Friday, June 15, 2012

CIKGU AMRAN LEE DALAM KENANGAN

Rakan saya Ismail Yunus (berbaju gelap) bersalaman dengan Arwah Cikgu Amran Lee di majlis rakan kami Wan Zaiton mengahwinkan anaknya di Shah Alam.

JUMAAT 15 JUN 2012.
     Ada angin suam bertiup dibawah bahang mentari yang terperangkap oleh jerebu. Ruang angkasa Lembah Kelang menjadi kabur dan kelabu di gerbang senjakala. Alam seolah tumpang berdukacita berkongsi menerima berita sedih dari utara. Dalam nada terharu tetapi saya tetap redha.
     Pada 2009 saya berjaya menjejaki kediaman beliau di Bercham Ipoh bersama dua rakan kelas saya Mohd Tamin Shaari dan Che Azmi Bidin. Isteri beliau Cikgu Wan Bin binti Kamarudin yang juga guru kelas kesayangan kami menyambut kami dengan amat mesra. Ketika itu beliau baru sahaja keluar ke stadium untuk berjoging.
      Mendengar kedatangan kami, belaiu membatalkan aktiviti berjoging dan terus balik meraikan kami. Hubungan di jalin semula. Kami sering bertemu dalam agenda agenda reunion kecil dan majlis majlis kenduri kawan kawan alumni. Pasangan guru ini juga pernah pergi ke Sarawak dengan tujuan hanya menjejaki bekas murid mereka dari kalangan pelajar pelajar Sarawak yang menuntut di SMJ. Mereka berdua mengajar saya di SMJ dari 1971 hingga 1975. Keduanya menjadi guru kesayangan sekolah.
       Beliau seorang ahli memancing. Kebetulan berkongsi minat dengan saya. Beberapa agenda memancing dirancang tetapi saya tidak dapat menyertainya. Paling akhir pada awal Jun lalu beliau mencandat sotong di perairan Trengganu. Dalam nada gurau beliau memberitahu hanya dapat 3 kilo dan mereka tidak dapat membakarnya di pantai bersama rakan sebaliknya semua di kebasnya untuk dibawa balik. Musim akan datang beliau mahu memastikan saya turut serta mencari lubuk yang pernah saya dan rakan rakan lain temui pada 2008 sehingga mengaut bertong tong banyaknya.
       Allah telah memilih hari yang mulia ini sebagai saat untuk beliau di kembali kepadaNya. Sungguh bertuah diri beliau dan mana mana muslim yang kembali ke rahmatullah pada malam dan hari Jumaat. Mereka terlepas dari fitnah kubur yang dasyat. Ia juga memberi alamat bahawa mereka terdiri dari kalangan orang orang yang berbahagia dan berhati mulia ketika hayat.
     Setiap yang hidup pasti akan mati. Allahyarham Cikgu Amran Lee bin Abdullah telah melaluinya. Meninggalkan nama dan kisah suka dukanya untuk ahli keluarga, sanak saudara dan kawan kawan mengenangi dan menginsafi diri. Kepada Cikgu Wan Bin binti Kamarudin takziah buat cikgu sekeluarga. Yang pergi redha akan kepergiannya. Yang masih hidup, baki usia dalam kehidupan perlu diteruskan.
    Hari ini jenazah beliau akan di semadikan di kampung cikgu Wan Bin di Sungai Korok , Alor Setar, Kedah. Bersemadi lah dengan aman. Semoga Allah merahmati roh Allahyarham dan sekelian kita yang masih tinggal ini dengan limpah kurnia serta nikmat dan kasih sayangNya yang tidak terbatas.  Kepada Nya kita berserah diri dan pasti akan kembali.
     

Sunday, June 10, 2012

SAM D'LLYOD DALAM KENANGAN

     Semalam. Pada usia 64 tahun penyanyi tersohor era 70an yang masih kekal popular berdekad dekad kemudiannya iaitu Sam D'llyod telah kembali ke rahmatullah akibat asbab penyakit jantung dan barah paru paru. Innalillahi wainna ilaihiroji'un. Tiap yang hidup pasti merasai mati. Apabila tiba masanya maka kembali lah hamba hamba itu kepada Tuan nya yang Maha Agung.
    Menurut rakan karibnya Richard Kyoto, beliau terkejut bila mengetahui Sam sebenarnya telah lama menderita penyakit kronik yang membawa kepada penemuan ajalnya itu. Selama hayat Sam tidak pernah memperlihatkan  kesedihan dan keluh kesah dengan kesakitan ditanggungnya itu. Bahkan tidak ramai sahabat karib dan sanak saudara yang mengetahuinya. Penderitaan itu di simpan rapi oleh Sam sebagai miliknya peribadi. Itu lah yang menyedihkan Richard sebagai seorang sahabat karib
     Itu lah hebatnya peribadi Sam. Bukan sekadar amat wibawa membawa lagu lagu berirama perlahan dengan amat berkesan dan boleh mengalirkan airmata pendengar seperti lagu lagu Semalam Di Malaya, Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa, Tak Mungkin, Keagungan Tuhan dan lain lain. 
        Semoga Allah merahmati rohnya dan sekelian kita hamba-hambaNya yang dhoif lagi banyak berbuat dosa. Sesungguhnya belas kasihan dan rahmat Nya meliputi seluruh alam dan hari kiamat. Dan kepada Nya kita pasti akan kembali dan berserah diri.

Monday, May 14, 2012

BILA BERTEMU KAWAN LAMA

Isnin 14 Mei 2012 . Tepian Tugu Negara. Restoran PPTD..kalau tidak silap namanya begitu lah.
   Ada temujanji disitu dengan Matmae. Host pertemuan kali ini. Bertolak dari Sepang jam 12.00 tengahari biasanya mengambil masa satu jam untuk sampai tetapi lewat sedikit kerana ada kerja kerja membaiki jalan dekat Muzium Negara menyebabkan aliran trafik tersekat sekat. Fenomena biasa dalam bandaraya megah ini.
     Tatkala tiba MatMae dan Hashim Mae telah ada. Depa menempah satu meja bulat di koridor pada suatu sudut privasi. Cantik. MatMae dulu sepekan dengan saya di Tok Jalai sebelum berjumpa di SMDSO. Menyertai PDRM dan kini menjadi pegawai kanan di Bukit Perdana. Manakala Hashim Mae dari Tingkatan 1 SMJ sehingga ke SMDSO. Menyertai PTD dan melepaskan jawatan ketika di Rusia kerana hendak berdikari.Kedua mereka memang hebat.
       Tidak lama lepas itu Abd Rani pulak tiba. Dengan imej segak dan kemas. Memang itu identiti dia dari sekolah lagi. Maklumlah ketua darjah dan pelajar pintar batch kami yang menjadi kesayangan guru-guru.  Antara yang menepati ramalan terus cemerlang dan memasuki UM melepasi ujian pertama. Kini pegawai kanan  Bank Negara Malaysia.
       Disusuli Abu Samah dan Hamid Desa. Abu memang merapu sikit tapi mudah kira. Bekas pemandu rally era 80an dia memang gila memandu. Dalam usia emas ni pun dia tidak penat penat mengelilingi semenanjung menjalankan tugas. Satu lagi kegemaran yang tidak boleh dipisahkan ialah batang rokok. Boleh kata sentiasa tergantung di bibir walaupun telah diberi amaran oleh doktor. Nak buat gena kata dia. Udah 30 tahun punya amalan. Abu kini pegawai kanan FAMA.
        Hamid pula kembar Rani dalam kelas kami. Kembar pintar dan ulat buku. Mereka memang harapan semua warga sekolah. Selepas keluar UM Hamid menyertai PTD tetapi bersara awal kerana nak berdikari. Elok lah dia team up dengan Hashim dan sekarang ini depa sedang membangunkan sebuah kebun komersial di Batu Arang. 
           Akhir sekali Azmi Bidin. Antara orang penting Kem Komandan Bukit Aman , dia rakan saya dan Hashim masa di SMJ dan rakan MatMae di SM Pulau Nyior. Seperti Abu Samah, Mie Bidin ni kalau kawan kawan call nak jumpa pukul satu tengahmalam pun dia sanggup pekena teh tarik. 
     Demikian secara kawan kawan lama saya ini. Selepas 30 tahun masing masing telah membina kerjaya dan kehidupan masing masing dengan cemerlang. Alhamdulillah. Dalam kesibukan menyelesaikan tugas sanggup juga mereka makan tengahri bersama.
      Dalam pertemuan singkat itu, banyak perkara di kongsi bersama khususnyua kisah silam. Apa lagi yang istimewa bila bertemu kawan kawan lama sesudah lama terpisah selain mengimbau masasilam yang sungguh nostalgik dan tak mungkin dapat diulangi lagi.
       Saya berharap sesi pertemuan begini akan terus mekar sepanjang zaman. 

Tuesday, January 24, 2012

KELEBIHAN ORANG CINA

Satu.
Saya pernah tinggal berjiran dengan dua orang Cina Muslim. Seorang lelaki berasal dari Pelabuhan Kelang dan seorang lagi perempuan berasal dari Johor Bahru. Kedua mereka berkahwin masing masing dengan gadis dan lelaki Melayu dan mempunyai anak anak yang nampaknya dominan kepada genetik Cina.  
Dua. 
Semasa berpindah kekampung tersebut, saya membina sebuah rumah tetapi tidak dapat disiapkan sepenuhnya kerana kehabisan modal. Bahagian tidak siap itu ialah cermin nakko tingkap yang bernilai lebih kurang RM1,000.00. Oleh kerana mahu menjimat kos sewa, maka saya berpindah juga walaupun tingkap tingkap rumah saya itu tidak siap. Saya guna kain bila malam dan di lapiskan plastik untuk hadapi hujan. Masa itu saya ada empat orang anak yang berusia antara satu hingga 10 tahun. Cabaran utama ialah masalah kesejukan bila malam atau hari hujan kerana perkampungan itu dikelilingi oleh dusun dan kebun.
Jiran jiran dan rakan rakan Melayu saya ramai yang datang ziarah. Mereka semua menyatakan rasa simpati dan terharu dengan suasana yang saya hadapi. 
" Kesian kat budak budak. Selain sejuk macam macam bahaya lain ada tambahan pulak rumah ini dalam kawasan kebun." antara lain mereka memberi komentar. 
Saya hanya tersenyum dan menjawab InsyaAllah, tiada apa yang perlu digusarkan walaupun adakalanya memang saya gusar jugak. Tapi suasana ini adalah pekara biasa bagi kehidupan saya yang lalu. 
Satu petang pemuda Cina jiran saya itu datang. Dia bertanya kenapa tidak dipasang cermin nakko pada tingkap itu. Saya memberitahu saya kehabisan modal dan terpaksa mengumpul semula wang dari gaji untuk membelinya. Dia lantas bertanya berapa kos semuanya. Saya menjelaskan kepadanya. Dia kemudian beredar tanpa berkata apa apa.
Sebentar kemudian saya dengar enjin motosikal datang semula diikuti panggilan salam. 
" Nah RM1,000.00. Anta pakai dulu duit ini. Nanti bayar kemudian bila anta ada duit.Jangan biarkan tingkap lopong gitu. Banyak risiko".
Tiga. 
Dalam satu mesyuarat tindakan kebajikan muslimat untuk membantu seorang ahli tidak bernasib baik, wanita Cina jiran saya seorang lagi itu telah mencadangkan supaya dibantu mangsa tersebut sehingga masalahnya selesai yang mmungkin memerlukan kos beribu ribu ringgit. Hujahnya,  itulah erti sebenar membantu. Menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Beliau bagaimanapun telah mendapat tentangan 100% dari ahli muslimat Melayu kerana mereka berpendapat bantuan hanyalah sekadar untuk tidak duduk dan melihat sahaja. Asalkan ada sumbangan cukuplah dan jumlah dicadang antara 100 atau 200 ringgit. 
Kisah ini berlaku semasa saya menetap di sebuah perkampungan pada sekitar tahun 90an suatu ketika dulu.
Saya juga pernah terbaca bagaiamana seorang toke ikan Cina di Kuala Perlis membantu seorang janda Melayu yang suaminya terbunuh. Beliau membekalkan ikan kepadaa wanita itu dan bayaran diambilnya selepas ikan terjual sehingga setahun kemudian janda tersebut muncul menjadi toke ikan di kawasana perumahannya dan seterusnya dapat menyara keluarganya. 
Barangkali testimoni ini tidak cukup untuk dibuat hujjah tetapi itu tidak penting. Kita pun biasa dengar bagaiamana mereka lebih cemerlang bila melaku sesuatu berbanding kita. Mungkin kerana ego, kita selalu pulak menolaknya. Saya percaya ada banyak perkara kita boleh belajar dari orang Cina dan kalau mereka Muslim itu adalah terlebih afdal. Moga moga lebih ramai orang orang Cina menjadi Muslim di bumi ini. InsyaAllah.  

Monday, November 21, 2011

SESAK LALULINTAS

Ahad 20 Nov 2011.
Mengambil kira aliran trafik padat memasuki KL melalui Gombak, saya memilih Kuala Pilah untuk mengelak kesesakan lalulintas dalam perjalanan balik ke Sepang. Sepanjang perjalanan dari Temerloh hingga memasuki Kuala Pilah semuanya lancar. Melalui jalan ladang sawit dan ladang getah kenderaan jarang jarang di temui. Memang selesa memandu kereta manual dalam kondisi begini.
Bgaimanapun suasana bertukar sebaik melepasi pekan kecil ini. Tiba tiba saja jalan menghala Seremban di barisi kenderaan sepanjang panjang nya. Pergerakan hanya boleh dengan gear satu atau dua. Saya andaikan mungkin sebab lampu isyarat. Atau ada sekatan jalanraya. Atau kemalangan tidak jauh di hadapan. Tentu lah tidak jauh dan tidak lama. Tapi meleset.
Tidak lama kemudian saya nampak kereta, lori dan bas mula memintas lorong kiri. Kesesakan manjadi bertambah buruk. Mereka pemintas lorong kiri ini mula menyumbang kepada kesesakaan lebih teruk sehingga menghilangkan sabar beberapa pemandu dalam barisan di hadapan saya. 
Maka bermula lah igauan yang cuba saya elakkan dari bayangan di Gombak. 
Perjalanan sejauh lebeh kurang 20 KM dari Pilah ke Ulu Bendol memaksa saya mengambil masa selama lebih satu jam. Ironinya ia bukan sekitar KL atau Lembah Kelang tetapi sebatang jalan merentasi perkampungan antara Kuala Pilah dan Seremban. 
Nampaknya kesesakan lalulintas tidak lagi sinonim dengan bandar, bahkan sindrom ini mula menular ke kampong kampong. Kinayah kepada bertambahnya kenderaan oleh makmurnya negara ini.

Thursday, November 10, 2011

MUSIM

November 10 2011. 
Peralehan monsun bermula. Angin Barat Daya akan melepaskan baton kepada Timur Laut. Bermakna negeri negeri pantai timur akan menghadapi musim hujan dan fenomena banjir. Laut China Selatan akan mula bergelora. Sementara wilayah utara akan mula mengalami musim kering yang panjang. Atau lebih femes dengan panggilan musim timog di kalangan orang tempatan. Suatu fenomena dimana angin kencang yang kering dan dingin berhembus siang dan malam.
Di negeri negeri wilayah tengah dan selatan pula, musim buah buahan tempatan fasa dua bermula. Rambutan mula menguning. Durian mula gugur. Cempedak mula mewangi. 
Selebihnya adalah musim yang ditunggu tunggu oleh semua. Musim cuti sekolah. Masa untuk bersantai. Melancong. Kenduri kawin. Masuk jawi. Dan paling penting ialah bagi penjawat awam. Ini lah musim mendapat bonus.
Begitulah hakikatnya. Kitaran hidup ini. Detik demi detik. Musim datang dan berlalu. Kita meniti kehidupan dan mendaki usia sambil memendekan hayat. Tanpa kita sedari kerana pesona hidup ini umpama logamaya yang mencuri pandangan dalam  perjalanan.

Monday, October 31, 2011

SEBUAH KEHIDUPAN

Umpama langit yang tidak selalu cerah. Seperti  lautan yang adakalanya bergelora . Atau ketikanya musim kering yang kontang . Demikianlah. Kitaran hidup ini laksana putaran roda. Silih berganti datang dan perginya suka duka.
Kukuh dan lurus lah perjalanan jika iman ampuh di dada. Tiada sesiapa mampu membantu melainkan DIA.