Friday, June 15, 2012

CIKGU AMRAN LEE DALAM KENANGAN

Rakan saya Ismail Yunus (berbaju gelap) bersalaman dengan Arwah Cikgu Amran Lee di majlis rakan kami Wan Zaiton mengahwinkan anaknya di Shah Alam.

JUMAAT 15 JUN 2012.
     Ada angin suam bertiup dibawah bahang mentari yang terperangkap oleh jerebu. Ruang angkasa Lembah Kelang menjadi kabur dan kelabu di gerbang senjakala. Alam seolah tumpang berdukacita berkongsi menerima berita sedih dari utara. Dalam nada terharu tetapi saya tetap redha.
     Pada 2009 saya berjaya menjejaki kediaman beliau di Bercham Ipoh bersama dua rakan kelas saya Mohd Tamin Shaari dan Che Azmi Bidin. Isteri beliau Cikgu Wan Bin binti Kamarudin yang juga guru kelas kesayangan kami menyambut kami dengan amat mesra. Ketika itu beliau baru sahaja keluar ke stadium untuk berjoging.
      Mendengar kedatangan kami, belaiu membatalkan aktiviti berjoging dan terus balik meraikan kami. Hubungan di jalin semula. Kami sering bertemu dalam agenda agenda reunion kecil dan majlis majlis kenduri kawan kawan alumni. Pasangan guru ini juga pernah pergi ke Sarawak dengan tujuan hanya menjejaki bekas murid mereka dari kalangan pelajar pelajar Sarawak yang menuntut di SMJ. Mereka berdua mengajar saya di SMJ dari 1971 hingga 1975. Keduanya menjadi guru kesayangan sekolah.
       Beliau seorang ahli memancing. Kebetulan berkongsi minat dengan saya. Beberapa agenda memancing dirancang tetapi saya tidak dapat menyertainya. Paling akhir pada awal Jun lalu beliau mencandat sotong di perairan Trengganu. Dalam nada gurau beliau memberitahu hanya dapat 3 kilo dan mereka tidak dapat membakarnya di pantai bersama rakan sebaliknya semua di kebasnya untuk dibawa balik. Musim akan datang beliau mahu memastikan saya turut serta mencari lubuk yang pernah saya dan rakan rakan lain temui pada 2008 sehingga mengaut bertong tong banyaknya.
       Allah telah memilih hari yang mulia ini sebagai saat untuk beliau di kembali kepadaNya. Sungguh bertuah diri beliau dan mana mana muslim yang kembali ke rahmatullah pada malam dan hari Jumaat. Mereka terlepas dari fitnah kubur yang dasyat. Ia juga memberi alamat bahawa mereka terdiri dari kalangan orang orang yang berbahagia dan berhati mulia ketika hayat.
     Setiap yang hidup pasti akan mati. Allahyarham Cikgu Amran Lee bin Abdullah telah melaluinya. Meninggalkan nama dan kisah suka dukanya untuk ahli keluarga, sanak saudara dan kawan kawan mengenangi dan menginsafi diri. Kepada Cikgu Wan Bin binti Kamarudin takziah buat cikgu sekeluarga. Yang pergi redha akan kepergiannya. Yang masih hidup, baki usia dalam kehidupan perlu diteruskan.
    Hari ini jenazah beliau akan di semadikan di kampung cikgu Wan Bin di Sungai Korok , Alor Setar, Kedah. Bersemadi lah dengan aman. Semoga Allah merahmati roh Allahyarham dan sekelian kita yang masih tinggal ini dengan limpah kurnia serta nikmat dan kasih sayangNya yang tidak terbatas.  Kepada Nya kita berserah diri dan pasti akan kembali.
     

Sunday, June 10, 2012

SAM D'LLYOD DALAM KENANGAN

     Semalam. Pada usia 64 tahun penyanyi tersohor era 70an yang masih kekal popular berdekad dekad kemudiannya iaitu Sam D'llyod telah kembali ke rahmatullah akibat asbab penyakit jantung dan barah paru paru. Innalillahi wainna ilaihiroji'un. Tiap yang hidup pasti merasai mati. Apabila tiba masanya maka kembali lah hamba hamba itu kepada Tuan nya yang Maha Agung.
    Menurut rakan karibnya Richard Kyoto, beliau terkejut bila mengetahui Sam sebenarnya telah lama menderita penyakit kronik yang membawa kepada penemuan ajalnya itu. Selama hayat Sam tidak pernah memperlihatkan  kesedihan dan keluh kesah dengan kesakitan ditanggungnya itu. Bahkan tidak ramai sahabat karib dan sanak saudara yang mengetahuinya. Penderitaan itu di simpan rapi oleh Sam sebagai miliknya peribadi. Itu lah yang menyedihkan Richard sebagai seorang sahabat karib
     Itu lah hebatnya peribadi Sam. Bukan sekadar amat wibawa membawa lagu lagu berirama perlahan dengan amat berkesan dan boleh mengalirkan airmata pendengar seperti lagu lagu Semalam Di Malaya, Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa, Tak Mungkin, Keagungan Tuhan dan lain lain. 
        Semoga Allah merahmati rohnya dan sekelian kita hamba-hambaNya yang dhoif lagi banyak berbuat dosa. Sesungguhnya belas kasihan dan rahmat Nya meliputi seluruh alam dan hari kiamat. Dan kepada Nya kita pasti akan kembali dan berserah diri.