Friday, July 23, 2010

PELAJAR, IBUBAPA, GURU,PPD DAN MENTERI

Kisah 1.
Terbaca dalam Metro hari ini. Kisah seorang ustadz membogelkan anak muridnya dan mencocok ponggong mereka dengan lidi sebagai hukuman di atas kesalahan dilakukan murid berkenaan.
Kisah 2.
Minggu lalu saya bertemu seorang rakan. Ceritanya juga sama. Seorang Ustadz di sebuah sekolah Menengah Agama telah menghadiahkan penampar return ticket di muka murid murid lelaki kelas anaknya kerena kesalahan bising. Dan anaknya mendapat double return ticket sebab bertanyakan kenapa dia ditampar sedang yang bising orang lain.
Kisah 3.
Semasa anak sulung saya di sekolah rendah dulu, ia pernah didenda oleh guru bahasa Inggerisnya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dirumah dengan melondeh seluar dan mengarahkan memakai kembali dalam keadaan terbalik sehingga waktu balik sekolah. Ketika menjemputnya tengahari saya sangat terkejut melihat dia menangis malu kerana menjadi tontonan awam. Saya tidak menyerang guru tersebut sebaliknya saya membuat sepucuk surat aduan mengenai kes itu dan menghantar kepada guru terbabit dengan satu salinan kepada Guru Besar dan satu lagi salinan kepada Pegawai Pendidikan Daerah. Kes ini menjadi riuh rendah dan topik bualan hangat di kalangan guru bukan sahaja di sekolah tersebut tetapi sekolah berdekatan.
Saya bertanya kepada rakan-rakan saya yang kebanyakannya dari kalangan guru sekolah rendah, menengah dan juga pensyarah universiti. Kenapa hal begini boleh berlaku. Kenapa tidak dijalankan hukuman mengikut cara yang dibenarkan syara' iaitu merotan macam dulu dulu. Apakah kualiti sahsiah pelajar sekarang di tahap membimbangkan.
Jawapan yang saya dapat hampir sama. Berbagai pengaruh terdedah kepada pelajar dan terdapat berbagai kekangan yang perlu dipatuhi guru. Itu yang menyebabkan adakalanya mereka bertindak luar batasan kerana sudah tidak tertahan memendam rasa.
Kalau begitu siapa yang perlu bertanggung jawab. Ibubapa. Guru-guru. Pemerintah atau masyarakat?.
Selepas sekolah rendah saya menghantar anak saya ke Methodist Boys School di KL dibawah program Yayasan Selangor. Apa yang memeranjatkan saya ialah pelajar-pelajar Islam di sekolah berkenaan diwajibkan solat pada setiap waktu solat dan sesiapa yang yang gagal berbuat demikian diberi merit maxima 3 kali sebelum dihukumkan dengan hukuman merotan. Ini lah tempat di mana saya melihat anak-anak Muslim dihukum oleh orang bukan Muslim kerana kesalahan beragama mengikut kaedah hukuman agama Islam. Tidak kah ini memalukan umat Islam khususnya Ustadz-Ustadz di sekolah agama yang menghukum murid-murid mereka dengan kaedah hukuman yang diharamkan syara' semata-mata kerana kesalahan lebih kecil berbanding meninggalkan solat! (Menampar mana mana bahagian muka dan menghukum sehingga memalukan atau memudaratkan pelaku adalah dilarang di sisi syariat.)
Saya teringat kepada sepotong nas sabit dengan janji Iblis bermaksud " aku akan mendatangi dan menyesatkan manusia mengikut kedudukan mereka iaitu ulamak cara ulamak, peniaga cara peniaga, pemimpin cara pemimpin dana orang awam cara orang awam - mengikut makam masing-masing."
Sebab itu lah agaknya Ustadz bertindak seperti GB bukan Islam dan GB Bukan Islam bertindak seperti seorang Ustadz.

Monday, July 12, 2010

SOTONG KURITA

Musim sotong masih bersisa di perairan Trengganu. Mencandat sotong sebenarnya aplikasi teknik menipu hidupan tersebut. Dengan menggunakan silauan cahaya lampu dan mata kail umpan tiruan maka berkilo kilo sotong dapat dinaikan dari satu satu lubuk. Ertinya sotong bukan lah haiwan bijak dan ia sebenarnya mudah tertipu oleh manusia.
Namun dalam era milanium sotong menjadi ikon pulak kepada segolongan orang atau negara. Sempena Pesta Bola Sepak Sedunia yang baru berakhir, seekor sotong kurita diguna untuk membuat ramalan nasib pasukan yang bertanding. Dengan izin Allah, kebetulan pula ramalan ramalannya menepati keputusan keputusan terhasil. Maka serta merta sotong yang di beri nama Paul ini menjadi masyhur. Ada negara menjadikannya ikon pencapaian bolasepak negara mereka. Ini diumumkan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara tersebut. Hebat.
Namun apa yang lebih menarik ialah ada negara yang menuntut hak pemilikan keatas sotong kurita ini semata mata kerana ia ditangkap di perairan negara mereka. Pertarungan nampaknya belum berakhir dan selepas ini ialah fasa merebut hakmilik sotong kurita pula.
Kita harap umat Islam tidak tertipu daya dengan silap mata syaitan ini. Jangan sekali kali kita sampai meyakini atas wibawa sotong tersebut, samada secara sebutan apatah lagi secara perlakuan.
Dari satu aspek lain, kalau kita ingin mengambil iktibar, ialah sekiranya kita hebat dan berwibawa atau mempunyai sesuatu yang luar biasa, maka semua orang akan berlumba lumba menghampiri kita, mengakui kita saudara, atau rakyat mereka atau sebagainya. Jika sebaliknya tidak siapa yang mahu peduli dan akan mengakui, hatta adik beradik sendiri.
Apa apa pun jangan kelak nanti ada orang Melayu menamakan anak anak mereka dengan nama Paul Qurita..