Saturday, September 29, 2012

GADIS BERBAJU KURUNG BIRU

     Ada orang memulakan hidup ini dengan sempurna tetapi pada hujung nya menghadapi kemelut kasih yang  sukar di rungkai. Ia berlaku kepada seorang bekas pensyarah saya. Pada hujung tahun 70an beliau memilliki sebuah keluarga bahagia dan tinggal di sebuah banglo miliknya di Kelang. Pada 2006 belaiu menghabiskan sisa hidup dengan menumpang sebuah bilik darjah yang di ubahsuai sebagai bilik tidur di sebuah sekolah . 
     Sejarah hidupnya memang berliku. Berhenti kerja kerana mencari cabaran di negeri Arab dan gagal. Kembali ke tanah air berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di beberapa buah universiti awam sehingga lah tenaga beliau tidak diperlukan. Tersisih dari keluarga dan tinggal di rumah orang tua sebelum melarikan diri dan  di temui rakan lama seorang usahawan berjaya di Ampang pada satu tengah malam. Kawannya itu menumpang kan dia di sebuah hotel untuk beberapa bulan. Sekali lagi melarikan diri kerana segan dengan pengorbanan rakan lamanya itu. Akhirnya anak bongsunya berjaya mengesan dan menempatkan dia disekolah tersebut setelah berbincang. 
        Saya dengan beberapa rakan terus menziarah belaiu sebaik mendapat maklumat. Memorinya memang kelas satu. Dia masih ingat kami setiap seorang dengan jelas. Siap dikaitkan dengan peristiwa peribadi yang kami pernah lakukan semasa di bawah seliaan beliau. Keadaannya amat uzur kerana menanggung penyakit kronik tiga serangkai. Dia tinggal seorang diri dan anak bongsunya akan menziarah setiap ujung minggu. 
         Belaiu tiada wang pencen. Kewangan menjadi sebahagian maslah nya. Suatu hari dalam kesempitan belaiu teringat akaun BSNnya yang tidak pernah diguna semenjak dia berhenti kerja. Mungkin ada baki sekupang dua yang boleh dibuat belanja. Alangkah terkejutnya dia apabila di periksa terdapat jumlah ribuan ringgit dan akaun itu aktif dengan terdapat credit sebanyak RM200.00 setiap bulan. Wang itu lah di buat belanja untuk hari hari terakhir hidupnya.
        Dari manakah datangnya duit tersebut?. Apakah ada malaikat yang mengkreditkannya ?. Kalau ada, mereka adalah manusia berjiwa malaikat. Puas di fikirkan dan akhirnya dia teringat kepada seorang pelajarnya ketika mengajar di sebuah universiti di utara. Seorang gadis berbaju kurung biru. 
         Sudah lama diperhatikan gadis itu. Ada sesuatu yang menarik perhatian beliau. Bukan rupa paras dan budi bahasa. Tetapi satu kemeusykilan tentang baju kurung biru. Dia tidak pernah melihat gadis itu memakai pakaian lain selain baju kurung biru yang satu itu. Dia merasa sangat pelik sehingga memaksanya memanggil pelajar tersebut dan bertanya mengenainya. 
        Dia menemui jawapan. Gadis itu berasal dari Trengganu. Anak seorang nelayan miskin yang bercekang perut kerana hendak menuntut ilmu. Dia hanya mempunyai sepasang pakaian untuk setiap keperluan dan baju kurung biru itu untuk menghadiri kuliah. Setaip balik ke hostel dia akan membasuhnya untuk dipakai pada kuliah besok hari. Demikianlah putarannya. 
         Menitis airmata pensyarah saya itu mendengarnya. Dia lalu menghulurkan RM500.00 untuk pelajarnya itu membeli pakaian tetapi gadis itu enggan menerima. Beliau tetap mendesak dan akhirnya gadis itu bersetuju dengan satu syarat. Iaitu hendaklah pensayarah saya itu memberikan nombor akaun banknya. Memikirkan akaun BSN tidak pernah digunakan dan yang penting gadis itu mahu menerima sumbangan nya maka pensyarah saya itu pun bersetuju. 
        Kisah itu pun berlalu dan gadis itu pun seperti pelajar lain terus hilang selepas tamat pengajian. Ianya tersimpan rapi sehingga lah pensyarah saya itu terdesak memerlukan duit dan cuba mengorek ngorek sisa sisa simpanannya di semua akaun bank yang dia ada lalu mengimbau kembali ingatannya kepada gadis berbaju kurung biru. Alangkah mulianya pekerti anak nelayan itu.
         Kepada gadis berbaju biru yang kini telah menjadi ibu mungkin , sekiranaya belum mendapat kabar ketahui lah bahawa pensyarah kamu yang ikhlas dan baik hati itu sudah kembali ke rahmatullah pada 2007. Kalau masih ingin membalas jasa beliau sumbangkan melalui saluran lain kerana beliau sudah tidak memerlukan lagi wang dari akaun BSNnya itu. 
          Mudah mudahan Allah merahmati kamu, arwah dan kita semua.