Wednesday, May 27, 2009

Jalanraya - kengerian tiada hujung

Ada orang kata ' lebih selamat masuk hutan dari berada di jalanraya'. Demikian pernyataan terbuka, kinayah kepada betapa tingginya risiko keselamatan perlu diambil ketika berada diatas jalan raya - tidak kira diatas kenderaan apa sekalipun, apatah lagi berjalan kaki.
Bermakna pengguna jalanraya adalah dari kalangan para panglima yang gagah berani. Benar, tidak perlu tunggu esok atau lusa, tidak perlu pergi jauh, pandang saja ke jalan raya atau masuk saja gear tiga, anda akan temui banyak perkara yang samasekali menggigit adab dan tatasusila kalaupun dari segi undang-undang yang mungkin buleh di pertikaikan.
Oleh itu eloklah jika kita dapat saling menegur akan punca-punca yang menyumbang berlakunya kemalangan dan seterusnya mengambil dan melaksanakan langkah pencegahan dengan tegas dan berterusan , tidak terhad hanya kepada musim-musim tertentu.
Dari pengalaman memandu selama 22 tahun sejak berusia 23 tahun di seluruh jalanraya /lebuhraya negara kerana tugas sebagai orang media atau balik kampung di Jitra, Kedah, saya berpendapat factor-faktor utama kepada berlakunya kemalangan adalah seperti berikut :-
1. Peranan Pengguna.
1.1. Sikap
Majoriti pengguna bersikap pentingkan diri, tidak bertimbang rasa, berlagak hebat, tidak sabar dan tamak akan keuntungan berganda. Sikap-sikap ini boleh menimbulkan konflik dalam sekelipmata yang boleh mengubah suasana pemanduan menjadi tegang seperti berlumba, menghimpit sesama sendiri dll. Mentaliti atau “civic minded” pengguna jalanraya kita masih pada tahap rendah. Ini mungkin disebabkan keupayaan mereka dapat menggunakan kenderaan sebelum tiba masa yang sepatutnya.
1.2. Skill
Skill para pemandu yang tidak sama. Ada pemandu yang kurang yakin dan memandu terlalu berhati-hati khususnya apabila berada di belakang kenderaaan berat yang boleh membentuk kesesakan trafik. Fenomena ini akan mencetuskan sikap tidak sabar dikalangan peemandu lain yang yang lebih cekap. Pergerakan kenderaan terlalu perlahan juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.
1.3. Ilmu
Majoriti pengguna jalanraya kita kurang berilmu dan kurang peka mengenai keselamatan menggunakan jalanraya. Mereka juga hanya tahu memandu tetapi tidak mengetahui mengenai perkara asas kenderaan masing-masing. Mereka dengan sesuka hati mengubahsuai tanpa mengambilkira factor-faktor keselamatan dari sudut rekabentuk kejuruteraan. Pemanduan pada waktu samar seperti senja dan di kala hujan atau gerimis, kita dapat lihat tidak ramai yang memasang lampu sebagai langkah keselamatan. Begitu juga masih ramai yang tidak menggunakan signal di tempat sepatutnya atau menggunakan signal ditempat yang mengelirukan.
2. Kelemahan Perundangan.
2.1. Penggubalan
Undang-undang jalanraya juga ada kelemahannya dan patut dikaji semula. Misalannya sekatan hadlaju pada tahap 90 km/j atau 110km/j – atas dasar apakah ia ditentukan. Sedang jika mengikut “nature” pemanduan, saya yakin penggubal sendiri tidak akan memandu pada kelajuan tersebut di tempat-tempat berkenaan. Ini kerana adalah tidak logic jika dilihat dari factor persekitaran semula jadi samada segi kemanusiaan atau infrastruktur. Di Eropah misalnya bila berada di lebuhraya kelajuan rasmi hendaklah di atas 110KMJ. Kurang 110 kena saman.
2.2. Penguatkuasaan
Penguatkuasaan juga dilihat kurang berjaya. Suatu ketika kita melihat ada lampu merah menyala di atas kepala kenderaan berat apabila ianya melepasi hadlaju dibenarkan. Kemudian kita dengar penggunaan kotak hitam. Kemudian kita dengar lagi satu pasukan khas polis trafik preman di lebuhraya. Kemudian kita dengar lagi saman ekor tetapi semuanya berakhir begitu saja. Jika anda memandu ke utara, tidak perlu tunggu sehingga sampai ke Ipoh untuk menemui bas-bas ekpres memecut di lorong kanan pada kelajuan lebih 120km/j. Kenyataan ini di dasarkan kepada kerakusan mereka memintas kelajuan 110 km/j kita dengan mudah.
2.3. Perlaksanaan
Pihak berwajib mungkin menghadapi beberapa kesukaran dalam melaksanakan undang-undang jalanraya. Misalnya untuk menahan kenderaan lebih muatan dengan sekatan jalan raya, pengguna terbabit berhenti di tepi jalan. Mungkin juga ada tekanan dari mana-mana pihak.
3. Persekitaran
3.1. Cuaca
Cuaca juga mempunyai peranan. Hari yang panas terik dan pemanduan jarak jauh dalam pendingin hawa boleh melekakan dan menyebabkan mengantuk. Waktu senjakala yang samar-samar juga menyebabkan “judgement” pemandu tidak tepat khususnya apabila kenderaan-kenderaan tidak memasang lampu. Selain itu, pada hari hujan, gerimis dan selepas hujan akan menyebabkan jalan menjadi licin dan berkabus.
3.2. Trafik
Kemalangan banyak berlaku apabila trafik sesak dalam satu-satu masa dan tempat tertentu. Sebab itu ia menjadi sinonim dengan musim perayaan. Konvoi kenderaan berat yang rapat antara satu sama lain menyukarkan kenderaan ringan memintas dan seterusnya akan membentuk satu gerabak keratapi yang panjang yang boleh mencetus ketegangan pemanduan. Gangguan juga biasa terjadi sebab binatang ternakan atau peliharaan seperti lembu, kambing dan kerbau.
3.3. Tanda arah
Terdapat juga tanda arah yang mengeliru, tidak jelas dan tidak ada di tempat-tempat yang sepatutnya ada. Kosentrasi pemandu akan terjejas oleh sebab factor ini yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.
4. Teknikal
4.1. Kenderaan
Ramai pengguna di kalangan kita tidak mengetahui dan mahu mengambil tahu tentang kenderaan yang mereka pandu. Sebarang kegagalan system keenderaan berfungsi dengan baik, risiko kemalangan menjadi tinggi. Ini yang berlaku terhadap trailer yang melanggar Plaza Tol Jelapang tidak lama dulu.Pada kebiasaan, sebelum mengalami kerosakan, system kenderaan akan memberi amaran atau symthon terlebih dahulu. Pengguna yang mahir akan segera mengesan dan akan bertindak membaikpulih dengan secepat mungkin.
4.2. Jalan
Faktor jalan juga tidak boleh diabaikan. Dikatakan jalanraya kita antara yang terbaik tetapi masih terdapat tempat-tempat yang sangat merbahaya kepada pengguna. Sebuah lubang sebesar belanga sudah cukup untuk mengundang padah. Selain itu tanda arah dan tanda keselamatan seperti garisan pemisah ada yang tidak jelas. Biasa ditemui, selepas kerja-kerja tertentu seperti pemasangan paip, kabel ataupun menaiktaraf, pihak kontraktor tidak membaikpulih dengan sempurna. Seorang rakan saya dari UK menyatakan memandu di Malaysia seperti menaiki bot, nisbah kepada permukaan jalan yang tidak rata dan beralun. Jika anda sering menggunakan lebuhraya Karak - Kuantan , barangkali kenyataan ini ada benarnya.
4.3. Pemandu
Pemandu sendiri yang sepatutnya tidak boleh memandu. Terdapat banyak katogeri pemandu dari segi teknikal ini. Mereka ini ialah yang berpenyakit seperti sawan, stroke, Phobia kemalangan, panas baran dan mereka yang mengambil ubat demam dan sebagainya. Dua sahabat saya menjadi arwah kerana factor ini, seorang pesakit sawan dan seorang lagi kerana mengambil ubat demam yang menyebabkan ia mengantuk dan melanggar trailer.

Tanpa kerjasama semua pihak sukar untuk mengelakkan dari berlakunya kemalangan-kemalangan maut yang tragis. Ini kerana semua pihak mempunyai peranan masing-masing yang boleh menyumbang kepada tragedy. Jika masing-masing gagal komited memainkan peranan dengan jujur, ikhlas dan penuh peradaban , maka tragedy jalanraya sukar dielakan Pastinya kisah sedih dan ngeri akan terus menghantui kita , menjadi sajian halaman-halaman akhbar dan corong-corong radio dan skrin TV , khususnya bila menjelangnya musim perayaan.

1 comment:

Anonymous said...

mohon kebenaran nak ambil isi..utk perbahasan.
terima kasih.