Sunday, October 2, 2011

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Dalam sejarah moden kisah Lebai Malang terus dilupakan. Diganti cerita cerita fiksyen berbagai versi khusus untuk golongan kanak kanak , orang muda dan orang tua. Sajian ini menurut mereka sesuai dengan kehendak masyarakat kini yang perlu kendurkan stress setelah penat berlari mengejar harta benda. Kerana kepenatan dan terhibur dengan khayalan-khayalan ini, maka kita pun lupa kisah Lebai Malang.
Sebenarnya kisah Lebai Malang yang dulunya hanya lah cerita penglipur lara dikalangan masyarakat Melayu  kini  muncul menjadi realiti pada abad ini. Sesudah Afghanistan dan Iraq kini Libya pula memasuki barisan. Kita tidak tahu sapa pulak selanjutnya tetapi sindrom ini nampak nya menular di kalangan masyarakat, negeri dan negara Islam.
Didalam konflik negara negara tersebut, perbalahan sesama sendiri mencetuskan tsunami politik global. Rakyat atau pihak yang menuntut keadilan, menurut hemat mereka, mahu menggulingkan kekejaman telah bangun atas nama perjuangan dengan mengangkat senjata untuk bermandi darah. Kerana kemenangan menjadi matlamat, mereka tidak lagi hirau siapa yang muncul mengambil kesempatan atau mereka sendiri menghulur leher untuk dijerat. Pihak yang menanti dengan tapak tangan tidak cukup nyiru ditadahkan, sentiasa lah mereka itu tersenyum lebar dan menanam tebu di bibir. Atas nama persahabatan dan kemanusiaan sejagat maka pelaburan dihulur. Satu perniagaaan yang dicongak untungnya pada esok hari dan selamanya.
Taliban di Afghanistan, Saddam di Iraq dan Gaddafi di Libya dianggap pemimpin yang menyokong keganasan semata-mata kerana mereka menentang dasar dasar Nasrani, Yahudi dan Islam sekular. Oleh kerana negeri mereka ini kaya dengan sumber asli atau kedudukan geografi yang strategik, maka sentiasa lah ada pihak yang berminat untuk merebutnya. Mereka sentiasa menunggu bahkan berusaha mencipta peluang untuk menyalakan sumbu api. Pejuang mungkin dilihat menang dengan bantuan asing ini, tetapi mereka sebenarnya tergadai muruah bangsa, agama dan tanah air mereka.
Sindrom ini turut menjangkiti masyarkat kita dalam konteks dalaman. Perbalahan sesama ummah menyebabkan ada pihak yang sanggup mencari sokongan lain untuk kekal berkuasa walaupun sedar risiko tergadainya muruah agama dan bangsa perlu ditanggung.
Rakyat Afghanistan, Iraq dan Libya mungkin boleh dianggap realiti  Lebai Lebai Malang zaman ini yang  popular sebagai bahan satira Melayu klasik tersohor  ini. Bahkan orang orang Melayu sendiri mungkin tergolong di kalangan mereka kelak jika percaturan yang mereka buat pada masa ini berkekalan.
Apalah maknanya jika kita menang bersorak tetapi kampung tergadai. Apalah ertinya sebuah perjuangan yang membawa kita merana sepanjang hayat dan untuk diwarisi.






No comments: