Thursday, April 30, 2009

Reunion sempena kenduri Kak Ja

Alhamdulillah.

Suatu tengahari minggu lalu ketika sedang makan di Food Court UNITEN , dapat satu panggilan dari seorang perempuan yang nombornya asing dan suaranya pun asing serta soalannya juga asing. " Kenai dak ni sapa dia?"
Rupa-rupanya Kak Ja ( Cikgu Aliyah Ramli)classmate masa tingkatan 3A 1973 di SMJ, Jitra dan Ting. 6A1 1977 di SMDSO, Alor Setar. Nak jemput makan kenduri kawin anaknya pada 7 jun 2009 dan buat reunion sekali pada sebelah petangnya di rumah nya di Tunjang, Kedah. MasyaAllah, punya lah lama masa dah berlalu, sampai dah nak bercucu, masih rasa macam baru saja keluar negeri Kedah.
Ia memang satu cadangan yang baik. Menghimpun kawan lama dan menghimpun sanak saudara memang menjadi agenda saya yang tidak terlaksana sejak sekian lama kerana macam-macam halangan yang masih tidak dapat diatasi.
Pada suatu ketika rancangan ini hampir menjadi kenyataan, tetapi malangnya Cikgu Mohd Jamil Hasim yang menjadi sandaran kuat saya di Kedah di timpa stroke dan sejak itu rancangan ini pun tersedak sekejap.
Bagaimanapun dengan cadangan Kak Ja ni, rasa nya ia satu turning point untuk hasrat terlaksana. Adalah diharap semua rakan-rakan dapat dijejaki dan dapat pula mereka meluangkan masa untuk menghadirinya.

Saturday, March 7, 2009

Cari Kawan Lama Bahagian Empat (Sek. Men.Dato' Syed Omar, Alor Setar)

Dalam Tahun 1977 saya kembali ke sekolah kerajaan dalam Tingkatan 6 Atas 1 di Sekolah Menengah Dato'Syed Omar(SMDSO), Jalan Sultanah, Alor Setar. Bersama saya ialah Abd Rahman Zainol dan Dzaudin. Di SMDSO saya berjumpa kembali ramai kawan-kawan lama sejak sekolah rendah di Tok Jalai dan menengah di Jitra.
Pada waktu itu, hanya pelajar tingkan 6 rendah dan Atas sahaja terdapat campuran pelajar lelaki dan perempuan di SMSDO. Pelajar tingaktan 1 hingga 5 semuanya lelaki . Pelajar perempuan di asingkan semuanya di Sek. Men. Sultanah Bahiyah atau Sek. Men. Sultanah Asma tidak jauh dari situ.

Beberapa kawan disini yang masih ingat ialah Md Saleh Bakar, Abd. Rani, Puzi, Abu Samah Hashim, Abu Hanifah, Md. Zan, Ku Azir, Husin, Naimah Langkawi, Mariam Lengkuas, Asiah Pendang, Ramlah Said, Yom, Azmi Kuala Kedah. Saya juga masih ingat pasukan pelukis mural kat dinding sekolah iaitu Ali Zakaria, Mariam Ali , Rosmalina Zakaria dan saya.

Kabarnya ramai rakan-rakan di sini menjadikan guru sebagai profesion mereka kecuali yang saya tahu bukan ialah Abu Samah , Hashim Ismail. Md Saleh dan Ibrahim Ismail.

Friday, March 6, 2009

Cari Kawan Lama Bahagian Tiga (Yayasan Bimbingan)

Selepas SPM saya masuk Tingkatan 6 Rendah di sekolah private Yayasan Bimbingan di Jalan Sultan Badlishah ( belakang wat Siam , dekat Bulatan Telok Wanjah), Alor Setar dalam tahun 1976. Lokasinya tidak jauh dari stesen bas. Tetapi kini stesen bas tersebut dah pindah ke Shahab Perdana, Mergong dan bangunan Yayasan pun tidak kelihatan sudah.

Kawan-kawan saya disini ialah Abd Rahman Zainol, Dziaudin, Husni, Mokhtar dan Saadiah . Saya menggelarkan Saadiah Patricia Hearst kerana cara berpakaian dan gaya rambutnya seperti wanita tersebut dan sering memakai Rayban.Cikgu yang masih saya ingat ialah Pak Wan dan Pak Syed.

Saya tidak pernah bertemu dengan mereka semua kecuali Abd Rahman Zainol dan Mokhtar. Abd Rahman menetap di Alor Setar dan Mokhtar saya temui di UKM Bangi sekitar akhir tahun-tahun 80an ketika ia belajar di sana.

Barangkali kenangan masih di ingatan ialah ketika lawatan menyiapkan tugasan lukisan ke Istana Anak Bukit bersama cikgu Pak Syed.

Cari Kawan Lama Bahagian Dua (Sek.Men. Jitra, Kedah)

Sekolah Menengah Jitra atau SMJ la ni disebut Sek. Men. Keb. Jitra. SMJ terletak setengah kilometer dari pusat bandar pekan Jitra lama, tetapi la ni lokasi tersebut menjadi Jitra Sentral. SMK Jitra rated sebagai sekolah terbilang daerah Kubang Pasu, tidak lagi seperti 30 tahun dulu. Disekelilingnya tumbuh taman-taman perumahan dan deretan kedai-kedai serta super market, melenyapkan terus tanah bendang dan perkampungan pondok pak leh arah ke timur.

Saya masuk sekolah ini pada tahun 1971 dalam tingkatan satu aliran Melayu dan keluar selepas habis tingkatan lima 1975. Dulu ada dua aliran bahasa pengantar iaitu Melayu dan Inggeris. Batch kami terdapat lima kelas semuanya yang diatur mengikut abjad A B C D dan E. Saya masuk kelas Tingkatan 1C , 2A, 3A, 4A dan keluar dalam Tingkatan 5B 1975. Saya bukan lah pelajar cemerlang. Takat cukup makan saja.
Ramai diantara kami berpisah selepas tingkatan 3 (SRP).

Kawan-kawan saya disini antara lain ialah Fadil Man, Ismail Taib, Rashidi, Saad Shaari, Hashim Ismail, Abd Halim, Johari baharom, Che Man Hamid, Che Omar, Che Azmi Bidin, Mohd Tamin Shaari, Muhamad Abd Rahim, Pak Din, Norsaid Yusuf Honda CB100, Mazli Ahmad, Zambri Ahmad,Mohd Nor Ahmad, Aliyah Ramli, Basharah Husin, Noran, Sufiah, Muhammad Ali, Ismail Ibrahim, Ahmad Munir Yusof, Che Piah Abu, Azamuddin Hj. Ahmad, Loh Kim Hua, Seroja Dewi,Ahmad Zambri Ulu Langat, Anand dan dua lagi budak Siam yang saya dah lupa nama mereka. Dua orang telah kemabali kerahmatullah iaitu arwah Nasir Panjang dan arwah Nasir Gemuk - al fatihah.

Cikgu yang paling diingati ialah Wan Bin Binti kamarudin, Cikgu Wahab dan Cikgu Jaafar.

Rakan-rakan lain yang tidak tersebut nama mereka disini jika terbaca nota ini dan tersabit dalamnya mohon hubungi saya.

Cari Kawan Lama Bahagian Satu (SK Anak Angkatan Tentera Tok Jalai)

Masa berlalu zaman pun berubah dan peristiwa menjadi sejarah. Saat demi saat beredar dan kita semakin meningkat usia. Bermula dari satu pertemuan kemudian untuk seketika berkongsi suka duka kemudian berpisah. Ada yang dapat ketemu semula sesudah itu dan ada pula yang terus tinggal dalam kenangan dan ingatan. Mencari dan menemui kawan lama adalah satu rahmat dan wajar diikhtiarkan oleh kita - begitu menurut pendapat saya.Atas dasar inilah saya cuba gunakan kemudahan teknologi untuk mengesan kawan-kawan semua dan sekiranya happen terbaca dan pernah mengenali saya, respon lah untuk saya kemaskinikan directori maklumat kawan lama saya.

Pendidikan asas saya di Sekolah Kebangsaan Anak Angkatan Tentera Tok Jalai, Jitra, Kedah dari tahun 1965 hingga 1970. Sekolah ini letaknya di dalam kawasan Kem Tok Jalai di pinggir sawah tidak jauh dari Lapangan Terbang Kepala Batas.Selain Kg. Tok Jalai, kampung-kampung berhampiran ialah Kg. Telok Gelam, Kg. Padang, Kg. Lubuk Kawah, Kg. Tanjung Kapor, Kg. Alur Rambai dan Kg. Pelubang. Kebanyakan kawan-kawan sekolah rendah saya dari kampung-kampung ini serta anak-anak anggota 3 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kepala Batas. Mereka tersebut antara lain yang sangat saya ingati ialah Norhashim Hamzah tetapi terus terputus hingga kini. Kawan-kawan lain seperti Mohd Ali. Azizan Saad, Nazri Baharom, Nik Hassan, Norlida Sulaiman - pernah terserempak di Muar dalam majlis kawin kawan saya tapi takdan tegur , Jamilah Md Isa, Siti Rokiah Saleh, Siti Mariam Hamzah, Rohani Abdullah, Rodziah Bidin dan beberapa lagi juga tidak terkesan. Manakala Ramlan Husin, Mohd Jamil Hashim, Ahmad Jaafar, Zakaria Ahmad, Ramli Ahmad,Fazil Baharum, Ghazali Mahmud pernah beberapa kali bertemu ketika pulang cuti raya dikampung.

Cikgu-cikgu yang paling diingati ialah Cikgu Arshad, Cikgu Md. Nor , Cikgu Syed dan Cikgu Sharifah. Guru Besar Cikgu Sulaiman.

La ni sekolah tersebut dah cukup hebat dengan bangunan barunya. Pekan Tok Jalai pun dah berubah. Semua kenangan silam saya telah di turap oleh jalan double carriage way dari Jitra ke Alor Setar. Kedai catuk jenis kayu jugak dah runtuh.Dan yang paling sedih kemeriahannya telah ditelan oleh Bandar Baru Darulaman kira-kira dua kilometer ke utara.

Saya boleh dihubungi ditalian 0193224895 atau di crv5161@streamyx.com

Friday, February 27, 2009

alumni A&D 78-81

Kepada kawan-kawan lama yang pernah berhujan panas di AD Square, School of Art and Design, ITM Shah Alam pada tahun-tahun 1978 hingga 1981, rasanya elok jugak kalau kita buat satu agenda reunion macam malam AD Show atau latihan pentomin musabaqah AlQuran pada setiap malam itu tetapi modified sikit sesuai dengan zaman dan umur yang dah senjakala. Barangkali banyak pengalaman dan pengetahuan boleh dikongsi kembali atau dibina jaringan untuk maksud martabat ekonomi dan sejahtera sosial kerana perhimpunan sesudah melewati pengalaman-pengalaman peningkatan usia tentu sekali bannyak mengandungi iktibar berbanding semasa remaja dulu.

Monday, January 19, 2009

Melayan karenah yahudi

Apabila Semenanjung Gaza digasak oleh Israel , ruang udara Gaza City bercahaya seperti pesta bunga api menyambut tahun baru atau hari kemerdekaan di Malaysia. Bangunan-bangunan pun ranap berserabai menangkup muka bumi. Rakyat Palestine dari kalangan kanak-kanak dan wanita seperti yang dirakamkan oleh media cetak dan elektronik , badan mereka berkecai-kecai. Berlumuran darah. Sakit. luka. Parah dan mati. Ada tangisan. Ada jeritan. dan ada juga laungan. Namun semua suara-suara itu tenggelam dalam letupan bom berangkai dan tembakan kereta kebal suara-suara jet pengebom. Nun diseberang tembok sempadan, kumpulan rakyat Yahudi menunggang motosikal kuasa besar mendaki tempat tinggi meneropong pesta bunga api terrsebut dengan penuh kepuasan. Mahalnya harga yang perlu dibayar oleh rakyat Palestine khususnya dan kita semua amnya diatas kelekaan sendiri menunaikan amanah Allah.
Sinonim dengan itu, seluruh dunia Islam khususnya di sebelah Timur berbondong-bondong membanjiri jalanraya atau kedutaan negara sekutu Israel atau masjid-masjid sambil melepaskan perasaan. Sepanduk dijulang. Patung replika dan bendera Israel dibakar. Memorandum diserah. Bantahan dan kutukan disuarakan. Tidak cukup dengan itu, kempen boikot barangan dilancarkan guna untuk melumpuhkan ekonomi Israeal atau sekutu utamanya Amerika sambil tong-tong dan akaun bank derma diedarkan untuk mengumpul dana bantuan kemanusiaan yang pelarasannya sedia dipikul oleh beberapa badan amal bukan kerajaan. Selebihnya masjid mengadakan solat hajat. Pada hari Jumaat dibacakan Qunut Nazilah dan tidak kurang juga yang berdoa siang dan malam mohon Allah menolong rakyat Palestine khasnya dan umat Islam amnya.
Isunya disini ialah :-
Mengapa mesti umat Islam melakukan semua ini hanya apabila berlaku tekanan atau bala' atau ancaman dari musuh semata-mata? Mengapa mesti kaifiat permohonan tolong itu tidak dilakukan sepenuhnya mengikut cara Allah dan RasulNya? Sejauhmana natijahnya dengan melolong, membakar dan menjerit sambil berarak itu dapat membantu meningkatkan kekuatan Islam? Sedang mereka hanya tersenyum sinis menyaksikannya dan membalas jeritan kita dengan ledakan bom! Tidakkah kita ketahui bahawa mereka sekali kali tidak berani berbuat demikian melainkan umat Islam berada pada tahap moral atau iman yang paling rendah. Andaian yang mereka buat, sekiranya jumlah jamaah pada Solat Subuh sepertimana jumlah jemaah pada solat Jumaat, maka sekali kali mereka tidak akan melakukannya kerana itu adalah petanda bahawa umat Islam berada pada tahap keimanan yang paling tinggi dan sentiasa dalam perlindungan Allah Azza Wajalla.
Malangnya fenomena umat Islam sekarang umpama buih di air. Berapungan mengikut arus. Tidak kira arus Yahudi atau Nasrani. Majusi atau fikiran terbuka. Dunia tanpa sempadan benar-benar meruntuhkan batas-batas yang memisahkan perkara-perkara haq dengan bathil dikalangan umat Islam. Bahkan kaum Muslimin apa bezanya dengan bukan Muslim jika dipandang pada dzahir, amalan hidup, pekerti, jati diri ? Seharusnya Muslim mempunyai rupadiri yang mencerminkannya seorang Muslim dan mempunyai pegangan serta amalan hidup yang berpaksi kepada iman dengan Allah dan RasulNya. Dan hendaklah ianya dipelihara sepanjang masa. Dalam semua keadaan. Di semua tempat.
Boikot, tunjuk perasaaan, sidang kemuncak. PBB semuanya itu kesannya amat terhad kerana disana wujud berbagai komplikasi, kerenah birokrasi dan berbagai lagi. Sia-sia sahaja jika umat Islam terus menerus bergantung kepada kaedah ini selamanya. Menyalahkan Israel atau Amerika atau siapa saja yang menyokong mereka bukanlah perkara paling tepat. Hakikatnya kita juga membantu sokongan tersebut tetapi dalam bentuk tidak lansung dan diluar kesedaran yakni dengan mengikut cara hidup, berfikir dan cara bertindak mereka dimana ianya menyebabkan Allah menangguhkan pertolonganNya sebagai kifarah keatas kelekaan kita.
Sesungguhnya, tidak ada jalan lain melainkan satu sahaja yang boleh menyelamatkan umat Islam iaitu KEMBALI KEPADA ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. InsyaAllah, Allah akan memancarkan rupa gerun diwajah setiap umat Islam yang boleh menyebabkan musuh bertempiaran lari dengan sekali pandang. Jika tidak, Allah akan menarik kegerunan itu dan orang Islam akan menjadi seperti apa yang berlaku sekarang. Wallahu'alam