Monday, January 19, 2009

Melayan karenah yahudi

Apabila Semenanjung Gaza digasak oleh Israel , ruang udara Gaza City bercahaya seperti pesta bunga api menyambut tahun baru atau hari kemerdekaan di Malaysia. Bangunan-bangunan pun ranap berserabai menangkup muka bumi. Rakyat Palestine dari kalangan kanak-kanak dan wanita seperti yang dirakamkan oleh media cetak dan elektronik , badan mereka berkecai-kecai. Berlumuran darah. Sakit. luka. Parah dan mati. Ada tangisan. Ada jeritan. dan ada juga laungan. Namun semua suara-suara itu tenggelam dalam letupan bom berangkai dan tembakan kereta kebal suara-suara jet pengebom. Nun diseberang tembok sempadan, kumpulan rakyat Yahudi menunggang motosikal kuasa besar mendaki tempat tinggi meneropong pesta bunga api terrsebut dengan penuh kepuasan. Mahalnya harga yang perlu dibayar oleh rakyat Palestine khususnya dan kita semua amnya diatas kelekaan sendiri menunaikan amanah Allah.
Sinonim dengan itu, seluruh dunia Islam khususnya di sebelah Timur berbondong-bondong membanjiri jalanraya atau kedutaan negara sekutu Israel atau masjid-masjid sambil melepaskan perasaan. Sepanduk dijulang. Patung replika dan bendera Israel dibakar. Memorandum diserah. Bantahan dan kutukan disuarakan. Tidak cukup dengan itu, kempen boikot barangan dilancarkan guna untuk melumpuhkan ekonomi Israeal atau sekutu utamanya Amerika sambil tong-tong dan akaun bank derma diedarkan untuk mengumpul dana bantuan kemanusiaan yang pelarasannya sedia dipikul oleh beberapa badan amal bukan kerajaan. Selebihnya masjid mengadakan solat hajat. Pada hari Jumaat dibacakan Qunut Nazilah dan tidak kurang juga yang berdoa siang dan malam mohon Allah menolong rakyat Palestine khasnya dan umat Islam amnya.
Isunya disini ialah :-
Mengapa mesti umat Islam melakukan semua ini hanya apabila berlaku tekanan atau bala' atau ancaman dari musuh semata-mata? Mengapa mesti kaifiat permohonan tolong itu tidak dilakukan sepenuhnya mengikut cara Allah dan RasulNya? Sejauhmana natijahnya dengan melolong, membakar dan menjerit sambil berarak itu dapat membantu meningkatkan kekuatan Islam? Sedang mereka hanya tersenyum sinis menyaksikannya dan membalas jeritan kita dengan ledakan bom! Tidakkah kita ketahui bahawa mereka sekali kali tidak berani berbuat demikian melainkan umat Islam berada pada tahap moral atau iman yang paling rendah. Andaian yang mereka buat, sekiranya jumlah jamaah pada Solat Subuh sepertimana jumlah jemaah pada solat Jumaat, maka sekali kali mereka tidak akan melakukannya kerana itu adalah petanda bahawa umat Islam berada pada tahap keimanan yang paling tinggi dan sentiasa dalam perlindungan Allah Azza Wajalla.
Malangnya fenomena umat Islam sekarang umpama buih di air. Berapungan mengikut arus. Tidak kira arus Yahudi atau Nasrani. Majusi atau fikiran terbuka. Dunia tanpa sempadan benar-benar meruntuhkan batas-batas yang memisahkan perkara-perkara haq dengan bathil dikalangan umat Islam. Bahkan kaum Muslimin apa bezanya dengan bukan Muslim jika dipandang pada dzahir, amalan hidup, pekerti, jati diri ? Seharusnya Muslim mempunyai rupadiri yang mencerminkannya seorang Muslim dan mempunyai pegangan serta amalan hidup yang berpaksi kepada iman dengan Allah dan RasulNya. Dan hendaklah ianya dipelihara sepanjang masa. Dalam semua keadaan. Di semua tempat.
Boikot, tunjuk perasaaan, sidang kemuncak. PBB semuanya itu kesannya amat terhad kerana disana wujud berbagai komplikasi, kerenah birokrasi dan berbagai lagi. Sia-sia sahaja jika umat Islam terus menerus bergantung kepada kaedah ini selamanya. Menyalahkan Israel atau Amerika atau siapa saja yang menyokong mereka bukanlah perkara paling tepat. Hakikatnya kita juga membantu sokongan tersebut tetapi dalam bentuk tidak lansung dan diluar kesedaran yakni dengan mengikut cara hidup, berfikir dan cara bertindak mereka dimana ianya menyebabkan Allah menangguhkan pertolonganNya sebagai kifarah keatas kelekaan kita.
Sesungguhnya, tidak ada jalan lain melainkan satu sahaja yang boleh menyelamatkan umat Islam iaitu KEMBALI KEPADA ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. InsyaAllah, Allah akan memancarkan rupa gerun diwajah setiap umat Islam yang boleh menyebabkan musuh bertempiaran lari dengan sekali pandang. Jika tidak, Allah akan menarik kegerunan itu dan orang Islam akan menjadi seperti apa yang berlaku sekarang. Wallahu'alam