnya sekog pelanduk yang tersepit antara dua ekog bapa gajah ini. Nak musuh dengan gajah biru tua, saya Melayu. Nak musuh dengan gajah Hijau saya Muslim. Kalau boleh biar la dua ekog gajah ni bersalam jadi sahabat karib pakat sama-sama merajalela di semua ceruk rimba. Dalam kes ni kena la gajah biru tua ikut gajah hijau sebab Islam dahulu dan Melayu datang kemudian. Apapun alasan, Melayu kena ikut dan taat kepada Islam. Gajah biru tua kena lempag beberapa budaya ego nya selari dengan tuntutan dan keperluan gajah hijau.- sekurang-kurangnya seperti anak gajah biru muda tu.

Tuesday, August 18, 2009

SALAM RAMADHAN

Kalau tidak Sabtu maka Ahad ini berpuasa lah kita untuk Ramadhan tahun ini. Alhamdulillah. Kesempatan dapat jumpa lagi Ramdahan sesudah Ramadhan terakhir memang satu nikmat. Tempuh yang penuh dengan keberkatan. Penuh dengan pelbagai special offer dari Allah. Dan menjadi pilihan kita lah untuk merebutnya - satu-satu perebutan yang dihalalkan syariat.
Kepada golongan senja macam kita, retro yang di recall oleh Darah59 juga satu nikmat. Manis macam air serbat bercampur biji selasih. Sesungguhnya, memang banyak perkara yang muluk-muluk untuk dikenang.
Adapun sinonim dengan bulan puasa ni ialah meriam kabat dan meriam buluh. Udah jadi macam tradisi. Kita pun dulu buka posa dengan menatang tu. Tapi la ni baru sedag, ia perbuatan sia-sia dan berbahaya. Setiap tahun ada saja berita putus jari atau pecah muka oleh angkaranya. Yor lah, budak-budak perasaan takut mana ada kat depa. Maka kita yang tua ni lah yang kena tengok benda-benda macam ini.
Selebihnya, seperti kulat, pasar Ramadhan akan tumbuh dimerata ceruk. Berbelanja lah tapi elok tidak sampai kena jinjing empat belah tangan. Bila posa ni, mai tang pukoi lima tu memang la. Tengok buah pelam masam pun ayag liog meleleh-leleh. Tak cukup raga , jaraih kita bawak. Semua nak beli.
Puasa adalah ibadah. Dan ibadah hendaklah dipersembahkan dengan kualiti perlakuan pada tahap kemampuan dan darjat paling tinggi supaya kita tidak tergolong dalam golongan " mereka yang berpuasa tapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga".
Ramadhan bulan penuh barakah.

Saturday, August 15, 2009

Pengkhianat bangsa dan muruah agama

mutakhirin, masyarakat melayu turut dilanda satu lagi wabak selain H1N1. wabak yang lebih berbahaya kerana ia umpama pancaran sinaran radioaktif yang membunuh secara senyap dalam jangka waktu panjang. iaitu lah wabak mengkhianati bangsa dan agama .
Dua puak dalam masyarakat etnic yang sama, menganuti agama yang sama tetapi berlainan ideologi politik saling tuduh menuduh dan salah menyalah sesama sendiri keatas perlakuan apa yang disifatkan sebagai mengkhianati bangsa sendiri iaitu bangsa melayu. Isunya, pihak manakah yang bearada di landasan yang benar? Keris kata bulan sabit (dan bulan) di landing roket menyebabkan cahayanya terpantul bertabrakan dan malap menyimbah bumi. Bulan sabit dan bulan pula kata keris tersisip dipinggang, lambat lepa dia tusuk belakang. Lalu bersilat mereka berdua atau bertiga dijalan-jalan. Dibalai-balai. Dewan-dewan. Bukan sedikit tenaga dikerah. Yang pasti lama kelamaan keduanya akan letih dan menjadi lemah. Menang jadi arang. Kalah jadi abu. Kedua-dua tak boleh digunakan lagi. Ketika itu pihak lain pulak yang akan ambik abu hanyut kat sungai. Arang depa buat bakag BBQ sambil berpesta makan minum tari menari.
Bila ada pihak yang melihat dan argue tentang hukum hakam dan peraturan agama Islam, maka kita pun dengan tangkas menuduh mereka menghina agama Islam. Kita pun berimpun lagi lalu mencarut kepada mereka dengan bahasa yang tidak sewajarnya lahir dari seorang Muslim yang terdidik dengan ajaran Islam. Ia kononnya jihad mempertahankan kesucian agama. Kita sebenarnya lupa. Ada banyak perkara yang kita buat kita anggap halal tetapi sebenarnya haram. Ia umpama kisah Robin Hood. Merompak harta orang kaya kemudian sedekah kepada orang miskin. Niat baik tapi perlaksanaan keji.
Orang kufar memang kita dah tahu. atas alasan apa sekalipun mereka memandang serong dan hina kepada agama Islam dan orang Muslim. Jadi jihad menghadapi kaum kufar harus mengikut jalan agama yang Nabi dah tunjukkan. Tapi pasai apa kita tak seronok nak ikut?
Saya masih ingat dan tidak akan lupa perkataan kawan saya seorang India yang memeluk Islam dan berhenti jadi pilot lalu berdakwah sepenuh masa melalui kumpulan Indian convertsnya-
" minta maaf , kalau kami tengok kepada Muslim (orang Melayu) kami tak berminat nak masuk Islam tapi bila kami lihat kepada hebatnya ajaran agama Islam, itu yang membuatkan kami jatuh cinta"
Kita lah sebenarnya pengkhianat bangsa dan penjatuh muruah agama, bukan orang kafir.
Hendaklah kita ingat pesanan tok nenek kita wlaupun depa tidak educated macam kita bahawa jangan sampai " gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah" kemudian rimau dan singa atau naga dan boya yang dok nganga terus la terkam dan buat kenduri kesyukuran..

Monday, August 10, 2009

Depa dan Kita

1.
Alkisah, lepas kenduri Maklang CT, esoknya saya pi Kampar, Perak. Kenduri kawin anak sulung abang ipar saya SM Rozali di balai Air Kuning. Oleh kerana dia buat dalam kawasan balai, maka ramai la tenaga yang bantu. Sedara mara yang datang tengok dan makan saja la.
Dulu-dulu kalau kenduri kawin macam ni, sedara mara la yang paling seronok. Berimpun beramai-ramai bukak macam-macam cerita sambil pakat-pakat buat kerja. Yang tanak nasik tanak nasi la. Yang lapah lembu, lapah lembu. Besiang ayam, besiang cabai atau bawang. Yang buat balai ( kemah) buat balai. Balai dibuat dari buluh beting. Begitu juga kedohok.

Biasanya sambutan akan bermula dari malam sebelum kenduri lagi. Rumah pengantin riuh rendah dengan sedara mara dan jiran tetangga. Selalunya grup orang dewasa depa akan berjaga sampai siang. Untuk tahan mengantuk , depa ambik akar pokok pinang , tumbuk-tumbuk kemudian campur dalam kopi O cow. Sure punya tak tidog sampai subuh.

La ni, kenduri kawin datang cuci tangan makan dan balik kiliag bibiag. Salam-salam pengaintin sikit, tepuk tepuk bahu... wassalam.

Terasa missing something somewhere .. and forever ? dalam majlis kenduri macam ni....

2
Dalam perjalanan balik singgah sat kat R&R Tapah. Parkir penuh sesak kerana petang Ahad orang KL semua baru balik dari berbagai urusan di luar ibukota. Saya duduk dalam kereta. Bertentangan dengan saya masuk sebuah mini MPV hitam yang dipandu oleh tiga warga Afrika. Setelah berhenti betul-betul depan saya, entah apa ke hai nya, seorang dari mereka keluar dan buka bonet kereta. Sentuh itu sentuh ini macam ada masalah. Dalam saya dok perati tu, tibatiba berkelun asap dari bonet berserta dengan semburan dan pancutan air panas. Terloncat budak hitam itu sambil menepis-nepis renjisan air. Rupanya dibuka cap radiator. Habis kereta sebelah tersimbah dengan air panas karat.

Lepas depa bincang apa pun tak tau. Seorang dari mereka pergi beli tiga botol air mineral. Bawa mai terus bubuh dalam radiator. Mengelegak bunyinya. Habis la. Saya yakin itu kereta sewa dan depa ni lansung tak tau pasai kereta.

Sebelum memecut pergi, depa campak saja botoi air mineral dan kerta tisu yang depa buat lap segala air karat dan minyak hitam bersepah kat situ. Mujug la Bangla Plus ada mai pungut satu-satu...

Senario ini hampir jadi perkara biasa. Di tempat tinggal saya yang buat kerja ni geng Vietnam. Depa bukan kira apa. Bekas minuman atau makanan seperti plastik dan cawan atau botol depa campak tang mana dan saja.

3
Namun apa yang lebih sedih dari diatas ialah sikap kita sendiri yang kononnya lebih maju dari Bangla atau negro atau vietnam etc etc...

Ini memang kerja orang Melayu dan Islam kerana selain daripada mereka, orang lain tidak akan singgah di masjid. Gambar ini saya rakam di sebuah masjid yang baru siap dibina dan digunakan sejak bulan Mac lalu. Teruk-teruk orang buat tempat rehat dan makan cantik-cantik, depa lansung tidak menghargainya, guna lepas tu belah ... apa ke nama masyarakat budiman kalau inilah lah etika dan imej yang sudah basi dan lapuk diperkatakan tetapi masih subur membiak macam kulat musim hujan.



1

Monday, August 3, 2009

95%

Kata tuan Allie Alba 95% peserta demo ISA baru-baru ni adalah Melayu.
Mungkin juga 95% pengunjung Jom Heboh juga Melayu. 95% penghuni pusat serenti. 95% perempit di jalanraya seluruh negara. 95% pelepak dekat kompleks belibelah dan lorong-lorong jalan belakang Chow Kit. 95 % kes dera anak bini. 95 % kes tangkap bogel. 95 % kes cerai berai – apa lagi, cuba kita hitung. Semuanya orang Melayu didepan. Barangkali CheAzmi ada fakta-fakta tepat lagi sahih dan disahkan. Dan dalam konteks Malaysia, Melayu adalah Muslim, pengikut agama Islam yang haq selama-lamanya - yang sangat adil tanpa tolok bandingnya dimana-mana dan sampai bila-bila pun. Sepatutnya komuniti Melayu menjadi sangat cantik lagi harmoni but…unfortunately…. Keadaaan tidak sepertinya………...

Kalau udah gitu, dilihat dari arah bertentangan, maka 5 % saja Melayu di ekspo perdagangan. 5% di bengkel repair dan upgrade motosikal. 5% saja di .. etc etc. Kalau nak buat bandingan. Sejauh mana benarnya dakwaaan diatas , risik-risik dan kaji-kaji sendiri kerana the best university in the world is experiences.

Saya sertai sebuah kelab menembak. Ahlinya 70% Melayu 30% Cina. Anggaran saya. Bila pi training tiap hujung minggu, nampak seolah-olah kelab tu anggotanya semua Cina. Orang Melayu buleh dihitung dengan jari. Tapi bila mesyuarat Agung nak pilih AJK, 95% yang hadir Melayu. Bila ada majlis pertandingan menembak tahunan atau saringan nak pilih wakil kelab, pung 95 % yang datang Melayu.

Barangkali pandangan saya tidak tepat. Saya sekolah pure Melayu dari darjah 1 sampai IPTA. Saya tidak intim dengan orang bukan Melayu dalam konteks hubungan social. Tetapi ada beberapa peristawa amat penting yang saya tidak boleh lupakan peranan orang Cina dalam hidup saya.

Pertama, sewaktu saya di patuk ular kapak masa tingkatan 3 di kampong dulu. Yang turut susah payah bawa saya ke Hospital Alor Setar dengan kereta Volvo 144 mereka ialah jiran kampong saya, keluarga Cina. Ular Kapak ni, kalau lambat ke hospital dua saja hasilnya , dengan kehendak dan izin Allah Azza wa Jalla – potong tempat kena patuk atau kapan.

Kedua. Ketika mula kerja dan belum confirm tapi saya nak mohon loan beli kereta. Syarat kata, kena ada dua penjamin senior. Masa itu tidak ramai pegawai senior termasuk ada dua orang Cina. Oleh kerana itu, depa semua jadi favorite bagi kami nak minta jadi penjamin. Isunya, tiada sorang pun senior Melayu sanggup jadi penjamin saya dengan alasan mereka telah menjadi penjamin kepada ramai staf lain – takut tak diluluskan. Lalu saya pi jumpa senior Cina dua orang ini. Depa dua ni pun sama, telah menjadi penjamin kepada ramai staf lain tetapi depa dua kata kita cuba dulu, saya boleh jadi penjamin awak kalau lulus, Ok. Kalau tak lulus , saya minta maaf. Hasilnya, loan saya lulus dan dapat beli sebuah Civic dengan no pendaftaran Wxx 95. ( sebab tu saya sensitive dengan 95%)

Ketiga. Selepas berhenti kerja gomen saya belajag meniaga. Jual buah naga ( Red Pitaya) di tepi jalan dekat Sepang. Saya recce strategic point sepanjang route Bangi - Sepang dan saya dapati ada beberapa penjaja, semuanya Melayu dan seorang Cina. Orang Cina itu jual buah Naga dan keratan anak benihnya. Orang Melayu jual macam-mcam buah. Maka oleh yang demikian itu saya pun approach peniaga-peniaga Melayu, nak tumpang semangat depa orang lama sebab saya ni baru belajag, tetapi apa kan daya, tidak seorang pun encourage dan welcome saya join depa walaupun saya nak jual buah Naga, sejenis buah yang tak ada kena mengena dengan bisnis depa. Macam-macam alasan diberi – sedang tepi jalan itu bukan milik sapa-sapa, milik majlis perbandaran. Dengan hati sedih saya pi dekat Cina buah Naga, minta tumpang nak berniaga setempat dengan nya. Alangkah terkejutnya saya bila dia cakap (terngiang-ngiang lagi )
“ Bole , bole tadak hal punya. Bila lu mau mali juai. Mana tempat lu suka bole duduk. Sini Ok sana pun Ok . Lu punya suka la. “
Saya tak dak kacau toke ka?’ Tanya saya.
“ Lagi ramai meniaga sini lagi bagus ma. Nanti lagi ramai olang mali ooo. Kalau dia mau beli sama lu, itu lu punya rezeki la, kalau beli sama saya itu saya punya rezeki, tadak itu macam ka?”
Besoknya saya join Cina tu dan lama juga kami berniaga disitu. Masa saya tinggai gerai sat untuk urusan tertentu, dia tolong jual untuk saya jika ada pembeli.
Saya teringat gerai limau Bali kat tepi jalan Bandaraya Ipoh. Begitu banyak gerai tapi jual sejenis buah sahaja iaitu limau bali dan mereka dapat bertahan bertahun-tahun lamanya. Kalau nak sebut tawakkal mereka tinggi pun boleh, tapi sayangnya mereka tidak beriman.

Inilah bezanya Melayu dengan Cina.

Orang Melayu takut mencuba, Cina cuba dulu kemudian sedia terima keputusan.
Orang Melayu selalunya melihat keuntungan dalam jangka pendek dan Cina selalu melihatnya dalam jangkapanjang.
Orang Melayu lebih gemar keseronokan sedang Cina lebih kepada kesungguhan.
Melayu suka kebesaran dan kemasyhuran, Cina mahu kekuatan
Melayu sentimental ,Cina kental
Melayu pantang diuji, Cina sedia dimaki
Melayu suka heboh dan kempen-kempenan seperti ayam kampong yang bertelor sebijik tetapi ketognya sekampung, Cina suka buat kerja diam-diam seperti ayam kandang yang bertelor sehari dua biji, suara tak dengar pun.
Akhirnya Melayu di belakang ketinggalan bercakaran sesame sendiri, Cina maju di depan.

Banyak perkara Melayu kena belajar dengan Cina kerana sejarah kata Cina lebih dahulu tamaddunnya berbanding Melayu. Nabi pun suruh kita belajar sehingga ke negeri China. China juga terima Islam lebih dulu dari Melayu. Dan Islam di China dibawa oleh sahabat terkemuka,seorang fuqaha’ terulung iaitu Saad bin Abi Waqqas r.a.
Alangkah bertuahnya Malaysia jika mereka semua beriman. Moga Allah perkenankan.