Friday, October 19, 2012

KETAM CINA KETAM MELAYU

     Ini cerita lama. Tidak mengapa kerana cerita tidak basi macam makanan. Sebab itu tv tidak pernah jemu jemu ulang tayang filem filem P. Ramlee. Sebab cerita cerita sifatnya kalis kusam tanpa perlu di buboh asid borik atau formaldehaid untuk mengekalkan kesegaran yang palsu
     Semasa beraleh angin dari kerja makan gaji kepada kerja sendiri dulu, saya hadiri satu kursus motivasi. Ya lah. Dah berpuluh tahun jadi seperti ayam daging yang biasa di hulor makan dalam sangkar, tentu lah sukar nak  mencakar dan mematuk makanan jika tiba tiba di lepas begitu saja. Kena lah masuk inkubator sat supaya dapat sesuaikan diri. Supaya dapat mengenal cacing sebagai makanan dan berupaya pula mematuknya bila ditemui selain dedak yang di timbun dalam besen.
    Pada suatu hari, seorang fasilitator memulakan harinya dengan membuat satu teka teki. Dia meriwayatkann peri hal dua baldi ketam dan meminta kami mengenal pasti mana satu baldi ketam Cina dan mana satu baldi ketam Melayu. Ketam nya sama. Baldi pun sama. Jumlah pun sama. Yang beza ialah salah satu baldi mukanya di tutup jaring dan satu lagi baldi mukanya dibiar terbuka. 
         Memang klasik teka teki ini. Ia ada kaitan dengan pengalaman saya berikutnya. Satu hari yang lain, sahabat saya seorang Cina Muslim berhajat membeli sebuah van terpakai. Dia mengajak saya menemaninya. Kami pun merayau lah di beberapa pusat pameran kereta terpakai di Jalan Cheras, Kajang sehingga menemui sebuah van Toyota Liteace yang berjaya menarik minatnya. Dia menyuruh saya deal dengan jurujual, seorang Cina. Harga tawaran RM30K. Saya meminta RM27K. Puas memujuk dan dia matikan harga pada RM28K. Dia tutup tawaran dengan harga itu. Jika setuju terima , jika tidak manyak soli aa kawan..talak untung ma.
    Sehingga tahap itu rundingan baru lah sahabat Cina saya itu masuk campur. Dia terus cakap dalam  bahasa Cina. Terkejut Cina jurujual itu kerana sahabat saya itu memakai jubah putih, serban dan menyimpan janggut yang menghilangkana identiti Cinanya. Saya beritahu jurujual itu bahawa sahabat saya itu seorang Cina Muslim. Jurujual itu lantas memegang tangan sahabat saya dan menariknya masuk kedalam pejabat. Saya mengikut dari belakang. Dia mengambil kalkulator, memenyet menyet aksara dan mereka berbincang lagi. Tidak lama lepas itu mereka bersalaman dan sahabat Cina saya itu menyeluk saku mengeluarkan deposit RM500.00. Van itu di jual dengan harga RM26K sahaja! Sedangkan dengan saya tadi harga dimatikan pada aras RM28K.
     Orang Orang Cina sangat sayang bangsa mereka. Biarpun terpaksa terpisah oleh ideologi atau anutan agama berbeza namun darah kecinaan mereka tidak boleh dipisahkan. Mereka tetap membela dan membantu sesama mereka apabila keadaan memerlukan. Sebab itu baldi yang muka nya di tutup jaring itu di kenalpasti sebagai ketam cina dan ketam baldi terbuka itu ketam melayu. Kenapa?. Sebab ketam Cina kalau tidak di tutup dengan jaring, apabila ada seekor yang mahu berusaha meragaih baldi untuk keluar maka yang lain akan membantu dan apabila seekor telah berjaya maka ia akan menarik keluar semua kawan kawannya dari dalam baldi. Sedang kan ketam Melayu tidak perlu tutup kerana apabila seekor ingin meragaiah keluar maka yang lain akan beramai ramai menariknya turun semula sebab kalau dia berjaya naik pon dia akan laari menyelamatkan diri sendiri saja dan meninggalkan kawan kawannya. Oleh kerana itu tak ada sesiapa yang boleh berjaya naik dan tunggulah apabila masanya tiba, semua akan direbus dan digoreng masak kicap untuk hidangan lima rasa ka, tiga rasa ka ..ikut selera pelanggan lah..alahai..
     Kenapa orang Melayu tidak boleh mencontohi rakan rakan mereka orang orang Cina dalam hal hal yang baik begini? Tidak rugi atau hina mencontohi atau mengambil teladan dari mereka kerana kita kena akui bahawa mereka orang orang Cina memang antara bangsa yang hebat dan bertaraf dunia. Kalau tidak, masa kan Nabi menyuruh umat Islam menuntut ilmu hingga ke negeri China! 
      

No comments: