Monday, August 29, 2011

SALAM IDULFITRI 1432/2011

Isnin 29 Ogos 2011. 
Langit Sepang mendung. Jalan masih basah kesan hujan sepanjang malam tadi. Trafik kelihatan lengang sekali. Dengan jangkaan ini hari terakhir Ramadhan tahun 2011 bandar baru ini benar benar terkesan oleh ketibaan Syawal. Warganya ramai sudah pulang ke kampong halaman masing-masing. 
Sebagai perantau, kampung halaman tentunya menjadi tempat terindah melalui saat saat meriah hari mulia bersama kaum keluarga dan sahabat handai. Kesesakan dan susahpayah mengharungi perjalanan jauh balik kampung tidak terasa penatnya seperti yang dinyanyikan oleh arwah Sudirman Hj Arshad. Sesiapa yang pernah menjadi perantau pasti tersentuh jiwa mereka mengenang peristiwa balik kampung pada hari raya sebegini.
Arwah P. Ramlee telah berjaya merakam suasana dan perasaan ini dengan begitu berkesan dalam lagu evergreen nya Dendang Perantau.
Namun masa terus beredar dan zaman akan berubah. Samada kita suka atau tidak. Mahu diterima atau menolaknya. Hakikatnya kitaran hidup kita berputar seperti roda. 
Kini pada usia lebih setengah abad, mungkin masanya saya perlu belajar melupai percutian balik kampung pada musim hari raya. Keindahan tidak seperti dulu lagi. Semua kenangan lalu walau boleh diulang  tetapi settingnya sudah tidak akan sama seperti dahulu. 
Anak anak sudah membesar. Masa telah beraleh dimana saya pula menunggu kepulangan mereka. Menghimpun kan mereka adik beradik. 
Di kampung pula yang tinggal hanya nama kampung. Kalau dulu dulu masa anak anak masih kecil dan tidak ramai saya biasa menumpang di rumah abang abang setelah ketiadaan kedua ibubapa tetapi apabila keluarga mereka membesar keadaan tidak lagi sesuai. Keluarga abang abang juga telah bertambah dan mereka juga menunggu kepulangan anak menantu serta cucu masing masing. Kemudian saya beraleh kepada menyewa homestay. Tidak ada banyak bezanya berhari raya di homestay  dengan taman perumahan tempat tinggal saya sekarang. Selain kos yang lebih tinggi terpaksa ditanggung, semua itu memaksa saya belajar supaya melupai tentangnya. 
Memang lah sukar melakukan sesuatu perubahan kepada yang menjadi tradisi berpuluh tahun lamanya. Sejak menjadi perantau pada 1978 saya tidak pernah tidak balik ke kampung pada musim perayaan. Balik kampung seolah mendarah daging dalam tubuh.
Barangkali ramai yang telah dan akan melalui proses seperti saya ini. Balik beraya di kampung perlahan lahan akan tinggal menjadi kenangan abadi. Tahun demi tahun ia perlu dihakis supaya semakin menipis di hati. 
Kepada semua sanak saudara dan sahabat handai dimana saja kalian berada, sempena hari lebaran ini, dari jauh saya doakan keselamatan semua sempena hari mulia ini,  maaf dzahir dan bathin. Barangkali di kesempatan yang lain kita berpeluang bersama lagi.
SELMAT HARI RAYA DARI KAMI SEKELUARGA.