Friday, December 31, 2010

TAHUN BARU

Dalam khutbah Jumaat hari ini khatib dengan berapi api menyentuh tentang beberapa isu mengenai perayaan menyambut tahun baru. Natijah dari perayaan yang telah berakar umbi dan menjadi agenda ringgit malaysia atas tiket industri pelancungan. Apapun hujjah, jam besar berdetik juga dan isu tersebut pergi dan datang silih berganti seperti pertukaran siang dan malam atau tahun lama ke tahun baru. Ibarat air di daun keladi. Walaupun tertumpah tercurah tetap habis tak tingggal lagi . Meminjam kata kata D'llyod dalam lagunya Cinta Hampa.
Memang menghampakan. Kerana pada siangnya, pagi pagi buta kita melaung laung kan jatidiri umat dan usaha usaha atau program program pembinaan sahsiah diri individu muslim demi kesucian dan martabat Islam. Tetapi petang sebaik matahari terbenam dan senjakala berlabuh - waktu yang dikaitkan dengan kehadiran setan dan jin - maka kita lupa kata kata pagi tadi dan berbondong bondong ke dataran dataran dan padang padang, kelab kelab dan hotel hotel atau mana mana premis serasi untuk agenda atau pesta menyambut tahun baru. Menembak bunga api. Membakar mercun dan menjerit jerit. Tetapi wa na'uzubillah min zalik, apa yang lebih dasat dan ngilu ialah pesta minum arak dan penyalaan api asmara yang memaksa kepada pemancutan air mani untuk memadamnya yang kelak meninggalkan bungkah arang arang hitam dalam komuniti setempat.
Kita harap sesuatu dapat diubahganti kepada yang lebih bermoral dan membina sesuai dengan matlamat yang kita kehendaki berdasarkan niat suci yang ikhlas - bukan dipengaruhi oleh kepentingan kuasa dan nilai material. Dan semua sesuatu yang perlu itu terdapt dalam Kitab Allah dan Sunnah rasulNya. Kalau kita tidak memartabatkannya, siapa lagi sementara kita mampu melaksanakannya.

Monday, December 6, 2010

JEMPUTAN KENURI KAWAN KAWAN


Saya menerima wakil dari empat orang sahabat kita untuk menjemput semua rakan rakan SMJ 1971-1975 dan SMDSO 76-77 beserta keluarga masing masing untuk meraikan majlis perkahwinan putra putri dan anak sedara mereka dalam bulan Disember ini.

1. Saudara Mazlan Sudin (SMJ) pada 18.12.2010 di Felcra Bukit Selambau, Batu 9, Jalan Jeniang, Kedah HP: 019 429 6419

2. Saudara Sazali Mustapha (SMDSO) pada 23 .12.2010 di no. 30, Kampung Dusun, Mukim Ayer Hangat, Langkawi HP : 013 350 1406

3. Saudara Hj. Mohamad Abd Rahim/Hjh. Yom (SMJ/SMDSO) pada 25 .12 . 2010di Lot 417, Jalan Muda Kuari, Kg. Pulau Nyior, Jitra Kedah. HP : 012 480 7175

4. Saudara Idris Ahmad (SMDSO) pada 25.12.2010 di Kampong Lanterum, Changlun, Kedah HP : 019 559 5234.

Moga dengan kehadiran kita akan bertambah seri lagi majlis mereka.

Mazlan ni dulu sekolah telok kechai pindah pi smj tingkatan 4 dan 5 1974-75.
Sazali budak pulau Langkawi yang masuk tingkatan 6 di SMDSO 1976-77.
Mohamad Rahim ni dari SMJ 1971-75 kemedian pi tingkatan 6 SMDSO 1976-77. Dia bertemu jodoh dgn Yom si sana la.
Idris Ahmad tingkatan 6 SMDSO 1976-77.

Tuesday, November 2, 2010

JITRA BAH

foto di sadur dari album Abdul Jamal Ahmad, Jitra.

Biasanya bulan November musim hujan di utara. Taburan pusingan akhir sebelum musim kemarau yang akan bermula apabila angin monsun timur laut bertiup awal December. Selalunya ia berlarutan berhari hari dan air akan menggenangi sawah bendang saujana mata memandang. Amat jarang limpahan berlaku sehingga memaksa penduduk meninggalkan rumah. Tetapi itu zaman dulu. Di era milanium ini, dimana sawah sawah ditimbus menjadi taman perumahan dan bukit bukau digondol atas berbagai maksud, musim hujan yang biasa bertukar menjadi luarbiasa. Selain melimpahi sungai dan terusan, air menggenangi jalan dan lebuhraya. Memutuskan laluan dan memberi cuti kepada sebahagian besar penjawat awam dan swasta.
Ada pendapat mengatakan ia satu rahmat dan punca rezeki. Kerana mereka tidak perlu ke sungai untuk menangkap ikan. Permintaan kepada payung dan baju hujan meningkat dan jualan pasti menguntungkan. Perabut dan pakaian yang rosak perlu diganti baru. Bengkel bengkel kereta sedang bersiap sedia membaikpulih kenderaan yang tenggelam. Semua punca rezeki ni datang dari peristiwa banjir.
Disatu pihak lagi, mereka menganggap ia satu bencana. Tanaman akan rosak. Kerja tertangguh dan produksi tersekat. Hartabenda rosak dan semuanya memerlukan kos untuk membaikpulih.
Golongan ini tentu tidak suka dengan kedatangan bah seperti ini.
Dari pandangan yang lain, bah adalah bencana alam. Terjadi dengan bersebab atas kehendak Ilahi. Balasan bagi manusia yang mencabar nature alam. Sistem yang Dia jadikan sudah cukup sempurna, tetapi manusia dengan angkuh mahu mengubahnya.
Saya membesar di Jitra dan sehingga sekarang pun masih balik kesana. Dulu dulu bah seperti ini jarang sangat berlaku. Tetapi hari ini, apabila Jitra menerima pembangunan pesat yang memaksanya melanggar segala susila alam dan kemanusiaan, bencana memang tidak dapat dielakkan.
Samada suka atau tidak, kita terpaksa menerimanya sebagai harga yang perlu dibayar untuk kemajuan dan pembangunan.

Monday, September 27, 2010

ZIARAH OLEH KAWAN LAMA


Selepas tinggalkan bangku sekolah dalam tahun 1977, masing masing bawa haluan. Berpisah ketika remaja trang tang tang, kemudian dengan takdir Allah bertemu kembali dalam usia emas dan sudah ada cucu. Sungguh, kalau terjeromoh di jalan, pasti saling tidak mengenali. Rambutnya masih lebat tetapi separuh sudah bertukar warna putih. Namun senyumnya bila di tilik tilik masih mempunyai trade mark dulu dulu.
Kawan saya ini grup berulang naik bas pergi sekolah. Tidak seperti Abu Samah dengan Ali Pa yang berlagak menyewa rumah. Tidak jugak seperti Hashim Ismail dan Pak Ku Azir yang dok bergantung dengan hostel sampai ke tua. Grup berulang naik bas adalah grup bebas dan belajar indipenden. Aku dengan Mat Saleh Bakag dari Jitra. Mie Japag, Chup Abas dan Det dari Kola Kedah. Memba ni MD NOG BAKAG dari Tandop. Dia geng Yam Ali dan Rosmalina.
Md Nog jatuh cinta dengan gadis ayu dari Trengganu. Kerana tu dia sanggup tinggalkan Kedah berhijrah kesana demi cinta abadi. Memang, Trengganu bukan saja pantai nya indah, tetapi gadisnya segak segak. Md Nog tidak menoleh kebelakang lagi. Cakapnya pun sudah telo Trengganu campog Kedah sikit sikit.
Kerana semangat setia kawan jugak , dia bersusah payah menjengok saya di Salak Tinggi walaupun saya jamu ayag sejuk.Betoi la kata Mie Japag. Orang Tandop ni hebat Yam Ali oii..Malam sebelum tu dah la kami berjaga sampai pukoi 2 pagi di Kinrara bergebang dengan Abu Samah. Md Nog menginap di situ dan dia dalam urusan menghaqntar anak dara dia mendaftar di Asasi IIUM, Nilai.
Terkejut juga saya tengok badan dia besag dan tinggi. Dulu lebih kurang Det dengan Mie Japag saja. Kalau Abu Samah dengan Rani tu memang la dari dulu lagi macam galah yang dok buat kait buah moktan. Agaknya dia banyak makan kepok leko Losong di KT kut.
Terima kasih Md Nog. Nanti aku pi KT, kita candat sotong. Jaga hang, tak dapat satu tong, hang kena beli kat market Kepayang tu panggang jamu aku...

Saturday, September 11, 2010

RAYA 2010

Tidak heran lah. Memang patut. Amat wajar. Atas apa alasan apa sekalipun. Dengan cara apapun. Bila tiba musim raya, semua warga kota rebah bangkit berusaha untuk balik kampung beraya bersama dengan sanak saudara. Biarlah lebuhraya dan jalanraya bah dengan kenderaan macam semut melata di batang kayu. Semua cabaran bukan lagi halangan.
Kerana sebabnya, kalau raya di taman taman perumahan di bandar memang kantoi..memang pilu. Sengap serepi. Benar.
Di Taman tempat tinggal saya, pada malam hari raya masih ada tiga empat keluarga masih bertahan. Saya ingat depa pun macam saya. Tetapi selepas solat sunat raya, semua pakat balik kampung. Sejat sungguh. Sehinggakan tidak terasa macam berada dalam suasana hari raya. Kami anak beranak tengok hang tengok aku lepas tu tidog. Lepas Asar cuba kontek seorang dua kenalan di kampung berdekatan dan bertandang kerumah mereka. Tiga rumah. Kemudiannya pada Raya kedua ziarah seorang kawan di Sg. Kembong. Mmenjadi sejarah. Tahun 2010 menziarah 4 rumah pada hari raya..
Tidak pernah berlaku sebelum ini sejak 32 tahun lalu sepanjang perantauan saya di Negeri Selangor ini.
Malamnya cuba layari FB. ada 4 orang online. Yang lain agaknya sebuk balun ketupat dengan gulai daging. Belayar ke You Tube kerosek lagu raya..duduk la layan lagu P. Ramlee.. Dendang Perantau.. Pilu sungguh rasa hati. Apalagi dengag habag rakan rakan sekolah dulu pakat berimpun di dua tiga tempat di kampung untuk reconnect balik sempena hari mulia ini. Tentunya juga tak dapat berjumpa adik beradik pakat pakat makan ketupat daun palas serta panggang ayam di rumah abang saya yang menjadi port kami beraya adik beradik setiap tahun setelah kedua ibubapa sudah tiada.
Kalau macam ini keadaan nya. tahun depan kena perosah juga balik beraya di kampung walaupun terpaksa menginap di hotel kalau homestay sudah fully booked..

Saturday, August 28, 2010

NATIJAH

Lazimnya, setiap sesuatu apa pun yang kita buat pasti akan ada kesannya atau orang Arab kata natijah. Kalau makan, akan kenyang. Kalau mandi, akan basah. Kalau bakar, akan hangus. Begitulah seterusnya.
Sabit dengan itu teringat saya khutbah khatib pada suatu Jumaat terkini. Beliau memetik fakta dari kajian dan soalselidik satu pasukan penyelidik sebuah universiti di Lembah Kelang mengenai masalah sosial umat Islam berbangsa Melayu. Responden sasaran adalah golongan remaja berusia 13 hingga 21 tahun. Lingkungan geografi meliputi Lembah Kelang SAHAJA.
Menurut hasil kajian tersebut dari 400 responden, 300 daripadanya mengaku dengan bangga tanpa takut atau rasa berdosa atau rasa nak bertobat diatas keterlibatan mereka dalam hubungan seksual. Ini secara suka dan rela merelai. Belum lagi kes paksa dan pedaya.
Dalam satu tazkirah pulak seorang penceramah menyatakan fakta dari pihak berkuasa menyebut bahawa setiap 47 minit, lahir seorang bayi status tidak jelas di negara Malaysia tercinta ini. Bermakna dalam 24 jam lebih kurang ada 30 orang dharab 7 sama juga 210 orang seminggu dharab 4 samajuga 840 sebulan dharab 12 samajuga 10,080 orang setahun. Kali 10 tahun bermakna dok ada 10,886,400 juta orang rakyat Malaysia pada tahun 2020 yang hilang salasilah atau status keturunan mereka tidak jelas. Wa na'uzubillah minzalik.
Senario ini berlaku tidak dengan sendiri tetapi hasil atau natijah dari banyak faktor khususnya Sistem Sosial. Iklim ekonomi. Dasar politik. Kecenderungan melencung dari landasan sebenar semakin menjadi atas desakan materialisme dan kerakusan nafsu. Kemanusiaan semakin terlondeh bukan lagi pada paras lutut, tapi dah sampai kat buku lali dan kita masih lagi tidak merasa malu dengan aurat terdedah, apa lagi merasa bersalah atau berdosa.
Apa yang paling ditakuti ialah senario ini jika terbiar dan berlanjutan, ia juga pasti membawa natijah lain yang lebih dasat..jika telah sampai murka Allah azza Wa Jalla..siapa pun tak dapat nak bayangkan sebagaimana nasib yang menerima umat umat engkar dan angkuh dalam sejarah peradaban manusia. Kisah kisah balasan tersebut bukan epik Ramayana atau cerita penglipur Lara dalam sastera Melayu tetapi sumbernya dari AlQur'an dan Hadith yang purity nya 100% sohih.
Ini lah makna kemerdekaan sebenar dan pejuangan mempertahankannya. Membebaskan minda dari segala pemikiran sekular dan materialisme yang menghancurkan kemanusiaan serta peradaban mereka.
Patriotisme melampaui pembungkusan bonet kereta dengan bendera. Melampaui lolongan lolongan di pentas pentas pesta kemerdekaan. Itu perlakuan minda kelas tiga puluh. Kerana semua itu sapa pun boleh dan seronok menghayatinya tetapi memahami kebebasan hakiki dan memperjuang yang haq, sedikit benar yang mengerti dan berani kerana sifatnya sukar dan menguji.

Tuesday, August 24, 2010

TINTA RAMADHAN

Awal Ramadhan rahmat. Pertengahan keampunan. Penghujungnya perlepasan.
Di pertengahan ada Nuzul Quran.Di hujung menanti Lailatul Qadr. Dua perkara paling istimewa yang hanya ada dalam bulan Ramadhan. Fadhilatnya, tiada nilai seisi dunia ini.
Malangnya menjelang pertengahan, bukan saja masjid bertambah lengang tetapi malam malam nya mula riuh dengan letupan mercun dan dentuman meriam buluh atau kabad. Berita kecederaan putus jari bahkan tragedi lebih ngeri sehingga membawa maut terus terjadi. Siapakah yang bertanggung jawab dalam budaya main mercun ini? Kanak kanak atau ibubapa?
Di sebalik sana pintu pula, ramai yang kena tangkap sebab tidak berpuasa. Tetapi lebih dasyat dari itu, ditangkap berzina dan berkhalwat di siang hari atau pun menyembelih isteri, anak sendiri dan melempar bayi sendiri dalam tong sampah.
Kita tidak usah heran dengan kes ringan di bazar bazar Ramadhan dan hotel hotel dimana agenda agenda berbelanja dan majlis meraikan sempena berbagai acara untuk berbuka tanpa mengambil kira sumber dan status makanan yang hendak di makan.
Fenomena ini dah jadi lumrah dalam masyarakat moden yang kita dakwa bertamaddun dan beriilmu.
Allah menjadikan manusia semulia mulia makhluk dimuka bumi. Tetapi bila manusia sudah hilang kemanusiaan, maka mereka lebih hina dari binatang, jin dan syaitan.
Di zaman Jahiliah, orang orang Arab sebelum Islam dikatakan kejam kerana menanam bayi perempuan mereka hidup hidup. Mereka bergaduh sesama sendiri. Kaum wanita seperti barang dagangan. Penindasan menjadi norma norma hidup pada masa itu. Kita dengan bangga menuduh betapa zalim dan hina nya masyarakat Arab Jahiliah.
Benar. Tetapi hakikatnya kita lebih teruk dari itu. Kita bukan takat jahil bahkan Jahil Murakab. Orang Arab Jahiliah hanya membunuh bayi perempuan sahaja dan ditanam elok walaupun hidup-hidup. Sedangkan zaman kita bayi tanpa kira jantina dicampak dalam mangkuk tandas, tong sampah, dalam parit atau ditinggal tepi jalan bagi anjing makan seperti mambuang sampah. Tidak kah itu lebih dasyat? Orang Arab jahiliah memperhambakan wanita dengan memiliki sedang zaman kita wanita dikongsi bersama seperti bekerumun makan sebiji durian.
Salah faham dan penyelewengan syariat agama semakin menjadi jadi, tidak kira dalam masalah fikh atau aqidah, nampaknya ia menjadi suatu kebiasaaan masyarakat. Ambil saja contoh bab aurat wanita kerana kesalahan ini sangat biasa. Makna tutup aurat mengikut syariat bukan sekadar pakai tudung. Dia ada tiga spesifikasi utama. Pertama, menutup seluruh anggota badan. Kedua, tidak jarang. Tiga, tidak ketat. Kalau tutup litup tapi jarang, tidak aci. Kalau litup dan kain tebal hitam legam tapi ketat merenen pun tidak aci. Kalau tebal dan longgak gelebeh tapi terbuka tang mana mana, jugak tidak aci.
Kita kini sedang berada di satu zaman yang lebih hebat dari zaman jahiliah. Atas nama tamaddun dan kemodenan serta peraturan hidup yang diasaskan oleh musuh musuh Islam, semua kezaliman, penindasan, kekejaman dan kemaksiatan di sadur menjadi halal lalu dimuliakan semulianya.
Pelihara lah sumber makanan anda kerana disana lah terdapat syubhat paling dasyat dan besar. Mohon perlindungan dengan Allah dari semua petaka dan tipu daya syaitan. Mudah mudahan melorong oleh Allah akan kita semua ke jalan yang di redhaiNya dunia dan akhirat.

Tuesday, August 10, 2010

RAMADHAN ALMUBARAK

Telah datang bulan paling mulia dari semua bulan di sisi Allah. Umpama mulianya hari Jumaat ke atas sekelian hari. Mulianya Nabi Muhammad SAW ke atas sekelian pari Nabi dan Rasul. Demikian makamnya Ramadhan bagi umat Islam.
Dalam bulan ini Alqur'an di turunkan. Kitab suci yang bukan saja mukjizat tetapi menjadi panduan hidup yang lengkap bagi setiap manusia Muslim. Dalam bulan ini ditutup oleh Allah akan semua pintu neraka serapat rapatnya. Ditambat akan Iblis dan syaitan. Lalu di buka pintu syurga seluas luasnya. Di lipatganda akan ganjaran pahala serta rahmatNya kepada umat Islam yang berbuat kebajikan dengan ikhlas kerana dan kepada Allah azza wa jalla.
Para ulamak dan salaf soleh telah menggariskan amalan amalan sunat yang boleh dilakukan sepanjang bulan ini dalam mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya ialah solat sunat Teraweh.
Solat sunat yang hanya boleh dilakukan dalam bulan Ramadhan sahaja. Solat sunat yang dulu dulu dilakukan 20 rakaat tetapi kini tinggal 8 sahaja. Jumhur ulamak salafus salaf mengatakan tidak dinamakan solat teraweh melainkan 20 rakaat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan. Dan ini telah diamalkan semenjak zaman khulafa Al Rashidin bermula semasa pemerentahan Saidina Umar Al Khatab r.a. Ada pendapat yang mengatakan Nabi cuma buat 8 sahaja dan itu yang menjadi ikutan masa kini. Tetapi sebenarnya Nabi berbuat 8 rakaat di Masjid dan menggenapkannya 20 di rumah baginda. Itu lah sebabnya sahabat kanan baginda Saidina Umar berani melakukan 20 rakaat dan terus menjadi ikutan salaf soleh, para ulamak dan umat sebelum ini sehingga lah datang zaman kita yang penuh celaru ini..zaman akhir zaman.
Telah datang pendapat pendapat baru yang melondeh akan sunnah sunnah Rasulullah SAW atas alasan alasan perbuatan bidaah dan syirik. Pembaruan pembaruan ini konon bersandar kepada nas yang mengatakan bahawa agama itu mudah dan perlu dipermudahkan. Bukan susah lagi menyusahkan. Memang benar ada nas tersebut tetapi tafsiran nya harus dilihat dari aspek lebih teliti dan mendalam, bukan terjemahan lansung kerana bahasa AlQur'an adalah bahasa sastera yang sangat tinggi nilainya dan berhajat kepada tafsiran oleh mereka yang benar benar pakar.
Telah menjadi kebiasaan dan kebanggaan mana mana masjid dan surau mengimpot para hafiz mengimamkan solat sunat Teraweh dengan tujuan mengkhatamkan AlQuran dalam bacaan solat sepanjang Ramadhan. Tujuannya nampak baik tetapi kita telah tinggalkan sunat solat berjamaah. Dalam solat berjamaah di tuntut mengambil kira kepentingan dan maslahah makmum kerana di kalangan mereka ada yang uzur, tua dan menanggung kesulitan kesulitan lain. Perkara ini telah difikirkan oleh ulamak silam dan mereka telah menggariskan amalan sesuai dengan kemampuan masyarakat sekeliling dan syariat. Sebab itu lah amalan beragama waktu dulu terasa manis dan tenang. Ini terserlah dari perlakuan dan struktur masyarakat yang tidak parah masalah moralnya seperti mana sekarang ini.
Nabi telah berkata " bermula Islam dalam keadaan dagang dan ia akan kembali dagang". Sabda baginda lagi " umat ku pada akhir zaman umpama bueh, ramai tetapi tidak kuat dan berpecah belah".
Kita dapat lihat sekarang dengan jelas apa yang dimaksudkan oleh baginda. Pada permulaan solat teraweh, penuh masjid tetapi selepas 8 rakaat, dari 40 saf tinggal 2 saf sahaja. Bayangkan. Kita lihat juga ramai pergi kemasjid tetapi tidak ada beza macam pergi pasar malam atau bazar Ramadhan. Sedikit sangat yang menghargai dan menghormati tuntutan berpakaian ketika beribadat khusus menghadap Allah. Suatu sunat yang dengan jelas dan nyata dilondehkan oleh kita sewenang wenangnya.
Saya merindui suasana solat Teraweh seperti dulu dulu yang pengisiannya cukup teratur dan serba sederhana. Sesuai untuk semua golongan jamaah. Tetapi nampaknya sangat sukar di temui dalam zaman teknologi ini. Amalan ibadat pun turut menerima akibat pengubahsuaian, tidak terhad kepada jentera dan mesin mesin kegunaan harian sahaja. Subhanallah.

Friday, July 23, 2010

PELAJAR, IBUBAPA, GURU,PPD DAN MENTERI

Kisah 1.
Terbaca dalam Metro hari ini. Kisah seorang ustadz membogelkan anak muridnya dan mencocok ponggong mereka dengan lidi sebagai hukuman di atas kesalahan dilakukan murid berkenaan.
Kisah 2.
Minggu lalu saya bertemu seorang rakan. Ceritanya juga sama. Seorang Ustadz di sebuah sekolah Menengah Agama telah menghadiahkan penampar return ticket di muka murid murid lelaki kelas anaknya kerena kesalahan bising. Dan anaknya mendapat double return ticket sebab bertanyakan kenapa dia ditampar sedang yang bising orang lain.
Kisah 3.
Semasa anak sulung saya di sekolah rendah dulu, ia pernah didenda oleh guru bahasa Inggerisnya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dirumah dengan melondeh seluar dan mengarahkan memakai kembali dalam keadaan terbalik sehingga waktu balik sekolah. Ketika menjemputnya tengahari saya sangat terkejut melihat dia menangis malu kerana menjadi tontonan awam. Saya tidak menyerang guru tersebut sebaliknya saya membuat sepucuk surat aduan mengenai kes itu dan menghantar kepada guru terbabit dengan satu salinan kepada Guru Besar dan satu lagi salinan kepada Pegawai Pendidikan Daerah. Kes ini menjadi riuh rendah dan topik bualan hangat di kalangan guru bukan sahaja di sekolah tersebut tetapi sekolah berdekatan.
Saya bertanya kepada rakan-rakan saya yang kebanyakannya dari kalangan guru sekolah rendah, menengah dan juga pensyarah universiti. Kenapa hal begini boleh berlaku. Kenapa tidak dijalankan hukuman mengikut cara yang dibenarkan syara' iaitu merotan macam dulu dulu. Apakah kualiti sahsiah pelajar sekarang di tahap membimbangkan.
Jawapan yang saya dapat hampir sama. Berbagai pengaruh terdedah kepada pelajar dan terdapat berbagai kekangan yang perlu dipatuhi guru. Itu yang menyebabkan adakalanya mereka bertindak luar batasan kerana sudah tidak tertahan memendam rasa.
Kalau begitu siapa yang perlu bertanggung jawab. Ibubapa. Guru-guru. Pemerintah atau masyarakat?.
Selepas sekolah rendah saya menghantar anak saya ke Methodist Boys School di KL dibawah program Yayasan Selangor. Apa yang memeranjatkan saya ialah pelajar-pelajar Islam di sekolah berkenaan diwajibkan solat pada setiap waktu solat dan sesiapa yang yang gagal berbuat demikian diberi merit maxima 3 kali sebelum dihukumkan dengan hukuman merotan. Ini lah tempat di mana saya melihat anak-anak Muslim dihukum oleh orang bukan Muslim kerana kesalahan beragama mengikut kaedah hukuman agama Islam. Tidak kah ini memalukan umat Islam khususnya Ustadz-Ustadz di sekolah agama yang menghukum murid-murid mereka dengan kaedah hukuman yang diharamkan syara' semata-mata kerana kesalahan lebih kecil berbanding meninggalkan solat! (Menampar mana mana bahagian muka dan menghukum sehingga memalukan atau memudaratkan pelaku adalah dilarang di sisi syariat.)
Saya teringat kepada sepotong nas sabit dengan janji Iblis bermaksud " aku akan mendatangi dan menyesatkan manusia mengikut kedudukan mereka iaitu ulamak cara ulamak, peniaga cara peniaga, pemimpin cara pemimpin dana orang awam cara orang awam - mengikut makam masing-masing."
Sebab itu lah agaknya Ustadz bertindak seperti GB bukan Islam dan GB Bukan Islam bertindak seperti seorang Ustadz.

Monday, July 12, 2010

SOTONG KURITA

Musim sotong masih bersisa di perairan Trengganu. Mencandat sotong sebenarnya aplikasi teknik menipu hidupan tersebut. Dengan menggunakan silauan cahaya lampu dan mata kail umpan tiruan maka berkilo kilo sotong dapat dinaikan dari satu satu lubuk. Ertinya sotong bukan lah haiwan bijak dan ia sebenarnya mudah tertipu oleh manusia.
Namun dalam era milanium sotong menjadi ikon pulak kepada segolongan orang atau negara. Sempena Pesta Bola Sepak Sedunia yang baru berakhir, seekor sotong kurita diguna untuk membuat ramalan nasib pasukan yang bertanding. Dengan izin Allah, kebetulan pula ramalan ramalannya menepati keputusan keputusan terhasil. Maka serta merta sotong yang di beri nama Paul ini menjadi masyhur. Ada negara menjadikannya ikon pencapaian bolasepak negara mereka. Ini diumumkan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara tersebut. Hebat.
Namun apa yang lebih menarik ialah ada negara yang menuntut hak pemilikan keatas sotong kurita ini semata mata kerana ia ditangkap di perairan negara mereka. Pertarungan nampaknya belum berakhir dan selepas ini ialah fasa merebut hakmilik sotong kurita pula.
Kita harap umat Islam tidak tertipu daya dengan silap mata syaitan ini. Jangan sekali kali kita sampai meyakini atas wibawa sotong tersebut, samada secara sebutan apatah lagi secara perlakuan.
Dari satu aspek lain, kalau kita ingin mengambil iktibar, ialah sekiranya kita hebat dan berwibawa atau mempunyai sesuatu yang luar biasa, maka semua orang akan berlumba lumba menghampiri kita, mengakui kita saudara, atau rakyat mereka atau sebagainya. Jika sebaliknya tidak siapa yang mahu peduli dan akan mengakui, hatta adik beradik sendiri.
Apa apa pun jangan kelak nanti ada orang Melayu menamakan anak anak mereka dengan nama Paul Qurita..

Thursday, June 24, 2010

NASIB PENGGUNA

Nasib pengguna sentiasa malang. Dalam sistem ekonomi kapitalis, mereka sentiasa di tindas. Penindasan ini menyimpan elemen-elemen kejam dan zalim di sebalik kata-kata manis atau alasan tertentu yang disabitkan dengan pihak ketiga. Di akhir hujah dan perbahasan berjela-jela, pengguna juga akan dipersalah dan harus menanggung beban.
Baru -baru ini saya mahu memperbaharui insuran kereta lama saya berusia 19 tahun. Biasanya tiada masalah. Tapi kali ini terdapat berbagai syarat dan peraturan. Pertama, kereta lama bawah 20 tahun kena ambil insuran komprehensif atau first party. Atau kalau nak ambik third party pun boleh tapi bayaran premium hampir sama. Jumlan diinsurankan pula tidak boleh kurang dari RM10,000.00. Bagi kereta lebih 20 tahun kena ambik third party tertakluk kepada kuota yang diperuntukan. Jika tidak, tidak boleh. Ertinya tidak boleh untuk memperbaharui cukai jalan. Dan sudah tentu lah yang menaggung bahana ini ialah rakyat marhaen TERPAKSA menggunakan kereta-kereta lama pasai tak mampu beli kereta baru.
Isunya, apakah agenda disebalik semua ini? Apakah ada pengaruh dan tekanan dari pihak tertentu demi kepentingan pasaran atau laba, tetapi secara halus supaya menghapuskan penggunaan kenderaan lama. Seperti kenaikan harga kereta kereta asing berkali kali ganda kerana melindungi pasaran kereta nasional.
Contoh lain yang sangat relevan ialah gula. Kita negara kaya dan makmur. Paling tidak kita mempunyai keluasan tanah yang lebihd ari mencukupi untuk membuka ladang tebu dan memproses gula. Tapi pasai apa gula dok tak cukup juga. Tenaga kerja kita melimpah ruah. Tanah kita subur tidak macam di Ghana atau Uganda. Singapura negara kecik yang tanah setengah kangkang anake kera, tapi awat depa tak dak semua masalah macam ini?
Kalau nak difikiagkan, enjin kereta kalau tip top, boh minyak hitam, dia tak akan susut dengan mudah dan banyak. Tapi kalau boh 4 liter, sebulan tinggai dua liter, wajib ada tireh tang mana mana..
Ini lah yang menjadi tandatanya.. dan sehingga tanya tidak berjawab maka pengguna sokmo kena naya..

Tuesday, June 15, 2010

MATI HIDUP BALIK

Pada pertemuan kenuri Samsudin Idris di Jitra baru baru ni..ramai rakan rakan dapat datang. Banyak perkara disembangkan..habg berita kawan nu kawan ni..
Alkisah.. Samsudin Shaari pun meriwayatkan kisah pertemuannya dengan Saidin FAMA di KL baru baru ni ketika dia menghadiri satu taklimat. Si Saidin yang nak bagi taklimat ke dia..rupanya Saidin masih kenai dia..
Ironiknya..dalam habag berita yang saya dapat dulu ketika usaha menjejaki kawan-kawan lama ini, Abu Samah kata Saidin telah meninggal dunia..Abu Samah orang kuat FAMA..mustahil berita itu was was..jadi Din Shari terus konteks Saidin jam jam tu jugak dan dapat bercakap dengan dia..rupa rupa berita dari Abu Samah itu betul tetapi tersalah Saidin..Saidin FAMA jugak tetapi bukan Saidin SMDSO..maka riuh rendah lah suasana..begitulah senario bila jumpa kawan lama..
Akibat makan daging kenuri banyak..saya kena gout..lambat sikit la download gambag kat blog..mengamuk lah lipha dengan Cup Abaih..Pak Ku Azir jadi mangsa.. he he he..
Apapun di kenuri Din Serih ni, dapat bertemu Ku Om, Non Kodiang, Ku Supiah ,Lan Tok Nog dan Saulius yang sebelum ni tak pernah jumpa dalam majlis majlis terdahulu..ada dua tiga orang lagi yang payah nak jumpa..Hamidon, Puzi awang, asiah saad..tok mat lebai sudin dan Saad mai lambat..Rahman bataih Bengkok pun lambat..Deris Ahmad dengan Mi Japag selisih kut jalan..apapun tahniah Din Deris dan selamat menerima menantu kedua. Sila LIHAT FOTO

Wednesday, June 2, 2010

SEKALI AIR BAH

Air bah lagi. Ombak membadai. Laut di wilayah Gaza bergelora. Kali ini melibatkan warganegara kita. Maka bagaikan butir butir hujan menabur, sekali lagi dan tidak tahu untuk tempuh berapa lama, kita pun membakar bendera Israel. Memaki hamun. Mengutuk. Dan macam macam lagi. Sebagai menayangkan perasaan marah kita kepada musuh dan sayang kita kepada saudara seagama. Memang lah bagus dan baik. Tetapi, isunya ialah itu kah cara yang dianjur oleh agama Islam? Apakah ini kaedah terbaik perjuangan kita dan jalan kita membantu sesama umat Islam?
Sejak lama dulu Rasulullah telah menganjurkan bahawa senjata utama umat Islam ialah amalan soleh dan sunnah baginda dalam kehidupan harian. Bagingda dah bagi dah. Lengkap. Tetapi kita tinggalkan semua amalan tersebut di tepi jalan dengan alasan kolot, ortodok, konservatif, sesat dan macam macam lagi tuduhan liar lagi melulu, sehingga nak solat tutup kepala pun kita tidak mampu, apa lagi nak pakai serban sepertimana baginda.
Sebab itu orang Yahudi berani melenyek orang Islam kerana mereka tahu bahawa selama mana masjid pada waktu subuh tidak dipenuhi oleh umat Islam kerana solat jemaah sepertimana penuhnya sewaktu solat Jumaat, maka tidak akan datang bantuan Allah. Dalam kontek kehebatan musuh dari segi teknologi, siapa lagi yang boleh bantu melainkan Allah. Dan Allah tidak akan bantu selagi kita tidak taat kepadaNya dengan sebenar benar taat.
Kita lihat orang Palestin sudah jauh meninggalkan sunnah dalam kehidupan harian mereka. Mereka tidak amalkan sepenuhnya ajaran Islam bahkan gaya hidup mereka seperti orang Nasrani. Maka Alllah datangkan ujian supaya mereka sedar tetapi hanya sedikit sahaja yang mendapat mesej tersebut. Mereka boleh kawin antara Islam dengan Kristian yang mereka katakan Ahli Kitab ( Bukan semua Kristian Ahli Kitab. Ahli Kitab ini mereka yang mengamalkan Injil asal dan mereka ini percaya Nabi Muhammad. Pantang larang depa macam kita, tak minum arak, makan yang disembelih dgn nama Allah, tak makan babi - ada ka lagi orang kristian macam ni?).
Demikian juga kita di Malaysia. Ujian Allah boleh menimpa kita sekiranya kita mengambil mudah akan syiar Islam. Menegakkan ugama bukan dengan perkataan semata tetapi afdalnya dengan perbuatan. Lidah tidak bertulang. Kita boleh berkata, bercakap berjanji tetapi melakukannya adalah sukar. Ambil lah iktibar dari ujian yang sedang melanda bumi Palestin.
Kembali kepada senjata mukmin adalah jalan paling tepat. Tidak perlu tunggu insiden baharu hendak solat hajat. Kita bina kekuatan ummah dalam budaya hidup. Amalkan zikir zikir dan solat hajat setiap detik berlalu. Musuhi segala maksiat dengan menolaknya secara perlakuan, bukan sekadar kutukan, tayangan perasaan dan seabgainya yang membuatkan pihak musuh tersenyum simpul geli hati. Sampai masanya, kita perlu salahkan diri sendiri dan cari kelemahan sendiri untuk mendapat redha Allah. Menyalahkan musuh adalah pekerjaaan sia sia kerana musuh memang sifatnya begitu. Hanya melalui tilikan Allah sahaja lah umat Islam mampu keluar dari kepompong deraan ini. Atau pun tunggu lah sehingga Imam Mahadi dan Nabi Isa A.S datang menyelamat kita. Jika tidak, fenomena ini akan terus berulang seperti bah melanda setiapa musim hujan.
Sehingga itu bersedia lah untuk berkorban dan dikorbankan..

Wednesday, May 26, 2010

TAKZIAH LAGI

Hari ini Rabu 26.05.10 saya kehilangan dua orang bekas rakan sekerja dulu serentak yang telah kembali ke rahmatullah sesudah menghidapi kencing manis kronik sejak sekian lama.. Arwah Shamsudin Kadir atau saya panggil dia Bang Din meninggal di Hospital Serdang pada pukul 1.00 pagi manakala Arwah Abdul Halim Abdul Aziz yang juga rakan memancing saya meninggal pada pukul 12.50 tengahari. Arwah Bang Din di kebumikan di Bangi pada pukul 11.00 pagi dan sesudah selesai ketika dalam perjalanan balik ke Salak Tinggi, dapat mesej pula Arwah Halim sudah menghembus nafas terakhir di rumahnya di Kajang. Beliau di kebumikan di Tanah Pekuburan UKM Bangi. Abang Din berusia 53 tahun dan Halim 48 tahun.
Kepada balu kedua-dua rakan saya ini serta seluruh keluarga mereka, sekali lagi saya ucapkan takziah diatas kepulangan orang yang di kasihi kepangkuan Ilahi. Mudah-mudahan merahmati oleh Allah keatas roh mereka berdua.
Yang ditinggalkan, kehidupan perlu diteruskan. Sehingga akan tiba saat itu, kita juga pasti akan menjejaki mereka.

Monday, May 24, 2010

TAKZIAH KEPADA KELUARGA BASHARAH HUSIN


Takziah di ucapkan kepada seluruh keluarga Basyarah Husin di atas kembalinya ayahanda tercinta ke rahmatullah malam se malam di Jitra Kedah. Mudah mudahan merahmati lah oleh Allah ke atas rohnya. Terima kasih Kakja dan Ramli yang selalu mempunyai dan update habag berita tentang kawan kawan.

Thursday, May 20, 2010

KENURI SHAMSUDIN IDRIS SMDSO

Dibawah ini di panjangkan jemputan sedara kita Shamsudin Idris SMDSO 1976-77 ke majlis kenuri kahwin anak beliau pada SABTU 12 JUN 2010 DI TAMANA TUNKU SERINA, BDR DARULAMAN, KEDAH. Harap kawan kawan dapat datang memeriahkan majlis sedara kita ni.

Assalamualaikum tuan.saya sekeluarga dengan besar hati ingin mempersilakan tuan sekuarga ke majlis perkahwinan anak perempuan kami (Ainun Nadiah) di alamat 562 jalan Atira 6.Tmn Tunku Sarina,Jitra Kedah pada 12 Jun 2010(Sabtu).Semoga dengan kehadiran tuan sekeluarga akan memeriahkan lagi majlis kami nanti.Saya ingin mewakilkan kepada tuan untuk menghebah dan menjemput kawan rakan kita yang lain kemajlis itu nanti.Andaikata terdapat rakan-rakan kita yang dapat meluangkan masa untuk hadir maka saya memohon jasa baik tuan untuk merancang pertemuan dengan rakan-rakan lama kita.Apapun saya dahului dengan ucapan terima kasih dan tahniah diatas segala usaha tuan yang terdahulu dan akan datang. Semoga jasa dan usaha baik tuan akan diberkati dan dirahmati.Bersama-sama ini saya sertakan pelan lokasi dan foto kenangan semasa di SMDSO untuk kawan-kawan yang mungkin sudah lupa mana satu itu samsudin.Wassalam.











Friday, May 7, 2010

JOM BALIK SMJ - ALUMRA , 4 & 5 JUN 2010

Di penghujung semua program, pada petang 5hb selepas maghrib, adalah masa untuk Santai & Sembang yang akan berlansung di Taman Siswa, Bandar Darulaman, Jitra. Program ini bertujuan memberi peluang eksklusif kepada kita bertemu rakan-rakan batch masing-masing sambil makan makan. Kos makanan di sini tidak termasuk dalam bajet JOM BALIK SMJ sebaliknya perlu ditanggung oleh setiap individu dengan kadar RM15.00 seorang. Saya harap kumpulan kita 1971-75/76 akan ujud di salah satu sudut di Dewan Taman Siswa pada tarikh tersebut. InsyaAllah.

Monday, May 3, 2010

KENURI CHE MAN HAMID



Di bawah adalah email Che Man Hamid minta saya panjangkan jemputan beliau suami isteri untuk rakan rakan Sekolah Menengah Jitra 1971-1975/76 menghadiri majlis bersejarah mereka. Di harap kawan kawan semua dapat meluangkan masa memeriahkan majlis tersebut.
Tarikh : 7 hb Jun 2010
Tempat : Kg. Padang Halban, Changlun, Kedah.

Assalamualaikum,

Saya sekeluarga ingin menjemput Cik Mat sekeluarga untuk menghadiri majlis kenduri puteri tunggal kami seperti yang tertera.Bersama ini saya sertakan gambar & kad jemputan untuk saya wakilkan kepada Cik Mat untuk jemput semua rakan-rakan melalui blog & fb. Terima kasih.Che' Man.

KENURI DAN KAWAN LAMA

Makan kenuri lagi. Kali ini kenuri classmate di SMDSO dulu- Faezah Ismail. La ni dia kerja di Jab. Pendidikan Negeri, Kedah.
Masa saya sampai Ali Pakya dengan Azli dah siap tunggu orang hidang. Tak lama lepas tu Det kola kedah pulak. Sempat jumpa Cikgu Mahmud dan sembang. Dia dah tak ingat saya dah. Selalunya lagu tu la, murid sentiasa ingat cikgu tapi cikgu payah nak ingat murid. Pasai ramai sangat kecuali mereka yang nakai nakai macam Abu Samah, Li pa, Hashim Mail atau Mi Japag. Ataupun mereka yang pandai pandai macam Rani dengan Hamid. Atau pun hak ada trade mark macam Zahari yang kaki seluag bell bottom paling besag. Atau pun mereka yang lawa macam.. sapa dia no.. Soleha...Norizah....depa kata la..Dan menjadi mudah kawan ingat juga mukalu koro dan beleh macam saya ni....
Mereka yang mai kali ini ramai yang tak mai masa kenuri Zahari dulu. Yang mai kenuri Zahari dulu pulak ramai yang tak mai kali ini. Antara depa yang baru jumpa selepas sekolah dulu ialah Faezah sendiri, Din Derih, Din Shaari, Ein Kankong, Ali Param, Azli, Rani, Soleha, Azamudin, Hasan morad dan beberapa lagi.
Mat Lebai Sudin tak nampak bayang. Mat Rahim dengag kata mai lambat. Abu Samah dah habag tak dapat pi.
Namun begitu perjumpaan tetap bermakna dalam erti kata pertemuan semula rakan rakan dalam siri perjumpaan ini. Kita akan usahakan satu perhimpunan khusus untuk majlis reunion ini , InsyaAllah dalam tahun ini. KLIK FOTO

Sunday, April 25, 2010

MELAYU DAN KISAH LEBAI MALANG

Lebai Malang seorang Melayu zaman dulu. Ia ada seekor ayam laga jaguh yang paling hebat. Tiada seekor pun ayam laga lawan dalam negeri Melayu tersebut boleh mengalahkannya. Dengan bangga Lebai Malang mencabar mana pihak yang sanggup mengalahkan ayam laganya.
Seorang asing yang datang ke kampung Lebai Malang teruja dengan senario ini. Kehebatan ayam laga Lebai Malang adalah satu peluang baginya.
Ia menemui Lebai Malang dan ajak berlawan laga ayam. Pertaruhannya kampung Lebai Malang sendiri. Sekiranya kalah, kampung tersebut akan menjadi milik orang asing tersebut.
Orang asing tersebeut sedar bahawa tiada mana mana ayam lagi di negeri itu mampu mengalahkan ayam laga Lebai Malang. Jika mahu megngalahkannya, mesti melalui taktik dan bukan kekuatan atau kehebatan seekor ayam.
Setelah berfikir dan sabar mengumpul maklumat maka orang asing tersebut mendapat idea. Dia mencari seekor ayam yang kelihatan sangat cantik, hebat dan menarik untu dilagakan dengan ayam Lebai Malang.
Tiba pada hari pertandingan, orang asing tersebut menemui Lebai Malang dan membuat tawaran menukarkan ayam laga masing-masing dengan beberapa bonus tertentu. Setelah difikirkan dengan tawaran aorang asing tersebut yang lumyan, Lebai Malang terus bersetuju dan lupa bahawa pertaruhan pertandingan itu adalah kampungnya.
Araikian, maka bertarung ayam kedua-dua ayam laga tersebut. Seperti diduga dengan mudah sahaja ayam laga Lebai Malang menewaskan ayam laga orang asing tersebut. Melihat kepada keadaaan , Lebai Malang pun bertempik sorak atas kemenangan ayam laganya sehingga terkoyak pakaian dan memdedahkan auratnya sendiri. Dia terlupa bahawa ayam laganya itu kini milik orang asing setelah ia bersetuju menukarkannya sebelum pertandingan tadi. Dia hanya tersedar dan baru menangis apabila orang ramai memandang dan mentertawa akan dirinya yang terdedah aurat oleh sebab pakaian terkoyak dan pengadil mengistiharkan bahawa orang asing tersebut telah menang pertandingan itu dan mendapat hadiah kampung Lebai Malang.
Kasihan Lebai Malang. Ayam laganya menang tapi kampung tergadai.
Ini selembar kisah mitos satira zaman dulu yang berlaku pada hari ini terhadap orang Melayu. Menang bersorak kampung tergadai.

Thursday, April 15, 2010

JEMPUTAN KENURI FAEZAH ISMAIL

Semua rakan rakan tingkatan 6 1976-77 SMDSO dengan ini dijemput oleh FAEZAH ISMAIL dan suami ( adik cikgu Mahmud Ismail, dulu kelas 6A1, yang kecik kecik cute tu) ke majlis kenuri meraikan perkahwinan putera mereka di Alor Setar, Kedah. Butir butir adalah seperti berikut:-




Tuesday, April 6, 2010

MELAYU + ISLAM = KITA

Sejak dulu kala, Melayu dan Islam sinonim. Macam ikan dengar air. Macam kereta dengan minyak. Macam irama dan lagu , kalau mahu lebih estetik. Ertinya, kedua dua ini saling melengkapi. Perlu bergandingan. Sejalan beriringan. Jikalau tidak, pincanglah nyanyi. Bahkan lebih daripada itu. Boleh menjadi kerosot masai. Menjadi dilema, seperti kata Che Det. Dan memang benar, ianya telah terjadi. Sedang berlaku dan akan melarat, jika tiada usaha usaha penuh hikmah dicari dan dilaksanakan secar berhemah.
Hari ini, Melayu telah serpeh menjadi sekurang-kurangnya dua keping. Sekeping Melayu UMNO dan sekeping lagi Melayu PAS. Melayu PAS pulak ditenggek oleh Melayu PKR. 99.9% Melayu-Melayu ini menganuti agama Islam yang ajarannya hanya satu untuk seluruh umat di planet bumi dan angkasa lepas. Persoalannya jika semua Melayu di Malaysia menjadikan Islam sebagai pedoman hidup, mengapa mereka harus berpecah, berpuak-puak? Bukankah standard untuk menyelesai segala masalah telah diwariskan kepada kita oleh Rasullullah SAW- iaitu sunnah baginda dan kitab Allah AlQur'an. Dan Allah pun menyuruh kita kembali kepada kitabNya serta sunnah RasulNya untuk mencari sepakat jika berbalah.
Ini cabaran paling hebat yang telah Nabi sebut 1400 tahun dulu. Rupanya ia adalah kisah yang berlaku pada zaman kita. Kita dapat saksikan dengan jelas bagaimana sunnah-sunnah baginda ditnggalkan ditepi jalan, bahkan lebih teruk diperlekeh dan dikeji atau dibuat lawak. Hukum syarak dipersenda. Dibayangi hukum Civil.
Rengkasnya, orang Melayu tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sepatutnya. Mereka bercakap sahaja. Mungkin kerana kurang ilmu atau mungkin kerana ada pengaruh dan kepentingan lain. Mereka beramal ikut ikutan. Tidak dengan ilmu. Maka sia sia lah amalan mereka kerana kata Imam Al Ghazali - bermula setiap amal itu dengan ilmu.
Sebab itu, natijahnya dapat kita lihat dengan jelas segala masalah sosial dan iman umat Islam sedang kronik kerana mereka ini menjadi kancil yang terkapit oleh UMNO dan PAS yang bertarung memetik tampok pemerintahan negara.


Tuesday, March 30, 2010

KENURI ZAHARI


Waktu memang suntuk. Hanya cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad. Tetapi kerana hajat besar nak jumpa kawan kawan lama SMDSO, saya balik jugak ke Jitra. Kali ini kumpulan Tingkatan 6 1976-77 bersempena kenduri kahwin anak Zahari Ismail di Jalan Sultanah , Alor Setar.
Sampai di Bdr. Darulaman terserempak dengan Jamen. Sembang panjang jugak tapi tak sempat kena teh tarik. Lain kali Jamen. Kalau Fazil Baharum tidak pergi Bangi, barangkali jadi berimpun pasai Fazil ni istimewa dia, boleh himpun kawan-kawan untuk minum kopi.
Homestay semua fully booked. Tidak terfikir bahawa sekarang musim konvo di utara. Mujur dengan bantuan Kakja dapat tumpang rumah rehat kawan dia di Pulau Nyior , Cikgu Zul. Terima kasih.
Tengahari Sabtu itu pergi kenuri kesyukuran Mariam Ali. Yam ni dulu rakan sekelas dan rakan pasukan melukis mural bangunan sekolah SMDSO. Berjaya kontek Yam melalui Abd Kudus dan Mahathir Mat. Ajak Yam join kenuri dan reunion dirumah Zahari, tapi dia tak dapat sebab ada meeting PIBG.
Balik dari rumah Yam, pi rumah emak Kakja di Kg. Nyior. Kami berimpun di sini pulak. Kakja panggil Che Piah, Basharah, Maznah Hamid dan Mazlee. Kami bincang apa yang patut untuk tolong Che Da masa kenuri dia pada 31 Julai nanti. Beraya sakan di rumah emak Kakja kerana adik Kakja dan suami sediakan macam-macam makanan, dari garam belacan sampai ke nasi tomato. Terima kasih daun keladi. Kakja dan Basharah juga tak dapat pergi kenuri Zahari.
Pukoi 1.00 tengahari Hashim Mae telefon. Dah sampai rumah Zahari tapi seorang pun rakan takdak kata dia. Memang lah, sebab kita plan pukoi tiga ke atas, yang dia pi pukoi satu tu sapa suruh.
Tatkala saya sampai tepat pukoi tiga, tengah kalut cari pakir, jongoi Abu Samah dan isteri yang baru sampai. Tidak lah rasa segan. Ada kawan nak masuk majlis. Maklumlah majlis besar – satu padang awam tu Zahari konker untuk majlis dia.
Jumpa Zahari tengok tak banyak berubah. Muka ceria pun ada, letih pun ada. Melilau cari kawan-kawan dan akhirnya jumpa lah meja Mat Lebai Sudin, Saad Taib dan Hashim Mail. Episod kenuri di rumah Kakja berulang di rumah Zahari.
Antara yang hadir haritu Ali Pa (Sazali Mustaffa) dari Langkawi, Md Ayob Yaakob, Abu Hasan Yaakob, Yusuf Abas, Mzal Hashim, Siti Mariam Hamzah, Mahathir Mat, Azmi Jaafar, Siti Hadijah Mustaffa, Rusni, Idris Ahmad, Abd Kudus, Abu Samah, Hashim Ismail, Dato’Ahmad Lebai Sudin, Saad Taib, Azmi Hasan. Nampak kelibat Sopiah Isa. Agaknya dia balik awal macam Abdul Rahman Zainol.
Ramai kawan-kawan lain tidak dapat hadir kerana Ahad hari bekerja di Kedah. Tidak mengapa, kami plan akan buat satu perhimpunan khusus seumpama di Bendang Kelubi. Kali ini mungkin akan menggunakan SMDSO sebagi port.Azamudin Hj Ahmad yang jaga bahagian pembangunan kata tak dak masalah kalau nak buat di SMDSO. InsyaAllah. SILA KLIK KELIH GAMBAR

Monday, March 22, 2010

KEBETULAN DEMI KEBETULAN

Idris Ahmad (kiri) bersama Shamsudin Hamid di Side Walk Cafe, Shah Alam.


Seminggu cuti sekolah saya rasakan seperti satu hari. Minit minit berlalu sangat pantas. Baru saja jemput depa di asrama dan di stesen keretapi Seremban, tut tut kena hantar balik. Dalam masa yang sama berkejar pula ke Jengka menyelesaikan urusan seorang lagi anak di sana. Begitu lah menjadi ibubapa abad milanium. Zaman sudah berubah sepenuhnya.
Pergi ke Jengka, kali ini saya mengambil jalan Seremban ,Kuala Pilah, Mengkarak, Temerloh, Cenur dan Jengka. Jaraknya tetap jauh berbanding ikut Lebuhraya Karak. Tetapi pemandangan kampung menyegarkan pemanduan. Apatah lagi cabaran Bukit Putus sudah tinggal menjadi lagenda. Kini Kuala Pilah dihubungi oleh lebuhraya baru yang lebar dan luas. Untuk sampai ke Ulu Bendul hanya memerlukan beberapa minit sahaja dari bandar Seremban.
Musim panas yang bersisa, pepohon getah sepanjang jalan masih gondol. Macam musim luruh di Karlruhe. Suatu ketika dulu panorama ini menghiasi jalanraya jalanraya bandar Sungai Petani dan sekitarnya. Sekarang, barangkali sudah beraleh kepada hutan batu bata. Saya pun sudah jarang sangat menggunakan jalan lama bila berulang alik ke Jitra.
Balik dari Jengka, saya dapat panggilan dari rakan lama yang akrab. Siapa lagi kalau bukan Kakja. Dia dengan Ramli sedang bersiap nak berangkat ke KL dari Tunjang. Nada suaranya sangat girang. Rupa-rupanya mereka bakal menerima kehadiran orang baru yang kemudiannya muncul pada musim cuti sekolah ini - seorang pewaris generasi, cucu lelaki. Tumpang kegembiraan kawan, saya bawa keluarga menziarah mereka di Sg. Merab setelah gagal hubungi Che Azmi nak ajak bersama meraikannya. HP si Mie ni tak berjawab. Kemudiannya apabila tanya kat FB, katanya hp masuk ayag lagi. Diriwayatkan bahawa maklang Siti berarak ke Hospital Serdang sehingga sesat ke Seri Kembangan. Saya dah faham dengan maklang ni, memang lagu tu perangai dia kalau seoronok sangat.
Harison mendahului saya ke rumah anak Kakja - Faiz - tu, siap bawak gambar kelas tingkatan 5A SMJ dan Tingkatan 6R3 SMDSO minta saya masukkan dalam blog. Gambar 6r3SMDSO tu Abu Samah dah masuk dah pasai Harison satu kelas dengan Abu Samah.
Habis cerita cucu Kakja, dapat call dari Idris Ahmad yang sedang berada di Shah Alam kerana membawa skuad renang Kubang Pasu MSSM. Petang itu kami berimpun di Side Walk Cafe (SWC) di Shah Alam bersama seorang lagi rakan lama SMDSO yang tak pernah jumpa sejak 30 tahun dulu - Shamsudin Hamid. Masuk SWC terpandang seorang perempuan yang melemparkan senyuman manisnya kepada saya. Tergamam juga, kok disini terserempak, kalau di Alor Setar mungkin biasa kerana di sana tempatnya. Tetapi ini lah kehidupan, di SWC bertemu Fazie SMJ. Rupanya dia ke sini kerana menguruskan hal anaknya di UiTM. Demikian lah ibubapa milanium. Masa zaman kita 30 tahun dahulu, segala masalah selesaikan sendiri di Shah Alam. Ya lah, waktu itu jarak antara Alor Setar - Shah Alam macam KL dengan London .
Cuba kontek Abu Samah entah kali yang keberapa tapi jawapannya tetap peti suara . Barangkali dia masih dalam hutan melawat kebun dan ladang buah-buhan di Pahang sana. Orang kuat FAMA tu kalau ada , macam Che Azmi juga, pantang dengar ada kawan lama ajak minum. Itu yang amat menggembirakan saya.
Sembang panjang dengan Derih dan Din. Macam macam cerita keluag. Derih masih di PPD Kubang Pasu dan Din dah pencen awal Telekom. Akhirnya terbongkar lagi kisah - Derih ini rupanya budak kampung Lanterum, Changlun. Kampung kedua saya dimana pak-pak dan mak Menakan saya tinggal. Begitu juga abang sulung saya. Bila disebut satu persatu, semuanya Derih kenai sangat-sangat termasuk Pak su Ramli anak Wa Yam dan Wa Tayib yang juga pak penakan Hashim Ismail Kota Mengkuang.
Awat la ni baru tau. Tu lah, dah tua baru nak tanya habag, masa sekolah dulu buat tak tau - demikian komen Abu Samah esoknya apabila mereka berimpun sekali lagi selepas Abu balik dari Pahang dan Derih meriwayatkan kisah ini. Pi mai pi mai dok tang tu juga.
Balik mengadap PC. Dapat mesej dari Mohamd Ismail yang lama tak muncul di FB. Rupanya dia sangat sibuk menjaga bondanya yang sedang gering sebelum kembali ke rahmatullah. Takziah kepada Mat Mael dan keluarga. Tiap yang hidup pasti merasai mati. Kita semua pun akan kesitu bila sampai masanya.
Oleh kerana terlalu letih dan sedih, dalam perjalanan balik dia benarkan anak nya memandu . Menuruni cerun di bukit Menora, mereka terbabas tetapi Allah memelihara, berkat taat setia dan junjung kasih kepada bondanya, mereka terselamat. Alhamdulillah. Allah sentiasa memelihara orang begini.
Menyentuh tentang pertemuan di rumah Zahari, dengan nada kecewa dan lesu dia berkata tidak dapat pergi. Sambil berkirim salam kepada semua dengan harapan akan dapat jumpa lagi pada satu agenda reunion lain, dia menerangkan akan berlepas ke luar negara demi tugas kepada negara.

Sunday, March 14, 2010

JOM BALIK SMJ - ALUMRA

Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Azahari (tengah) sedang mengendalikan mesyuarat AJK JOM BALIK SMJ.

Malam Jumaat lalu Koden telefon saya mintak datang ke UTM Jalan Semarak. Jumpa komiti Penaja ALUMRA. Saya pun pi la, agak lewat. Maklum, malam Jumaat saya ada program rutin selepas maghrib. Sampai di UTM, Koden turun jemput setelah saya dok melilau cari bilik mesyuarat tak jumpa.
Bertemu Komiti Penaja ALUMRA, mereka ni memang piow anak Kedah. Pasai, mesyuarat jadi riuh rendah dengan lawak oleh sifat kelolo masing-masing, satu jatidiri orang Kedah yang sukar dikikeh buang terutamanya Datuk Azmi Morad. Pertama kali bertemu tapi cukup mudah menjadi mesra.
Di pengerusi oleh Yg Bhg. Prof. Datuk Dr. Azhari, saya difahamkan ALUMRA telah dengan rasminya di daftarkan - bagi Wilayah Persekutuan KL dan Selangor. Cawangan negeri akan menyusul kemudian.
Mereka yang hadir malam itu ialah SU Mejar (B) Baha, Lt. Kol.(B) Morad, Bro. Omar Jaafar, Bro. Omar Zakaria, Bro. Ahmad Yahya, Sdr. Aziz Md Nor, Sdr. Koden, Sdr. Mohsin, Tim. Pengerusi 2 Datuk Azmi Morad dan En. Chamrong. Tim Pengerusi 1 Datuk Ahmad Baharin tidak dapat hadir.
Tujuan mesyauarat malam itu ialah untuk menggerakkan program sulung ALUMRA iaitu apa yang dinamakan sebagai JOM BALIK SMJ. Program ini akan berlansung dari 3 hingga 5 Jun 2010 di SMK Jitra. Mesyuarat juga akan melantik AJK pelaksana di Kedah yang dicalunkan oleh kami pada malam itu. Mereka ialah ALIYAH, MAZLI, SATIRAH, DZAMBRI, RODIAH, BAKRI. Mereka diminta mengesahkan kehadiran untuk mesyuarat pertama di SMK Jitra pada 21.03.2010 ini JAM 10.00 pagi kepada SU Mejar Baha di HP 017 238 0944 atau kepada saya di 019 322 4895 atau kepada Koden 012 316 8555.
Dalam mesyuarat itu juga dapat bertemu dengan sdr. Mohsin yang mengepalai kumpulan 76-80 dan juga sdr. Aziz Md Nor ( Jit) geng Alias Majid, Rashidi, Wan Salim dll di Kepala Batas. Rupanya Jit menjadi orang kuat ALUMRA.
Program pengenalan JOM BALIK SMJ selama 3 hari itu dirancang sebagai majlis pelancaran ALUMRA dengan diiringi beberapa acara sukan dan sosial supaya hasrat untuk membina kembali jaringan dan seterusnya mengukuhkan ikatan bagi melaksanakan projek susulan akan dapat dijelmakan menjadi realiti.
Selain itu saya juga telah membuka akaun laman Facebook ALUMRA sebagai satu lagi saluran komunikasi untuk sekelian ahli. Semua bekas pelajar SMJ dan SMKJ dari 1968 hingga terkini di alu-alukan menyertainya samada sebagai ahli biasa atau menyumbang apa apa jua bahan input untuk munafaat bersama.

Monday, March 8, 2010

KENURI SITI MARIAM HAMZAH


Dua hari lalu Mazli tpon tanya ada dak terima kad kawin dari Siti Mariam. Saya jawab dak lagi tapi Siti Mariam dah bagitau thru telefon bila saya jemput dia makan kenduri Zahari Ismail di Alor Setar.

Hari ini baru kad dia sampai. Kenduri pada hari AHAD 14 MAC 2010 di rumah dia di Bukit Kayu Hitam , Kedah. Betoi-betoi kat sempadan siam nu. Alamak, memang bukan rezeki la nampaknya Siti aii. 13 dgn 14 nak kena ambil anak balik cuti dari Politeknik dan UiTM. Tak dapat nak join macam kenduri kakja dan satirah. Kenduri Siti jadi macam kenduri Noran. Saya tidak dapat ruang nak tumpang meriahkannya. Maaf manyak-manyak.

Kakja sure pi kut. Jamen apa. Mazli. Fatimah Md Zin. Md Rahim dll..Semoga majlis diberkati dan dirahmati Allah.

Wednesday, March 3, 2010

Dulu dan la ni

Abu telefon. Katanya Mat Mail ajak minum teh.
Maka petang tadi Selasa 03.03.10, lebih kurang pukoi 3, kami pun berimpun lah di Bukit Aman. Di gerai paling laris dan sesak dgn parking.
Waktu saya sampai, abu samah, hamid desa, mohamad ismail dan ishak aziz ( junior setahun dan kerja di tempat abu) sedang hirup teh tarik dan ratah cucog pisang. Puas musing pun tak dapat parking. At last saya buat double parking. Rupa stail paking kat situ cam tu. Kalau tidak pakai tak dak la. kemudian bila orang paking dalam nak keluag dia akan hon..kita pun aleh lah kereta kita..
Saya cuba sekali lagi konteks Rani Lazim. HP dia masih tak jawab. Meting kut. Maklumlah bank negara, kerja memang sibuk. Lepas tu konteks hashim mail. Dengar cerita minum dengan abu, mat mail dan hamid, dan dan dia suruh tunggu nak mai join sekali .. dalam beberapa minit choih dia timbul... lajunya dari sungai buluh tuu...dengan dahi lebamnya kena tokak dengan bapa kambing boer...
sila kli sini nak tengok GAMBAR

Monday, March 1, 2010

trajis, kejam, geram, pilu.......

Dua hari lalu gempar lagi. Kali ini berita kematian kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun. Barangkali kisah paling trajis dalam tahun ini. Kalau dulu kanak-kanak dibunuh dan didera oleh penculik dan perogol, tetapi kes kali ini oleh teman lelaki kepada ibunya yang juga bersekedudukan. Wa na'uzbillah min zalik....
Hebatnya orang Melayu abad ini. Bersekedudukan. Mendera dan membunuh kanak-kanak perempuan usianya tiga tahun...Lebih hebat lagi, tampil pulak beberapa pihak bersimpati dengan si ibu yang zalim ini dan menawarkan pertolongan. Saya tidak tahu apa kah hikmah disebalik semua ini. Manusia yang bersifat dengan sifat-sifat syaitan mahu di pertahankan...
Kalau kita rajin tengok National Geographic (yang ditayangkan pada waktu maghrib- agaknya supaya orang Islam tak menonton), baik ikan, kuda, singa - tidak kira lah apa jua jenis binatang yang ganas sekalipun, mereka tidak sanggup mencedera anak sendiri. Mereka mempertahankan dengan nyawa mereka...itu binatang. Ini kita manusia. Kalau sudah sanggup biar anak di dera dan dibunuh dan matinya dalam keaadan sangat trajis... tidak kah itu lebih kejam dari binatang yang paling kejam di planet bumi ini !!!
Si ibu juga perlu di adili terlebih dahulu kerana ia bersekongkol dengan suspek. Mengikut hukum Allah. Kemudian selepas itu jika hendak di pimpin semula, itu sewajarnya. Saidina Umar AlKhattab tetap menjalankan hukum hudud 100 sebatan keatas anak lelakinya , pada hal anaknya itu terpedaya meminum arak sehingga mabuk dan membawa kepada ia berzina dengan seorang perempuan.
Mohon perlindungan Allah dari semua fitnah seperti ini dari mendekati keluarga kita, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai serta mukminin dan mukminat sekeliannya.. mudah-mudahan, InsyaAllah.

Tuesday, February 23, 2010

KODEN MACAM SELEBRITI


Baru baru ni bersembang dengan Zulkifli Ibrahim atau kami panggil Jon di kampus dulu. Jon ni budak Kulim. Tiba tiba saja dia pi bercuti ke Jitra. Kata dia nak recall nostalgia SMJ. Tanya pi tanya mai rupanya dia form 1 & 2 di smj 1971 , 1972. Saya pun sebut la dua tiga nama kat dia, tapi nampaknya blur. Tapi bila sebut saja nama KODEN dan dan tu dia kata .. ha awat tak kenai nya si Koden tu...
Dulu masa tanya Mohiddin pun nama Koden juga score 100%. Popular sungguh di Koden ni ya....macam selebriti pulak.
Jon la ni mengetuai Unit Penerbitan, Pusat Teknologi Pendidikan, UKM , Bangi. Kalau hangpa nak konteks dia HP 013221 4671.

Saturday, February 20, 2010

Sifu dan kawan lama

Basiron Abdul - tidak banyak berubah. Masih boleh cam.


Pada saat akhir, Md Aris tak dapat join kerana menguruskan krew pergambaran buat liputan imej korporat jabatannya di Shah Alam. Saya dan CheAzmi tidak kecewa dan tetap mengambil jarak 240km mengutara ke Ipoh sesudah meminta izin serta meminta diri meninggalkan rakan-rakan permuafakatan menyelesaikan tugas-tugas persediaan kenduri kawin jiran sekampung saya di Jenderam, Sepang.


Di Ipoh, saya maklumkan kehadiran kami kepada taiko Tambun - Mohamad Ismail ( rakan SMDSO yang kini menetap di Ipoh) kemudian kami call Mat Tamin dan bertemu di Tambun sebelum berarak ke Kem PGA Ulu Kinta - tempat dimana majlis kenduri kawin anak Basiron diadakan.


Di majlis, bertemu Ali Naga, kawan sekampungnya Ahmad Munir Yusof dan Abidah. Tengah makan dan borak-borak mai lagi dua tiga orang kawan lama yang dengar nama SMJ disebut-sebut. Mereka ialah Sobri Hashim dan Mahathir. Sobri Hashim kini bertugas di Balai Parit dan Mahathir berniaga sendiri lepas bersara dari Air Force. Mahathir ni rakan sekelas masa SKAAT. Banyak lah cerita lama-lama dikeluarkan - seperti biasa apabila berhimpunnya rakan-rakan lama.

Selepas kenyang perut, talipon Cikgu Wan Bin, maklumkan kami nak ziarah dia. Selepas singgah minum teh dirumah Mohamad Ismail, kami cari rumah cikgu Wan Bin di Lintasan Rokam. Akhirnya dapat jumpa juga dengan pasangan bekas guru kelas Tingkatan 3A 1973 Cikgu Wan Bin binti Kamaruddin dan suami Cikgu Imran Lee Gek Liang, guru pendidikan jasmani dulu. Pertemuan kembali sesudah 35 tahun berlalu. Cikgu Wan masih meyimpan gambar pelajar Sarawakian batch pertama ( geng-geng Chai Abdullah) yang tersohor itu. Nama nama pertama yang terkeluar dari kedua guru ini bila bersalaman ialah Azmi Che Lam, Wan Zaiton dan Wan Sharifuddin.

Mereka sangat gembira dan terharu. Cikgu Lee terpaksa memendekkan riadah hariannya - jogging - dan bergegas pulang bila tahu kami nak datang. Pada usia awal 60an dan awal 70an mereka masih sehat dan segar.
Nak tengok gambar lagi KLIK SINI

Wednesday, February 17, 2010

Takziah Che Azmi Terima kasih Maklang & Kakja

Dari kiri : Mazenah, Kakja, Che Da dan Maklang


Takziah kepada seluruh keluarga CheAzmi di atas kepulangan ayahanda mertuanya ke rahmatullah kemarin 17.02.10 di Kuala Kerau, Pahang.
Saya nak ajak dia jumpa Che Da dan Kakja di rumah Mak Lang, tapi itu berita yang di perolehi.
Hujan lebat di keramat seolah-olah rahmat yang dibawa oleh Che Da dari London pasai cuaca dalam seminggu ni di KL amat lah panas. Tiba-tiba petang itu hujan bukan main lebat. Saya macam memacu bot kat Jalan Jelatek. Mujog tidak lama, kalau lama mahu berlaku banjir kilat, masalah yang tidak pernah selesai di ibu kota ini.
Maklang dan Kakja buat bubog sora jamu Che Da. Sungguh istimewa kerana bubog sora off season. Lepas tu di jamu pulak garam belacan sebagai dezet. Cicah sakan la depa.
Dalam perjalanan balik selepas hantar Che Da kat Petronas, anak-anak saya Hawa dan Asiah komen - seoronok la abah pi rumah maklang, ada taman mini, ada kolam dan anak-anak ikan. Teringat rumah lama kita......
Saya hanya membisu. Dalam hati terasa sayu, tapi inilah dunia perniagaan, ada ketikanya ia menuntut pengorbanan besar.

Tuesday, February 9, 2010

yang kecik tapi besag

Sambay meratah ayam kampung briani gam di Seksyen 15 BBBangi tengahari kemarin, saya dan Koden bergebang agak sakan. Menyentuh tentang topik meniaga, calit politik sikit, sukan sikit dan sudah tentu tentang kawan-kawan. Itu la baguih koden ni, tang mana dia pi dia retiag cari kawan jumpa untuk rapatkan ukhwah. Nampak kecik saja, bagi call ajak jumpa tapi impact dia besag - ukhwah lebih rapat. Kadang-kadang kita fikiag - ah, malaih la nak kacau kawan , dia sibuk bla bla...Belum apa-apa kita dah pikiag macam-macam. ini la perkara kecik tapi besag yang koden kupas haluih-haluih untuk santapan kita semua.
satu lagi yang penting untuk kita - tak kira lah fikiag ka, renung ka atau buat panduan hidup, khususnya kalau nak meniaga - iaitu buat perkara yang sama tetapi dengan cara berbeza. Misalannya kalau orang juai nasik lemak kerana kat situ demand nasik lemak tinggi, maka kita pun kena jual nasi lemak, tapi modified la sikit nasi lemak kita tu, mungkin kukus ka, sambal belut ka, tambah sotong kurita ka dll - yang membuatkan nasi lemak kita lebih sedap, menarik atau murah. Jangan dok tebiang pi jual pulut kunin kat tempat orang suka nasi lemak semata mata kerana kita suka pulut kunin. Sudah tentu takdan tiga kali jumaat bungkuih. Mana larat nak perabih pulut kunin hari-hari pasai juai tak habih..
Kawan saya apply falasafah ini dan nyata berjaya. Dia seorang bekas mekanik, berenti buat bisnis cakoi. Pasai dalam survey dia, orang Melayu teringin nak makan cakoi tapi cakoi biasanya makanan orang Cina, jadi dia belajag buat cakoi dengan seorang Kemboja Muslim dan la ni dia ada 22 outlet cakoi ( YU Cakoi) di sekitar Lembah Kelang.
Menutup bab tengahari tu, Koden harap sangat-sanagt kita dapat kumpul sub-sub grup SMJ yang ada untuk bergabung dalam satu pertemuan ALUMRA - kira Himpunan Perdana la kut no... baguih tu. Saya nak ajak lah Cik Milah dari SMJ 76-80 beri komen dan track grup-grup lain kalau ada untuk kita temukan dalam satu badan induk ALUMRA.

Saturday, February 6, 2010

ZUL PIEE PULAK

Lepas Bangau terbang kembali ke Sg. Patani, Zul Piee pulak sampai dari Kuala Nerang. Dia ada kenduri di Kota Damansara. Macam Mazli dulu, dia cari kawan-kawan kat Lembah Kelang ni pangge pakat-pakat pi meraikan perkahwinan anak menakannya. Baguih Zul. Kawan-kawan lain elok buat macam ni. Buka peluang buleh jumpa indirectly.
Mat Aris Bachik tak leh pi. Macam biasa CheAzmi sentiasa tiada masalah. Hashim pula suruh pi ambek dia di Sg. Buluh. Sayang betui nak tinggai kambing dia tu.
Lepas ambek Mie di Bukit Aman terus pi Sg. Buluh. Pukul 1.00 sampai di Dewan Komuniti , Seksyen 7 , Kota Damansara. Zul Piee dah menunggu, macam film director hindustan saja gayakan. Zul ni memang pandai bergaya.
Sembang sakan. Apalagi si Hashim dengan si Zul memang tak pernah jumpa sejak lepas sekolah. Lagi pun dua dua taiko dulu tu kat sekolah... maklum darah panglima pasai depa dua ada bau machang...
Terima kasih daun keladi Zul....

Friday, February 5, 2010

HAJI SHUKRI AHMAD @ BANGAU


Kali akhir jumpa Bangau pada bulan Mac 1976, saat perpisahan kelas belajar menaip dekat stesen bas lama, Jitra. Guru menaip Kak Nab dan Cik Marini. Di sini juga kami rajin mengusik sedara Ahmad Munir namanya Abidah, budak kampung Naga. Lepas result keluar, masing-masing bawa diri.

Shukri melalui jalan getir untuk dapat berada di depan steering Toyota Hilux nya. Dia pernah jadi nelayan di Kuala Kedah. Buruh kontrak sebelum mengikuti kursus kemahiran binaan yang menjadi asetnya sampai la ni. Berkat kegigihannya, dia mendapat kepercayaan menjadi tenaga pengajar kepada golongan muda. Pernah berkhidmat di Muazam Shah , Pahang, di negar Kemboja selama tiga tahun dan Selama, Perak sebelum balik ke Sg. Petani. Kisah hidupnya penuh berliku dan sungguh menarik dalam perbualan petang dengannya sambil menikmati sate Kajang di Pekan Sg. Ramal petang tadi Feb.05.2010. Dia datang ke KL menjemput putera sulungnya yang tamat latihan di Kem Sg. Besi. Dengan segala susah payah dia mengatur waktu, berusaha juga untuk berjumpa saya. Alhamdulillah, Haji Shukri jauh bezanya dengan 30 tahun lalu. Amat jauh!

Namun dia tetap renjong macam dulu dan bila bergambar dengannya, saya menjadi kulup.....

Tuesday, February 2, 2010

Facebook

Dalam banyak kaedah yang telah dicuba, rasanya Facebook paling berjaya menarik masyarakat berinteraksi. Saya mencuba dengan beberapa kaedah lain, tetapi terakhir Facebook juga meraih populariti dikalangan kawan-kawan.
Melalui kaedah ini saya berjaya jejaki Md Zal Hashim, Zahari Ismail, Ali Zakaria dan Ibrahim Ismail ( geng-geng SMDSO) serta kebanyakan rakan-rakan masa di ITM dulu.
Masa yang pantas dan tepat bergerak. Kegiatan hidup yang sibuk. Jarak tempat tinggal yang jauh - semuanya menjadi halangan utama dipatahkan Facebook untuk memberi ruang dan peluang kepada kita mengekalkan hubungan ukhwah yang jika tidak dipeduli, pastinya ia menjadi lesu dan bisu.
Saya intai juga laman blog rakan-rakan. Semuanya tenang macam air di Tasik Pedu. Kecuali Ramlan - sedikit berolak mungkin kerana senario alunan ombak Teluk Batik yang sentiasa meraba. Bigrace di Bukit Aman juga aman saja. Apa lagi Jeram, sudah lama air tidak mengalir disana. Darah 59, kabarnya tiub bocor dan tabung susut dengan banyak sehingga bekalan stok menipis. Keramat memang dah lama bertapa di sana . Tambah lagi bila bukak sekolah ramai pulak anak murid baru masuk - tahap pertapaan pasti akan meningkat jugak. Bahana pertapaan di Keramat juga tempias sehingga Glassmansays retak seribu dan turut kaku. Di Hospital Jitra , bila musim kemarau ni ramai orang datang derma darah dan check darah, jadi kawan kita di sana tu takdan nak minum kopi pun. Di Langkawi pulak, angin Timog yang mula bertiup dengan sepoi-sepoi menyebabkan sang Arjuna terlena di tepi pantai Padang Mat Sirat.
Begitu lah roda-roda kehidupan. lit lap lit lap sudah sebulan tahun 2010 berlalu. Membuka tirai 2010 Koden dah masuk UTP cakag busut disana. Dalam iklim dimana orang mengeluh kerana peruntukan dipotong, nampaknya talian hayat Koden tetap kokoh menyimpul. Setidak-tidak dia berjaya gempag Ramlan di Lumut sehingga Ramlan tak berani pakai spek hitam bila bergambar. Selalunya Lan tak pernah tinggai spek hitam hatta dengan MB Perak sekalipun.

Monday, January 25, 2010

MASJID KITA

Dalam satu siri musafir menjejak informasi untuk program junggle treeking baru-baru ini, singgah di masjid sebuah pekan pinggir banjaran. Tumpang mandi dan solat. Peraturan masjid tersebut hendaklah menanggalkan kasut dan memakai selipar atau terompah tersedia. Bagus juga demi memelihara kebersehan. Sesetengah masjid tidak melarang memakai kasut manakala sesetengah pulak menegah memakai kasut tetapi tidak menyediakan selipar atau trompah. Nampaknya masjid yang saya singgah ini berhemah kerana melarang memasuki dengan memakai kasut tetapi menyediakan selipar dan terompah mengggantikannya.( ini bagus sebab makruh masuk jamban berkaki ayam).
Masuk seorang lelaki. Terdengar rintihan suara yang tidak jelas butirannya sambil ia memilih dan memakai terompah. Kemudian keletok keletak kedengaran langkahnya. Tiba-tiba senyap diikuti nada suara meninggi. Alamak, putuh pulak. Tak dok hok molek sikih ka. Semo selipa dan teropah ni boleh tahuk dale lokang. Mana gi duit derma masjid ni. Nak beli terompah serial duo pun tak leh ka....
Saya hanya terdiam dalam bilik mandi. Ada benarnya keluhan lelaki tersebut. Bukan terompah saja senget benget, pam jamban takdak air. Selak pintu bilik mandi pun takdak ( patah). Pancur air tinggal lubang hollow. Pendek kata semua kemudahan asas punah dan tidak berfungsi atau berfungsi separuh sahaja. Belum lagi bab persekitaran yang berseh mata memandang dan wangi hidung menghidu. Jauh beribu kilometer nak mencapainya. Kenapa fenomena ini sinonim dengan kebanyakan masjid di negara kita khususnya di wilayah utara dan pantai Timur.
Ada dua isu disini. Adakah pengguna tidak bertanggung jawab. Tidak tahu menghargai hak awam dan harta wakaf lantaran tahap civic minded yang rendah ataupun adakah kerana sikap kurang bertanggungjawab tok-tok siak menjalankan tugas dan Nazir yang tidak memantau?
Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebersehan syiar agama. Wajib dipertahan dan ditonjolkan. Apa alasan kita kalau masyarakat berhujah bahawa tandas dan bilik air di R&R atau stesen petrol lebih berseh dari di masjid-masjid! Sungguh sedih dan amat memalukan.
Apakah masjid tidak cukup dana? Sedang kita melihat di merata pasar malam, hentian bas, teksi dan keretapi atau supermarket dan petrol pam, berkeliaran sukarelawan mengutip derma tabung masjid! Membina masjid, Membesar masjid, Mengubahsuai prasarana masjid dsb. Belum lagi tabung yang diedarkan pada setiap solat Jumaat ketika khatib sedang membaca Khutbah (satu perbuatan yang tidak patut dilakukan - kerana semasa khutbah disuruh kita mendengar bukan dok sorong peti tabung dan gogeh-gogeh gagau walet cari duit syiling). Bukan kah ada tabung tersedia di pintu masuk atau letakkan tabung-tabung dipintu-pintu masuk, itu lebih baik dan afdal.
Kita lihat kecenderungan kebanyakan AJK masjid berkejar-kejar membangunkan masjid dalam konteks fizikal supaya nampak hebat, mewah, lengkap dengan peralatan moden tetapi mengabaikan hal-hal dalaman yang bersifat asas. Mereka lebih ghairah mengadakan forum oleh profesor-profesor yang bercakap mengenai falsafah ilmu yang orang kampung tidak faham . Mereka melebarkan dewan solat atau menebalkan kapet sebaliknya melupakan hal-hal lebih besar tetapi mereka anggap kecik seperti kebersehan dan kelengkapan asas sebuah masjid.
Pendek kata isme kebendaan sudah menular menjadi wabak di kalangan ahli-ahli masjid. Ia nya sesuatu yang perlu ditahkikkan dan di bendung.
Walaubagaimanapun majoriti masjid-masjid di Melaka dan Negri Sembilan kemas dan berseh. Tidak tahu lah bab kebersehan dan kekemasan ini ada kaitan dangan wilayah, suku kaum atau sebagainya.

Thursday, January 21, 2010

TELADANI RAKYAT KELANTAN




Dalam trip saya ke Rantau Panjang untuk pertama kalinya, saya teruja dengan sebuah masjid di pinggir jalan sebelum tiba ke pekan glamour ini. Namanya Masjid Beijing. Tegaknya gagah dengan rekabentuk budaya dan kesenian China. Siap dengan gerbangnya sekali.


Tentu ada sejarah dan cerita tersendiri mengenai masjid ini. Khabarnya ia adalah sebahagian sumbangan kaum minoriti China Kelantan yang majoritinya beragama Islam di mukim tersebut. Barangkali boleh dijadikan simbol perpaduan kaum dan toleransi beragama dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Saturday, January 16, 2010

KENDURI BASIRON ABDUL

Mukhtar, Md. Rejab, BASIRON, Othman Puteh, Johari Idris


Saudara Basiron Abdul (yang tengah tu), dulu asal Kg. Alor Rambai la ni duduk di Blok S, PGA Kem Ulu Kinta, Ipoh, Perak berbesar hati menjemput rakan-rakan lama SMJ grup 71-76 untuk datang meraikan kenduri pernikahan anak beliau pada 20.02.10, Hari Sabtu di alamat seperti di atas.
HP Basiron : 019 556 6006.

Wednesday, January 13, 2010

Takziah Untuk Seluruh Keluarga Wan Zaiton


Takziah kepada seluruh keluarga Wan Zaiton diatas kepulangan ayahanda beliau ke rahmatullah pada petang 13 Jan 2010 - menurut sumber dari Kakja. Moga dicucuri rahmat dan ditempat oleh Allah akan rohnya dikalangan orang-orang yang dirahmati dan diredhaiNya. Amin ya robbal'aalamin.

Setiap bermula akan berakhir. Semua kehidupan pasti merasai mati.

Saturday, January 9, 2010

Soalan dari sebuah stesen

Seminggu yang lalu. Pukoi 2 petang. Saya sedang isi minyak di sebuah stesen dekat Nilai. Seorang kanak-kanak lelaki mai bagi salam minta derma sekolah Tahfiz di Kedah. Saya ingat dia mai dari Kedah la. Tapi dia tak reti cakap pelet Kedah.
Saya minta nombor HP Ustaz dia. Dapat bercakap. Ustaz ada di Seremban. Ajak jumpa. Mulanya dia setuju tapi selepas ditabur dengan beberapa soalan, dia membisu. Agaknya ustaz malas nak layan orang macam saya. Kedekut dan banyak songel.
Malam tadi. Isi lagi minyak di stesen tersebut. Pukul 9 malam lepas isyak. Kali ini seorang kanak-kanak perempuan pulak. Minta derma rumah anak yatim.
Ini fenomena biasa. Di stesen minyak. Kedai kopi. Hentian R&R.
Persoalannya, betoi ka depa ni? Sekolah Tahfiz. Rumah anak yatim. Masjid. Apakah tempat-tempat ini tidak mendapat peruntukan baitul mal atau pihak berkuasa atau jabatan zakat. Apakah terlalu banyak bilangannya sehingga peruntukan tidak mencukupi. Ataukah ramai umat Islam tak bayar zakat sehingga dana tak ada. Apakah korporat korporat Islam yang hebat-hebat kedekut taik hidung masin. Apakah pemerintah dan penguasa Islam melihat pembangungan insaniah Islam letaknya pada kelas nombor corot sehingga tidak ada peruntukan?
Bukan nya apa. Fenomena ini menimbulkan banyak kekeliruan. Fitnah. Risiko.
Anak gadis seorang diri di stesen minyak pada waktu malam. Bagaimana waktu solat mereka. Bagaimana kalau mereka ini dirompak kerana disangka banyak dapat duit. Macam-macam lah lagi.
Tidak tahu lah kalau kita melihat ini salah satu jalan jihad fisabilillah. Barangkali lebih mulia dari merayau kat pesta-pesta atau taman-taman bunga.
Apa yang kita kuwatir ialah kanak-kanak ini dieksploit oleh pihak-pihak tertentu dan ini adalah salah satu cara cari makan pada ini zaman.

Monday, January 4, 2010

Anak sekolah ini Zaman

Selepas dua hari persekolahan 2010, kawsan sekolah masih sesak dengan kereta. Ibubapa masih cuti pi hantar anak mereka masuk kelas. Ada yang tunggu sampai tengahari. Bagi anak-anak yang masuk asrama, ibubapa pergi hantar sehingga dalam dorm. Siap angkat beg dan tikar bantal sekali. Yang asrama sediakan tidak cukup selesa bagi mereka.
Rumah saya letaknya kira-kira 800 meter dari sebuah sekolah menengah. Bila musim sekolah begini, terasa sesaknya apalagi pada waktu puncak iaitu pagi, tengahari dan petang. Sebahagian kesesakan itu disumbang oleh pelajar sendiri. Peraturan sekolah tidak membenarkan pelajar membawa atau meletakkan kereta atau motosikal dalam kawasan sekolah melainkan mereka mempunyai lesen memandu. Oleh kerana itu pelajar-pelajar ini meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan kawasan perumahan. Itu bukanlah perkara pelek. Apa yang nak saya highlite kan ialah perihal pelajar-pelajar ini dalam usia belasan datang sekolah dengan memandu Waja dan 4WD. Kalau yang bawa Kancil dan motosikal tu memang jenuh - semua ini kinayah kepada betapa mewah dan senanganya menjadi anak-anak sekolah zaman ini.
Zaman dulu-dulu, di universiti baru nak rasa guna motosikal. Itu pun buleh dibilang dengan jari. Majoriti jalan kaki saja. Kalau kampus seperti Shah Alam atau Bangi, siap mendaki lagi pulak. Jenuh berpeluh-peluh masuk dewan kuliah. La ni semua dah pakai kereta sehingga kalau pi mana-mana kampus, masalah letak kereta memang memeningkan kepala. Kereta milik pelajar dengan staf sama naik. Bahkan ada pelajar pi bawa kereta-kereta semewah Honda Accord.
Bila dihitung, mewah dan mudah sungguh perjuangan anak zaman ini. Yang kita khuatir ialah kemewahan ini merapuhkan jatidiri mereka dan ia pasti lah akan memberi kesan negatif jangkapanjang kerana mereka ini bakal pemimpin masa depan.