Monday, November 21, 2011

SESAK LALULINTAS

Ahad 20 Nov 2011.
Mengambil kira aliran trafik padat memasuki KL melalui Gombak, saya memilih Kuala Pilah untuk mengelak kesesakan lalulintas dalam perjalanan balik ke Sepang. Sepanjang perjalanan dari Temerloh hingga memasuki Kuala Pilah semuanya lancar. Melalui jalan ladang sawit dan ladang getah kenderaan jarang jarang di temui. Memang selesa memandu kereta manual dalam kondisi begini.
Bgaimanapun suasana bertukar sebaik melepasi pekan kecil ini. Tiba tiba saja jalan menghala Seremban di barisi kenderaan sepanjang panjang nya. Pergerakan hanya boleh dengan gear satu atau dua. Saya andaikan mungkin sebab lampu isyarat. Atau ada sekatan jalanraya. Atau kemalangan tidak jauh di hadapan. Tentu lah tidak jauh dan tidak lama. Tapi meleset.
Tidak lama kemudian saya nampak kereta, lori dan bas mula memintas lorong kiri. Kesesakan manjadi bertambah buruk. Mereka pemintas lorong kiri ini mula menyumbang kepada kesesakaan lebih teruk sehingga menghilangkan sabar beberapa pemandu dalam barisan di hadapan saya. 
Maka bermula lah igauan yang cuba saya elakkan dari bayangan di Gombak. 
Perjalanan sejauh lebeh kurang 20 KM dari Pilah ke Ulu Bendol memaksa saya mengambil masa selama lebih satu jam. Ironinya ia bukan sekitar KL atau Lembah Kelang tetapi sebatang jalan merentasi perkampungan antara Kuala Pilah dan Seremban. 
Nampaknya kesesakan lalulintas tidak lagi sinonim dengan bandar, bahkan sindrom ini mula menular ke kampong kampong. Kinayah kepada bertambahnya kenderaan oleh makmurnya negara ini.

Thursday, November 10, 2011

MUSIM

November 10 2011. 
Peralehan monsun bermula. Angin Barat Daya akan melepaskan baton kepada Timur Laut. Bermakna negeri negeri pantai timur akan menghadapi musim hujan dan fenomena banjir. Laut China Selatan akan mula bergelora. Sementara wilayah utara akan mula mengalami musim kering yang panjang. Atau lebih femes dengan panggilan musim timog di kalangan orang tempatan. Suatu fenomena dimana angin kencang yang kering dan dingin berhembus siang dan malam.
Di negeri negeri wilayah tengah dan selatan pula, musim buah buahan tempatan fasa dua bermula. Rambutan mula menguning. Durian mula gugur. Cempedak mula mewangi. 
Selebihnya adalah musim yang ditunggu tunggu oleh semua. Musim cuti sekolah. Masa untuk bersantai. Melancong. Kenduri kawin. Masuk jawi. Dan paling penting ialah bagi penjawat awam. Ini lah musim mendapat bonus.
Begitulah hakikatnya. Kitaran hidup ini. Detik demi detik. Musim datang dan berlalu. Kita meniti kehidupan dan mendaki usia sambil memendekan hayat. Tanpa kita sedari kerana pesona hidup ini umpama logamaya yang mencuri pandangan dalam  perjalanan.

Monday, October 31, 2011

SEBUAH KEHIDUPAN

Umpama langit yang tidak selalu cerah. Seperti  lautan yang adakalanya bergelora . Atau ketikanya musim kering yang kontang . Demikianlah. Kitaran hidup ini laksana putaran roda. Silih berganti datang dan perginya suka duka.
Kukuh dan lurus lah perjalanan jika iman ampuh di dada. Tiada sesiapa mampu membantu melainkan DIA.

Tuesday, October 18, 2011

ORANG MELAYU FIKIRAN NYA MUDAH

Majoriti masyarakat kita tidak gemar membaca. Cara berfikir mereka jugak amat mudah. Selain alahan kepada kesukaran, mereka tidak rela dikritik dan amat pantang di kutuk. Mereka sebenarnya keras hati dalam sifat yang lemah lembut. 
Pernah kah kita terfikir bagaimana mudahnya kita menerima sesetengah terma yang salah tetapi menjadi amalan lumrah dalam kehidupan harian kita semata mata kerana sikap ambil mudah atau malas berfikir ini.
1. Kodak - Kodak ialah jenama kepada filem fotografi. Selain Kodak terdapat berbagai jenama seperti Fuji, Ilford, Sakura, Konica dll. Tetapi kerana Kodak yang paling besar dan pertama diperkenal kan kepada mereka, maka semua filem mereka panggil KOdak.
2. Maggie - Maggie jenama kepada mee segera tetapi orang kita meminta maggie untuk cintan misalnya, mamee dll.
3. Colgate - semua ubat gigi mereka rujuk kepada colgate.
4. Pajero - Semua kenderaan 4x4 bukan jenis pikup mereka sebut Pajero.
5. Haji - asal pakai kopiah putih atau serban dan simpan janggut maka otomatik dipanggil haji. 
6. Wartawan - asal galas kamera maka dia dipanggil wartawan.
7. Plat kereta - jika plet pendaftaran kereta unit tunggal atau istimewa sikit maka pemiliknya orang bukan sebarangan.
8. Mercedes - memandu mercedes tempat larangan pun boleh parkir. Slow di lorong kanan pun tiada yang berani usik. 
Banyak lagi contoh contoh seperti diatas yang menjadi amalann hidup kita. Ini adalah kerana kecenderungan orang kita memegang kepada prinsip " first impression " kut. Sapa yang mula muncul maka yang berikutnya jika serupa dengan yang pertama tersebut maka mereka akan menerima dan menggunapakai identiti atau jatidiri yang pertama tadi walaupun dua perkara berbeza.(serupa tapi tak sama - ini yang mereka tidak jelas).
Selain itu mereka adalah pecinta hiburan dan pemburu kebendaan kelas satu. 
Demikianlah gambaran rengkas sekilas pandang imej bangsaku yang tercinta ini. Oleh kerana ciri ciri ini begitu menebal dan menonjol dalam diri kita, maka kita tidak dapat membezakan yang batil dengan yang haq  dengan jelas sejelas jelasnya. Lebih malang lagi apabila sesetengahnya dari kalangan cendiakawan bergelar profesor. Kita bertindak lebih kepada menggunakan perasaan berbanding akal fikiran.
Kerana itu jugak lah kita menjadi bahan tontonan, sendagurauan , kutukan dan manipulasi untuk berbagai maksud tersurat dan tersirat oleh mereka yang mahu mengambil kesempatan.

Sunday, October 2, 2011

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Dalam sejarah moden kisah Lebai Malang terus dilupakan. Diganti cerita cerita fiksyen berbagai versi khusus untuk golongan kanak kanak , orang muda dan orang tua. Sajian ini menurut mereka sesuai dengan kehendak masyarakat kini yang perlu kendurkan stress setelah penat berlari mengejar harta benda. Kerana kepenatan dan terhibur dengan khayalan-khayalan ini, maka kita pun lupa kisah Lebai Malang.
Sebenarnya kisah Lebai Malang yang dulunya hanya lah cerita penglipur lara dikalangan masyarakat Melayu  kini  muncul menjadi realiti pada abad ini. Sesudah Afghanistan dan Iraq kini Libya pula memasuki barisan. Kita tidak tahu sapa pulak selanjutnya tetapi sindrom ini nampak nya menular di kalangan masyarakat, negeri dan negara Islam.
Didalam konflik negara negara tersebut, perbalahan sesama sendiri mencetuskan tsunami politik global. Rakyat atau pihak yang menuntut keadilan, menurut hemat mereka, mahu menggulingkan kekejaman telah bangun atas nama perjuangan dengan mengangkat senjata untuk bermandi darah. Kerana kemenangan menjadi matlamat, mereka tidak lagi hirau siapa yang muncul mengambil kesempatan atau mereka sendiri menghulur leher untuk dijerat. Pihak yang menanti dengan tapak tangan tidak cukup nyiru ditadahkan, sentiasa lah mereka itu tersenyum lebar dan menanam tebu di bibir. Atas nama persahabatan dan kemanusiaan sejagat maka pelaburan dihulur. Satu perniagaaan yang dicongak untungnya pada esok hari dan selamanya.
Taliban di Afghanistan, Saddam di Iraq dan Gaddafi di Libya dianggap pemimpin yang menyokong keganasan semata-mata kerana mereka menentang dasar dasar Nasrani, Yahudi dan Islam sekular. Oleh kerana negeri mereka ini kaya dengan sumber asli atau kedudukan geografi yang strategik, maka sentiasa lah ada pihak yang berminat untuk merebutnya. Mereka sentiasa menunggu bahkan berusaha mencipta peluang untuk menyalakan sumbu api. Pejuang mungkin dilihat menang dengan bantuan asing ini, tetapi mereka sebenarnya tergadai muruah bangsa, agama dan tanah air mereka.
Sindrom ini turut menjangkiti masyarkat kita dalam konteks dalaman. Perbalahan sesama ummah menyebabkan ada pihak yang sanggup mencari sokongan lain untuk kekal berkuasa walaupun sedar risiko tergadainya muruah agama dan bangsa perlu ditanggung.
Rakyat Afghanistan, Iraq dan Libya mungkin boleh dianggap realiti  Lebai Lebai Malang zaman ini yang  popular sebagai bahan satira Melayu klasik tersohor  ini. Bahkan orang orang Melayu sendiri mungkin tergolong di kalangan mereka kelak jika percaturan yang mereka buat pada masa ini berkekalan.
Apalah maknanya jika kita menang bersorak tetapi kampung tergadai. Apalah ertinya sebuah perjuangan yang membawa kita merana sepanjang hayat dan untuk diwarisi.






Saturday, September 24, 2011

KONFLIK

Majlis majlis seperti home-coming, reunion, open house ataupun kenduri kawin sangat bagus dihadiri. Disini lah tempat di mana kita dapat bertemu semua peringkat kawan-kawan. Lama. Sederhana . Baru ataupun bakal di kenali. Dimana kita dapat berkongsi nostalgia. Di mana kita dapat bertanya khabar secara semuka  dan menjalin serta mengukuhkan ukhwah dengan lebih mesra.
Saya selalunya memberi keutamaan tahap tinggi kerana sangat teruja untuk bertemu kawan kawan .
Tidak kira lama atau baru. Apatah lagi jika tidak pernah bersua setelah terpisah oleh batas waktu dan sempadan kerja sejak sekian lama. Atas hasrat itu saya sedaya upaya menjadikan diri bebas dari halangan untuk agenda agenda seperti ini. Bahkan dalam beberapa kes saya sendiri turut membantu menganjurkannya. 
Pada saya harga sebuah persahabatan tidak ternilai. 
Malangnya selepas beberapa siri majlis dihadiri, hati saya mula berbelah bagi. Keterujaan saya mengendur lalu membina konflik dalam diri. Barangkali seperti kata lagu " benci tapi rindu"...
Saya tidak faham kenapa mesti adaa kugiran, band atau karaoke sebagai agenda wajib? Pertama,  matlamat kita bukan hendak berkonsert atau talent time. Masa untuk itu telah berlalu atau pun kalau tidak lagi, elok kita simpan untuk program lain. Kita hendak bertemu rakan rakan lama. Bertanya kabar dan berkongsi cerita suka duka. Membincang projek atau bertukar fikiran atau pengetahuan. Bahkan mungkin berkongsi masalah. Musik yang tidak di equalise dengan sempurna bukannya sedap didengar tetapi memekakkan telinga dan sangat mengganggu perbualan. 
Tidak menjadi masalah kalau nak diadakan juga tetapi biar lah dalam suasana tenang dan tenteram. Tidak mengganggu perbualan. Biar ia menjadi latar sahaja. Kita hendakkan suasana sesuai untuk beramah mesra. Kita bukan hendak dengar konsert. 
Saya sangat kecewa dan kekecewaan ini merentap keghairahan bertemu kawan kawan dan mengikis keinginan sedikit  demi sedikit untuk menghadiri majlis seumpama ini. 
Barangkali konflik ini akan memaksa saya melupakan agenda agenda ini jika keadaan seumpama ini berterusan. Maafkan saya wahai kawan-kawan.

Sunday, September 11, 2011

KEMBALI NORMAL

Ahad September 11 2011.
Hujan renyai renyai dan iklim agak sejuk. Malam tadi angin agak kuat. Semasa melalui jalan di Kampung Jenderam, terserempak beberapa pokok terkulai di bahu jalanraya. Selepas minum kopi tarik di kedai kopi Amah Shah Desa Sinaran, saya terus ke kebun kerana mahu menanam anak anak pokok gaharu yang baharu di ambil dari Saipul di Sungai Buluh. Pokok pokok itu terbiar sudah sebulan tidak bertanam kerana beberapa faktor tidak dapat dielak.
Rutin kehidupan pun kembali seperti biasa.
Ketika masuk dan melalui jalan mini tar menghala ke kebun, saya nampak sebuah van parkir di tengah jalan berhampiran satu selekoh. Berhenti dibelakangnya. Rupa rupa van tersebut ditinggalkan berkunci kerana jalan terhalang oleh sepohon pokok yang tumbang. Entah kemana pemiliknya.
Saya perhatikan sekitar. Pokok itu tidak lah besar tetapi cukup untuk menghalang laluan. Saya meminta parang dari anak saya dan mula mencantas dan membersehkan pokok tersebut sehinggga laluan tidak terhalang lagi oleh pokok. Namun saya tetap tidak boleh melaluinya kerana van tersebut terbongkang disitu. 
Selepas menunggu beberapa lama ada sebuah proton saga datang dari arah hadapan. Dan dia juga terperangkap. Sambil merungut memarahi pemilik van tersebut, dia masuk kedalam kereta dan mengundur kebelakang.
Saya pun keletihan menunggu dan terpaksa mengundur. Seksanya memandu secara mengundur. Apa lagi jalan sempit dan bengkang bengkok.
Saya teringat keluh kesah semua pihak berwajib Ops Sikap mengenai mentaliti dan perangai pengguna jalan raya kita. Ada asasnya mereka riuh rendah. Disebalik tanggungjawab tugas masing masing, siapa pun rasa amat kecewa dengan tahap kesedaran sivik yang rendah serta mentaliti pengguna jalanraya kita yang sangat sangat selfish. Mereka sepatunya belum layak memiliki kenderaan dan memandu di atas jalanraya. Mereka layak menggunakan kenderaan awam saja. Sepatutnya. Tetapi dasar dan sistem ekonomi kita telah membuka peluang seluas luasnya sehingga pengguna pengguna belum layak dari aspek mental ini boleh menyertainya. Fenomena ini tentulah mencipta satu senario baru dimana trafik menjadi haru biru dan medan pertarungan emosi dan meratapi nyawa.
Tidak mahu mengalah saya mencuba jalan alternatif. Walaupun agak jauh kerana terpaksa membuat pusingan U hati lebih tenteram dan tidak perlu marahkan sesiapa. Akhirnya tiba jugak di kebun ketika pagi dah meninggi.