Saturday, July 9, 2011

BILA GAJAH SAMA GAJAH BERJUANG

Ini satu lagi pepatah Melayu yang semakin pupus. Bila gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah tengah.
Tidak siapa mahu jadi pelanduk. Walaupun dikatakan pintar tapi kepintarannya tidak sampai kemana. Kalau tidak kena jerat, ia akan ditembak. Penyudahnya direbus dalam kawah berserta rempah gulai kemudian diratah sehingga tulang belulangnya di hisap hisap.
Semua orang nak jadi gajah. Kepintaran tidak perlu sangat. Gajah mempunyai kederat yang hebat. Pokok balak boleh ditumbangkan dengan mudah. Badanya jugak besar dan kebesaran itu sudah cukup mengecutkan binatang lain walaupun harimau atau singa yang terkenal suka melahap daging.
Gajah juga bergerak dan bertindak dalam kumpulan. Inilah yang menggerunkan harimau atau singa walaupun gajah adalah vegetarian.
Apabila mereka berbalah, siapa pun tidak berani masuk campur. Belantara bakal lumat. Kancil lah yang menjadi mangsa kerana apabila hutan menjadi lunyai, tempat berlindung mereka tiada lagi. Maka harimau, singa, dubuk dan jugak manusia pasti akan ketawa berdekah dekah kerana kenyang makan gulai pelanduk.
Senario ini telah pun menjengah bandaraya KL. Apabila kumpulan Bersih mengadakan perhimpunan dan pihak pemerintah mengistiharkannya haram, maka konflik mula timbul. Pemerintah bertindak atas alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Penganjur bertindak atas nama perjuangan menuntut kebenaran. Secara logiknya apabila dua elemen ini bertembung, ia sukar dilenturkan.
Maka sang kancil pun terkial kial lah di semua lokasi sekitar lembah kelang.
Sebagai rakyat Malaysia, seperti orang lain jugak saya tidak mahu keamanan dan kemakmuran negara terjejas. Tetapi apalah yang dapat dilakukan oleh seorang rakyat seperti saya. Urusan besar begini tentulah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk menangani dengan bijaksana, ikhlas dan jujur.
Saya berfikiran sekiranya dibenarkan perhimpunan tersebut dijalankan secara aman dengan dipantau oleh pihak berkuasa, keadaan mungkin tidak menggelodak. Sudah tentu kebenaran di beri dengan peraturan peraturan tertentu yang mesti dipersetujui dan dipatuhi kedua belah pihak. Mengapa perlu digembar gembur dengan bayangan negatif sedangkan ia perkara yang belum berlaku.
Saya berpendapat pendekatan menangani konflik manusia tidak wajar digunakan pendekatan terhadap mesin. Manusia mempunyai jiwa dan roh yang kompleks dan isu isu kemanusiaan perlu ditangani secara halus dan bijaksana. Menggunakan kekerasan dan paksaan mungkin dapat mengatasi masalaah seketika tetapi benihnya tetap membara untuk tumbuh semula. Cuma faktor masa sahaja yang menjadi sifir.
Apapun situasi, yang jelas kancil sedang menghadapi masa depan tidak menentu. Harimau sedang mengilir taring. Singa sedang mengejip mata. Manusia pula dengan senapang ditangan.
Alangkah sedih nya, kancil terpaksa menjadi isi gulai semata mata kerana gajah gajah bertarung kerana mahu menguasai lembah ini yang sepatutnya dikongsi bersama.