Tuesday, November 2, 2010

JITRA BAH

foto di sadur dari album Abdul Jamal Ahmad, Jitra.

Biasanya bulan November musim hujan di utara. Taburan pusingan akhir sebelum musim kemarau yang akan bermula apabila angin monsun timur laut bertiup awal December. Selalunya ia berlarutan berhari hari dan air akan menggenangi sawah bendang saujana mata memandang. Amat jarang limpahan berlaku sehingga memaksa penduduk meninggalkan rumah. Tetapi itu zaman dulu. Di era milanium ini, dimana sawah sawah ditimbus menjadi taman perumahan dan bukit bukau digondol atas berbagai maksud, musim hujan yang biasa bertukar menjadi luarbiasa. Selain melimpahi sungai dan terusan, air menggenangi jalan dan lebuhraya. Memutuskan laluan dan memberi cuti kepada sebahagian besar penjawat awam dan swasta.
Ada pendapat mengatakan ia satu rahmat dan punca rezeki. Kerana mereka tidak perlu ke sungai untuk menangkap ikan. Permintaan kepada payung dan baju hujan meningkat dan jualan pasti menguntungkan. Perabut dan pakaian yang rosak perlu diganti baru. Bengkel bengkel kereta sedang bersiap sedia membaikpulih kenderaan yang tenggelam. Semua punca rezeki ni datang dari peristiwa banjir.
Disatu pihak lagi, mereka menganggap ia satu bencana. Tanaman akan rosak. Kerja tertangguh dan produksi tersekat. Hartabenda rosak dan semuanya memerlukan kos untuk membaikpulih.
Golongan ini tentu tidak suka dengan kedatangan bah seperti ini.
Dari pandangan yang lain, bah adalah bencana alam. Terjadi dengan bersebab atas kehendak Ilahi. Balasan bagi manusia yang mencabar nature alam. Sistem yang Dia jadikan sudah cukup sempurna, tetapi manusia dengan angkuh mahu mengubahnya.
Saya membesar di Jitra dan sehingga sekarang pun masih balik kesana. Dulu dulu bah seperti ini jarang sangat berlaku. Tetapi hari ini, apabila Jitra menerima pembangunan pesat yang memaksanya melanggar segala susila alam dan kemanusiaan, bencana memang tidak dapat dielakkan.
Samada suka atau tidak, kita terpaksa menerimanya sebagai harga yang perlu dibayar untuk kemajuan dan pembangunan.