Saturday, August 25, 2012

LEGASI IBU

      Ada kebenarannya tentang pendapat yang menyatakan bahawa sambutan hari raya menjadi hambar tanpa agenda balik kampung. Kerana itu lah agaknya semua laluan keluar dari ibukota Kuala Lumpur menajadi sesak sejak beberapa hari menjelangnya Hari Raya. Walaupun saya cuba membuat perkiraan rapi untuk mengelaknya namun terperangkap jugak. Sebaik keluar dari Lebuhraya Guthrie, kenderaan telah bersusun dalam trafik sesak menghala ke utara walaupun ketika itu jam 1.00 pagi.

     Tidak tahan dengan perjalanan kemut kemut seumpama kura kura patah kaki saya memilih keluar di exit Behrang untuk menggunakan jalan lama. Tidak ramai yang gemar menggunakan jalan lama nampaknya. Kenderaan boleh di pecut pada kelajuan 100kmj.

     Balik kampung. Menziarah kaum keluarga. Sanak saudara dan sahabat handai. Memang lah amalan mulia. Mengeratkan kan hubungan kekeluargaan dan ukhwah sesama insan. Itu pun sebahagian lagi dari elemen elemen yang memeriahkan suasana hari raya di kampung halaman.

     Disebalik semua itu adakalanya terselit juga rasa pilu dan sayu. Betapa waktu semakin jauh membawa usia mencapai destini. Saya menyewa sebuah homestay di Asun kira kira 15 km dari kampung asal saya Kampung Telok Gelam. Menjadi perantau di tempat sendiri. Memang sesuatu tidak dapat dielak dari mencuit di hati.

     Pada pagi hari raya saya mengunjungi kampung halaman asal usul saya itu. Sebenarnya tiada apa apa pun yang tinggal di kampung itu selain kenangan masa silam ketika membesar. Pusara kedua ayah bonda dan bekas tapak rumah dan beberapa orang tua kawan karib ayah bonda dulu serta saudara mara sebelah nenek bapa.

     Dalam ziarah raya dua tahun dulu, mereka semua masih sihat khususnya Tok Nordin Belanda. Tetapi kali ini belaiu tidak ubah seperti seorang bayi yang sedang tidur tanpa boleh diganggu. Begitu juga Bang Leh jiran nya. Pergerakan beliau amat terhad akibat stroke dan penyakit tiga serangkai. Mereka adalah jiran dan kawan baik kepada kedua arwah ayah bonda yang tidak pernah terkecuali dari ziarah kami setiap balik beraya di kampung itu. Saya terasa semakin kehilangan sesuatu. Kampung ini semakin jauh dalam jarak yang tidak dapat di sukat dengan waktu.

    Apapun situasi, saya akan tetap kembali ke kampung ini bila ada peluang. Adalah penting untuk anak anak saya menghayati tempat di mana bapa mereka di lahir dan membesar. Tempat di mana arwah tok dan tokwan mereka berjuang untuk kesinambungan hidup dalam suasana sukar dan mendesak. Kalau arwah ibu saya boleh mengheret kami bertali tali menaiki bas dan keretapi pergi ke kampung asalnya di Tasik Gelugor dahulu mengapa tidak saya meneruskan legasi itu untuk anak anak saya sedang saya mempunyai kemampuan yang lebih mudah berbanding beliau.

     Legasi ibu. Saya tidak akan membiarkannya selama ada kemampuan.